aKu iNGiN KeLuAr DaRi kEpOmPoNg CiPtAan kU SeNDiRi..mEnJaDi rErAmA cAnTiK mEnGHiaSi mAsJiD YaNg TeRmEtERi BeRsAmA iNsAn bErNaMa sUaMi...
Friday, 7 November 2008
~siapalah aku~eps:2
BAB 2 :
Azan Maghrib mulai berkumandang sebaik dia pulang dari kerja petang itu. Seperti hari-hari yang lalu, ruang rumah itu sunyi, sepi dan kaku.
Di kondo yang mempunyai tiga bilik tidur itu Riana setia menunggu seseorang datang menceriakan harinya. Dia isteri tidak rasmi Zuraimi Ahmad Zaki. Ya, apa lagi yang boleh dikatakan. Dia memang diperlakukan bagai isteri. Dan dia sememangnya sentiasa menunggu kedatangan Remie.
Sangat bahagia kiranya Remie ada di sisinya sepanjang malam. Bukan dia hendakkan sangat layanan intim lelaki itu, dia cuma ingin memeluk dan merasai adanya seseorang di sisi.
Setahun lebih sudah dia mendiami kondo Remie itu. Remie yang meminta Riana tinggal di situ. Dia mahu rumahnya sentiasa terjaga, tidak mahu mendedahkan rumahnya kepada kerosakan-kerosakan yang mungkin dilakukan oleh penyewa yang tidak bertanggungjawab.
Petang tadi Remie menelefon, katanya malam ini akan datang ke kondo. Suka sungguh hati Riana. Sudah tiga hari Remie tidak datang berkunjung. Rindunya membuak-buak.
Remie. Belaiannya ajaib. Tak pernah Riana rasakan sebegini bahagia bersama seseorang. Antara ramai-ramai yang pernah berkasih, atau mengasihi, Remie saja yang betul-betul mengikat hatinya. Dahulu seseorang pernah bertapak kukuh di hati Riana, lama dulu. Entah di mana silapnya, kasih dibina musnah di pertengahan. Sejak itu Riana berhati kering. Cinta datang dan pergi bagai air pasang dan surut. Dia tak dapat lagi merasa keanehan bercinta sehinggalah Remie muncul membawa semula segala rasa cinta. Agaknya memang ditakdirkan dia mengasihi Remie, lelaki yang misteri....sukar dicungkil rahsia hatinya.
Yang nyata, Remie telah banyak mengubah sikap dan prinsip dirinya. Dahulu Riana sangat cengeng, dan pemarah juga. Seringkali dimarahi Remie kalau dia merengek meminta dimanja-manja. Pantang sungguh Remie kalau Riana tidak tahu membuat keputusan sendiri.
"Belajar tinggi-tinggi tapi benda kecil pun tak tahu fikir !"
Remie sukakan wanita yang tahu berdikari. Kerana itu Riana telah jauh berubah. Bukan berubah kerana Remie, tapi kerana rasa malu, selama ini begitu banyak sifat-sifatnya yang jelek. Selama ini dia begitu naif, tidak yakin diri dan selalu bergantung harap pada orang lain sedangkan sendiri boleh buat. Mengenali Remie, dia turut mengenali diri sendiri. Remie mendewasakan dirinya.
Suasana waktu Maghrib dirasakan semakin sunyi. Riana lantas menekan alat kawalan jauh radio. Berkumandang ayat-ayat suci daripada surah An-Nuur dibacakan begitu syahdu dan mengasyikkan sekali.
Hairan ! Siapa yang menukar saluran radio ini ? Biasanya dia mendengar ERA, atau kalau Remie datang dia akan memilih HITZ. Mungkin dia tertekan secara tak sengaja. Biarlah. Bagus juga mendengar bacaan al-Quran senja-senja begini. Hatinya terbuai. Dibacakan pula terjemahan ayat-ayat itu.
"(Ini adalah) satu surah yang Kami turunkan dan Kami wajibkan (menjalankan hukum-hukum yang ada di dalam)nya, dan Kami turunkan di dalamnya ayat-ayat yang jelas, agar kamu selalu mengingatinya.
Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.
Laki-laki yang berzina tidak mengahwini kecuali perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh laki-laki yang berzina atau laki-laki musyrik; dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin."
Riana terpaku di situ.
Remie ! Remielah laki-laki yang berzina, dan aku ! Akulah perempuan yang berzina !
Perasaannya jadi gelora, hatinya jadi luka. Betapa hinanya terasa dibidas ayat-ayat itu. Ayat-ayat yang diyakini, ayat-ayat yang termaktub, ayat-ayat yang sepatutnya dipegang kukuh oleh setiap umat manusia. Riana tidak menafikan apa pun, sememangnya dia hamba yang hina. Jadi dirinya tidak layak dinikahi melainkan oleh laki-laki yang berzina !
