MENYINTAIMU

roses and butterfly photo: Butterfly Roses ButterflyRoses.gif

Friday, 7 November 2008

~siapalah aku~epsd :1


BAB 1:

~Cantik-cantik bintang di langit
Hati teringin tangan tak sampai~
"Mie."
"Mie….."
"Apanya ?"
"Sampai bila kita nak macam ni ?"
"Macam mana ?"
"Macam inilah. Saya dah tak sanggup."
Rambut lurus lembut itu diusap-usapnya penuh kelembutan dan kasih-sayang. Suasana bilik tidur itu suram hanya dilimpahi cahaya lampu tidur yang malap di bahagian atas kepala katil.
"Selama ni kita selamat. Mana tahu satu hari nanti bala datang, habis kita Mie."
"Apa yang awak merepek ni ?" Remie menggeliat kemalasan.
"Dah pukul berapa ?" Sambungnya.
Riana menjangkau telefon bimbit di tepi katil. Apabila ditekan warna birunya menyilaukan mata di dalam keadaan suram itu.
"Dah dekat pukul dua pagi ni. Awak nak balik ?"
"Malaslah. Tak larat nak drive." Remie membetul baring agar selesa, mencapai sebiji bantal lalu dipeluknya sambil mengiring membelakangi Riana.
"Baju saya nak kerja esok ada tak sayang ?"
" Ada ."
Riana turut berbaring di sebelah Remie. Dia menarik selimut menutupi tubuh mereka berdua kemudian memeluk Remie dari belakang. Tangannya diletakkan di atas lengan Remie yang berbulu halus. Hasrat untuk berterus-terang malam ini tertangguh lagi. Remie sudah pun melelapkan mata, jika mengganggu dia bermakna sengaja ingin dimarah. Riana mengeluh perlahan sambil cuba melelapkan mata. Banyak perkara yang ingin dibincangkannya dengan Remie tetapi selalu saja tertangguh. Ada saja halangan. Dan kalau pun menemui masa yang sesuai, Remie selalu enggan mengambil bahagian.
"Sayang, malam ni kalau takde hal saya datang ." Kata Remie pagi itu ketika dia membelek wajah di cermin selepas mandi. Tabiatnya picit sana sini di muka kadang-kadang mengambil masa berbelas minit di depan cermin. Riana sedang menggosok baju mereka untuk dipakai ke pejabat.
"Saya rasa tak payahlah Mie...." katanya tanpa mengalihkan pandangan daripada blouse yang sedang digosok.
"Kenapa ? Ada orang lain nak datang ?" Tanya Remie spontan.
"Bukan macam tu…"
"Habis kenapa tak kasi saya datang. Bukan saya tak tahu awak.....tentu ada orang lain."
"Huh awak ni. Dengarlah dulu…."
Riana memandang Remie yang masih tegak di hadapan cermin besar.
"Bukannya ada orang lain nak datang. Saya takutlah Mie. Awak selalu datang tidur sini saya risau kalau jiran-jiran report pada jabatan agama. Mati kita Mie…."
"Hish awak ni suka fikir bukan-bukan. Hei ini kondolah, kondo! Kalau tidak buat apa saya beli rumah mahal-mahal ni." Nada suara Remie tinggi. Riana mengerti itu tanda dia tidak senang lalu dia terus mendiamkan diri. Susah mahu mengajak Remie berbincang. Apa yang penting baginya nampak tidak penting bagi Remie.
"Awak jangan buat hal kat rumah saya ni. Kalau saya dapat tahu awak bawak balik jantan lain siaplah awak. Saya halau terus awak dari rumah ni." Remie memberi amaran keras sebelum mereka keluar dari rumah pagi itu. Selepas menyarung kasut dia terus bergegas turun tanpa sempat Riana memberikan ciuman di pipinya seperti biasa. Riana tahu dia telah merosakkan mood lelaki itu.
Biarlah...sampai masa Remie akan mengerti apa yang difikirkannya.
Riana tidak kecil hati dengan amaran Remie itu kerana dia tahu Remie masih belum mempercayainya seratus peratus walaupun telah berkali-kali diterangkan dia tidak punya sesiapa lagi kecuali Remie seorang. Pandangan prejudis Remie terhadapnya masih menebal walaupun telah setahun lebih mereka berhubungan. Itulah yang Riana tidak faham. Kalau tidak percayakan aku kenapa masih bersama ?
Kereta Kancil yang baru dua bulan dibeli itu dipandu keluar dari kawasan kondo dengan perlahan-lahan. Perdana hitam Remie pula sudah menderum pergi meninggalkan debu-debu di belakang. Dahulu sebelum Riana membeli kereta sendiri Remie yang menghantar dan menjemputnya pulang dari kerja. Riana sedar selama mereka berhubungan Remie telah banyak membantunya. Malah jawatan yang disandangnya sekarang ini pun atas usaha Remie mencarikannya pekerjaan selepas dia tamat belajar di UPM. Saiful kawan Remie, pegawai senior di sebuah syarikat pengiklanan. Kerana itu Riana dapat menyandang jawatan penting dalam bahagian sumber manusia di syarikat itu.
Kondo yang didiaminya sekarang ini pun milik Remie. Sebelum ini rumah itu disewakan kepada orang sedangkan dia sendiri menyewa kondo lain yang lebih murah bersama kawan-kawannya. Selepas dua bulan mereka berkenalan Remie meminta Riana tinggal di kondo itu dengan bayaran ansuran rumah itu dikongsi bersama Riana separuh seorang. Kereta Riana yang baru dibeli itu, pun Remie yang menguruskan pembeliannya.
Tetapi bukanlah disebabkan pertolongan-pertolongan Remie yang membuatkan Riana terus terikat kepada lelaki itu.
Dia memang menyukai Remie sejak mereka berkenalan sebaik saja dia menamatkan semester terakhir di UPM. Kebetulan ketika itu Riana baru melepaskan hubungan-hubungannya dengan beberapa orang lelaki. Ketika itu dia merasakan sudah sampai masanya untuk membina perhubungan serius dengan seorang lelaki. Dan lelaki yang ditemuinya itu; Remie memang disukainya kerana sikap Remie yang tegas dan berpendirian. Remie tidak suka menunjukkan kasih sayang yang berlebihan.
Remie juga seorang yang komited dengan kerja membuatkan hati Riana terus tertambat dan ingin terus bersama walaupun Remie tidak pernah bersumpah setia. Kadang-kala dia agak ragu mengenangkan sikap Remie terhadap perhubungan mereka. Remie tidak pernah mengucapkan apa-apa yang boleh meyakinkannya yang dia benar-benar diperlukan dalam hidup lelaki itu.
Tetapi perhatian dan kunjungan Remie menyedapkan kembali hati Riana. Dalam kesibukan Remie menguruskan syarikatnya sendiri yang dikongsi bersama seorang teman itu, Remie tidak pernah mengabaikannya lebih daripada dua minggu. Setiap dua hari, atau kadang-kadang setiap hari Remie akan berkunjung dan bermalam di kondo itu. Saat itu memang ditunggu-tunggu Riana. Kalau boleh dia mahu setiap hari Remie berada di sampingnya, atau kalau Remie angkut kain baju terus tinggal di kondo itu pun tidak mengapa. Tetapi dia takut juga kalau-kalau disergah JAIS. Paling lama Remie mendiamkan diri seingat Riana ialah sembilan hari. Sepanjang tempoh itu Remie tidak pernah menelefon atau berkunjung ke kondo itu.
Dia pula sengaja tidak menghubungi Remie untuk melihat sejauh mana Remie memerlukan dirinya.
"Jadi tak, tidur rumah aku malam ni ?"
Mimi teman seuniversiti menelefon pada petang itu untuk kali yang kedua. Mimi meminta diteman tidur kerana suaminya bekerja di luar daerah. Riana agak cuak untuk meninggalkan rumah, bimbang Remie akan ke situ malam itu. Tetapi dia marah juga dengan lelaki itu, sudah seminggu lebih menghilang tanpa sebarang kata.
"Ummmm....okeylah. Kau datang ambil aku ya."
Tanpa Riana sangka malam itu Remie pulang ke kondo. Apa lagi mengamuk sakanlah lelaki itu mendapati Riana tiada di rumah. Riana ketika itu sedang enak bergosip di dapur Mimi apabila telefon tangannya berdering nada khas untuk Remie.
Baru saja butang menjawab ditekan dan telefon ditekap ke telinga, suara Remie yang berbaur cemburu menerjah pendengaran Riana.
"Di hotel mana awak ada sekarang awak cakap ! Saya pergi ambil awak sekarang juga." Keras suara Remie walaupun nadanya tidaklah tinggi mana. Dada Riana berdebar menahan gemuruh. Remie main serkap jarang sahaja.
"Saya bukan di hotel. Saya kat rumah kawan…"
"Kawan apa? Kawan jantan ? Awak bagi alamat rumah jantan awak tu sekarang juga saya pergi ajar awak."
Dalam ketakutan Riana hampir tersenyum. Dek kerana prejudisnya dia terhadap Riana apa saja tindakan Riana pun dia curiga. Riana sedar permintaan Remie mahu menjemputnya sekarang juga perlu dipenuhi, tidak perlu berdolak-dalik di saat dia mengamuk bagai lembu gila seperti waktu itu.
"Okeylah awak datang ambil saya sekarang. Nombor 23, Jalan Jati 12, Taman Putra Budiman…." Belum sempat Riana menyambung lagi Remie sudah pun memutuskan talian. Mentang-mentanglah dia biasa dengan kawasan ini.
"Apahal ?"
Mimi menjengah dari ruang dapur.
"Errr.….nampaknya kau kena tidur seorang jugaklah malam ni Mi. Aku kena baliklah, ada monster mengamuk."
"Laaa…monster kau datang rumah ke ?" Tanya Mimi hampir tergelak.
"Ya la….aku tak sangka pulak dia nak datang malam ni. Habislah aku dia marah gila tu…" Riana menuang air oren yang dibancuh Mimi tadi.
"Tu la engkau aku dah kata bagitau kat dia dulu. Kau tak nak pulak…." Bebel Mimi.
"Habis tu macam mana ?" Tanyanya pula.
"Huh macam mana apanya. Dia on the way datang nak ambil aku le tu. Sorry ye Mi tak dapat temankan kau malam ni."
Mimi tersenyum-senyum memandang temannya. Wani ta ini memang bersifat happy go lucky, apa–apa hal pun bagaikan kelakar baginya sedangkan Riana agak berdebar menanti reaksi Remie seterusnya.
"Tak apa la kalau macam tu. Sabar je la Yana kau dapat monster garang macam Remie tu. Eh ini yang buat aku takut nak pergi rumah kau." Ujarnya.
" Ala kau ni….kau nak datang rumah aku datang je la. Dia pun kadang-kadang je ada kat rumah, bukannya dua puluh empat jam dia ada kat rumah aku tu…"
"Eh mana la tahu kalau aku pergi rumah kau, dia halau aku balik pulak." Sela Mimi.
"Hish kau ni. Kalau macam tu aku pun tak nak duduk rumah tulah. Baik aku cari rumah sewa lain je."
"Dia datang ambil kau ni, jangan-jangan dia pukul kau bila sampai rumah nanti tak. Habislah member aku jadi mangsa dera. Kalau dia pukul kau cepat-cepat telefon aku tau nanti aku datang rumah kau bawak polis…" Repek Mimi sambil tergelak. Riana turut tergelak.
"Takdelah sampai pukul-pukul. Berani dia pukul aku. Sebelum dia pukul aku, aku pukul dia dulu ." Mereka ketawa diikuti lawak-lawak merapu yang lain. Satu sebab Riana suka berkawan dengan Mimi kerana sifatnya yang suka berjenaka dan berfikiran positif. Sering saja mereka bergurau senda seperti ketika di zaman universiti walaupun kini umur sudah berada di angka dua puluh lima .
Dua puluh lima minit kemudian Remie tiba di hadapan rumah teres dua tingkat bernombor dua puluh tiga itu. Loceng di sebelah pintu ditekannya. Syukurlah Remie masih tahu bersopan , sangka Riana dia akan menerjah sahaja pintu dek kerana kegilaannya. Riana pergi membukakan pintu. Di situ Remie tercegat dengan wajah masam mencuka.
"Mana jantan awak tu ? Tengok sikit muka dia."
Riana tersenyum sahaja.
"Jantan apanya. Ini rumah Mimi la…kawan saya di UPM dulu ."
Mimi muncul dari sebalik pintu.
"Hai. Sorrylah. Saya yang ajak Yana datang tidur sini. Ingatkan awak tak pergi rumah dia malam ni sebab tu saya ajak. Kesian dia…sorang-sorang kat rumah." Mimi cuba meredakan ketegangan.
Remie hanya diam. Agaknya malu dengan keterlanjurannya sendiri.
"Okeylah Mi. Aku balik dulu ya. Nanti bila-bila datanglah rumah aku kita borak-borak."
Riana bersalaman dengan Mimi. Mimi pula masih tersenyum-senyum.
"Boleh ke aku datang rumah kau?" Tanya Mimi sambil menjeling Remie.
"Boleh. Apa salahnya. Bukannya ada gergasi garang kat rumah aku tu, aku sorang-sorang je. Ha kau tu bawak-bawak biasakan diri tidur sorang kalau laki tak ada. Tak payah lagi menyusahkan member…"Sela Riana pula. Remie terus berpaling menuju ke kereta. Mereka berdua menahan ketawa sebelum Riana mengikut Remie.
Di dalam kereta, sebaik meninggalkan rumah pegawai perhubungan awam syarikat swasta itu Remie terus saja membuka mulut.
"Awak buat apa kat situ ? Dah takde rumah sendiri nak duduk ? Ke rumah saya tu tak standard untuk awak ? Rasa bosan, nak duduk rumah lain pulak ?" Soalan Remie yang bertubi-tubi itu membuatkan Riana tersenyum. Suka benar Remie menyoal begitu, kalau orang lain begitu pasti dikatanya suka berfikiran bukan-bukan. Bahagian diri sendiri dia tidak ingat pula.
"Laki dia takde kat rumah, outstation. Jadi dia ajak saya temankan dia malam ni, dia bukannya biasa tidur sorang." Jelas Riana dengan suara lembut. Jika Remie mengamuk tidak guna dia pun bertegang leher, dibiarkannya saja Remie merepek sesuka hatinya.
"Dah tahu takut duduk sorang jangan duduk sorang. Ajak saudara ramai-ramai duduk sekali baru tak menyusahkan orang." Bebel Remie.
"Yang awak ni pun dah tak reti nak call saya ke ? Nak ke mana-mana suka hati pergi, telefon saya bagitau pun tak boleh, susah ke ? Dah tak ingat nombor telefon saya ?" Sambungnya lagi. Kenderaan yang agak banyak tersusun di jalan raya membuatkan wajahnya bertambah keruh.
"Bukan saya tak ingat nombor telefon awak, awak tu yang dah lupa nombor telefon saya. Entah ke mana-mana dia pergi berhari-hari senyap je." Riana meluah isi hati. Itu pun dengan suara yang perlahan bimbang dia menyimbah api ke minyak Remie yang masih menggelegak.
"Lagi pun saya isteri awak ke ? Kenapa saya nak kena bagitau awak kalau saya nak pergi mana-mana ?" Duga Riana. Dia ingin mendengar pengakuan Remie.
Remie menjeling Riana di sebelah. Dia tiada jawapan untuk soalan itu.
"Saya tak call awak sebab sibuk. Banyak kerja lain saya nak kena buat, bukannya asyik nak menempel kat awak je. Sendiri fahamlah."
Remie diam seketika bagi memberi perhatian pada jalan raya.
"Habis kalau saya senyap awak pun senyap ? Apa guna awak ada telefon. Call jantan lain ?" Lagi sekali Remie menuduh melulu.
Riana tidak menjawab. Dibiarkan Remie membebel sekali-sekala berselang-seli dengan suasana diam antara mereka. Tidak perlu dia menjawab tuduhan Remie itu kerana bagi Riana dia tidak pernah menelefon atau berjumpa lelaki lain semenjak dia menetapkan hatinya untuk Remie.
"Awak dah makan ?" Tanya Riana selepas beberapa ketika Remie diam. Ketika itu kereta sudah menghampiri Taman Bukit Kenangan.
"Belum. Ingat nak ajak awak makan kat luar tapi awak pula hilang entah ke mana." Kata Remie masih dalam nada marah.
Riana tersenyum sambil tangan kanannya dilabuhkan di atas paha Remie.
" Kan dah jumpa saya ni. Jomlah makan, saya temankan awak emm ?"
Namun Remie terus memandu masuk ke tempat letak kereta di bawah bangunan kondo itu.
"Tak payahlah. Saya dah malas."
Mereka keluar dari kereta. Masuk ke dalam rumah, Remie terus membuang badannya ke atas sofa lembut sambil menekan remote Astro. TV besar 29 inci yang dibeli Riana terpasang dengan saluran yang dipilih dari Astro. Riana bersimpuh di atas permaidani di hadapan Remie.
"Takkan tak nak makan pulak. Tak lapar ke ?" Riana bersuara lembut. Wajah Remie masih mencuka. Dalam tegas dan egonya kadang-kala Remie bersifat seperti kanak-kanak. Semua kehendaknya perlu dituruti.
"Saya tengok apa-apa yang ada kat dapur ya, saya masakkan untuk awak…" Pujuk Riana sambil tangannya mengelus rambut Remie yang lembut. Remie yang terbaring di sofa diam membatu. Riana tahu dia memang lapar ketika itu. Riana menundukkan muka lalu mencium pipi Remie sambil tangannya menjalar ke punggung Remie dan dipicit-picitnya bahagian itu. Daripada serius Remie langsung tergelak. Dia memang alah jika Riana memegang punggungnya. Geli.
Tangannya menghalang tangan Riana daripada terus mengusik punggungnya. Dia sendiri memaut wajah Riana lebih dekat lalu mengucup bibir mekar Riana yang tidak bergincu. Mereka bertukar senyuman mesra. Sesaat kemudian Riana bangun menuju ke bilik untuk menukar pakaian sebelum ke dapur memasak apa yang ada buat hidangan Remie. Begitulah Remie, senang sekali marah dan senang pula sejuknya.
Dan malam itu menyaksikan kesenangan hati Riana kerana Remie ada di sisinya setelah lebih seminggu dia keresahan menunggu Remie.
Remie....nama yang semakin lama semakin bertapak kejap di hatinya.....
bersambung adanya.....

No comments:

Post a Comment