Riana meluru ke bilik mandi. Dibasahkan segenap inci tubuhnya, tubuh yang sekian lama terpalit noda-noda, dosa-dosa sebesar gunung. Malah mungkin besar lagi dosanya kalau dibandingkan dengan gunung. Bersatu air pili, air matanya merembas laju bagai air terjun di pergunungan. Sebak. Hiba. Berdosa.
Berada di rumah keseorangan di waktu-waktu begitu memang mengundang hiba yang hebat seolah-olah terasa ia memukul-mukul pantai hati sehingga bergelora.
Dijengah keinsafan yang bertandang itu, Riana segera menyucikan diri dan segera pula dia sujud kepada Tuhan Maha Pencipta. Namun sejenak itu terfikir pula dia apakah amal ibadat yang dilakukan dengan jasad yang kotor penuh dosa itu diterima Tuhan ?
Riana memang pasti dia ingin bertaubat, tetapi belum pasti apakah dia mampu menghidari dosa yang seterusnya pula ?
Kerana dugaan dan godaan itu masih melingkari garis hidupnya. Bagaimana harus dia lari ? Bagaimana harus menghentikan semua itu dengan segeranya bila mana sejurus itu pula Remie datang dengan membawa cinta yang didambanya ?
Apabila melihat Riana berlinangan air mata begitu Remie pun akan menjadi pelembut dan penyayang yang mana itulah pelemah benteng Riana yang paling nyata.
"Kenapa sedih-sedih ni emm, sayang ? Problem kat tempat kerja ? Sayang sakit ?" Dia memaut Riana rapat ke tubuhnya dan mengusap-usap rambut hitam Riana yang lurus panjang. Dan, itulah sebenarnya dugaan yang tidak mampu Riana tolak. Berada di dalam pelukan kasih sayang Remie yang pasti membuatnya rasa selamat dan selesa.
"Saya teringin sangat awak selalu ada di sisi saya." Tutur Riana perlahan.
Remie menguraikan pelukan lalu menyingkap telekung yang menyelimuti tubuh kecil itu.
" Kan saya selalu ada. Kalau saya tak datang bermakna saya sibuk, awak kenalah faham. Next time kalau perlukan saya just give me a call, saya akan datang jumpa awak." Dalam keadaan begitu bicaranya sungguh lembut dan menghayati keadaan.
"Bukan semata-mata datang Mie. Saya nak something for good. Saya nak awak."
" Yana ! Tolonglah faham. Saya banyak kerja. Saya tak boleh selalunya ada di sisi awak. Banyak lagi commitment saya nak kena jaga." Nada suaranya mula tinggi sedikit. Riana mengeluh dalam hati. Mie ! Tolonglah faham bukan itu yang saya maksudkan !
Riana mengempang air mata membiaskan rasa hati yang tidak mampu terluahkan, lantaran kata-kata disalaherti oleh Remie. Apakah kerja yang banyak yang perlu Remie bereskan setiap masa ? Apakah komitmen besar yang begitu menuntut perhatian Remie ? Mengapakah aku tidak diberi kepercayaan untuk mendengar permasalahan Remie, mengapa aku disisihkan untuk sama-sama memahami dan menyelesaikannya jika mampu ?
" Yana ... sayang.... Jangan nangis lagi, Mie ada ni."
"Saya tak nak hidup macam ni lagi. Saya nak kita kahwin Mie." Berterus-terang adalah senjata ampuh untuk mendepani Remie.
Wajah dibasahi air mata dan suara bergetar dilanda emosi memungkinkan hasratnya difahami Remie dalam erti kata yang sebenar. Kedengaran Remie mengeluh perlahan. Riana sudah menjangkakan itu, malah alasan yang sama juga mungkin diberikannya nanti.
"Kahwin. Bukan senang Yana . Besar tanggungjawabnya. Ia akan merubah diri dan cara hidup kita awak tahu." Suara Remie perlahan dan mendatar tetapi jelas.
"Saya tahu Mie. Tapi takkanlah sebab itu awak tak nak kahwin. Sampai bila kita nak hidup macam ini takde kesudahan ? Lagi pun kalau orang lain boleh buat, orang lain boleh pikul tanggungjawab dalam perkahwinan kenapa pula kita tak boleh ?"
"Jangan libatkan orang lain. Masalah sekarang awak dan saya. Saya belum sedia lagi Yana ."
"Apa sebenarnya masalah awak Mie ?"
"Tak payahlah awak tanya. Ada jodoh tak ke mana, besok-besok kahwinlah kita."
Dengan berakhirnya ucapan itu Remie melangkah keluar dari kondo bersama kunci keretanya meninggalkan Riana dengan persoalan di hati yang kian membengkak. Berbincang dengan Remie tidak memberi apa-apa penyelesaian sebaliknya meninggalkan lagi persoalan. Sudah sering begitu. Remie akan mengelak untuk berbicara tentang perkahwinan.
Apa sebenarnya yang dimahukan Remie. Sudikah dia hidup begini selama-lamanya ? Riana bingung. Dia mahu menyucikan diri dan hati. Dia mahu hidup normal berkeluarga seperti orang lain tetapi mahukah Remie ?
huhuhu....sambung lagi.....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment