* * * * *
Sejak menjadi isteri orang, dia betul-betul tidak mengenali dirinya sendiri. Bahagia ke? Menderita ke? Entahlah... perasaannya sentiasa bercampur baur. Ada sesuatu yang menarik tentang Annas. Ada rindu yang pernah tertahan, ada kasih yang pernah terhalang. Dia tu seperti lelaki yang pernah bertakhta di hati... tetapi Zana tidak pernah tahu, di mana sepotong wajah itu pernah hadir dalam hidupnya? Zana melihat kalendar di dinding, sudah 39 hari dia menjadi isteri Annas. Ditenung gambar di atas piano. Annas tersenyum di situ, berpakaian serba putih dengan samping putih berbenang perak. Songkok tinggi itu mengubah perawakannya tiba-tiba. Zana berdiri di sebelahnya, dan rasa gementar terpancar dalam gambar yang tidak pandai berbohong tu; Zana kelihatan pucat betul-betul. Seorang berbaju putih, seorang berbaju merah jambu... mereka betul-betul berbeza... tidak ada apa-apa yang mengikat mereka kecuali sehelai surat nikah.Selepas majlisnya berlangsung, Annas sibuk betul dengan kajian pemakanannya tu. Dia sedang membuat penyelidikan mengenai pemakanan kanak-kanak di beberapa buah kawasan di Pantai Timur. Seminggu sekali baru dia balik ke rumah. T
etapi Zana tidak pernah tahu, dia sedang buat ‘research’ tentang apa? Kerana mereka tidak pernah berkongsi apa-apa. Cuma yang dia tahu, Annas bekerja di wad kanak-kanak. Apabila mereka keluar ke mana-mana berdua, Annas hanya akan memperkenalkannya sebagai ‘orang rumah saya’. Tidak isteri saya? Begitu sajakah pandangan Annas kepadanya... sekadar, ‘orang rumah’ atau... yang lebih tepat lagi orang gaji saya? Hadi selalu memperkenalkan Aliya sebagai, ‘my another half’... cemburunya. Zana, jangan nak bersedih tak tentu arah, jerit hatinya. Zana mendekati piano semula. Annas sudah lama ke tempat kerja. Rumah sudah dikemas rapi, apa lagi yang tersisa untuknya pagi ini? Sunyinya. Sejak abah dan ibu melancong ke Eropah. Annas sudah tidak keluar-keluar lagi ke Pahang, Terengganu dan Kelantan. Setakat hari ini, Annas tu baik sangat... tidak banyak kerenah. Dia juga bertanggungjawab... sejak abah dan ibu tak ada, dia akan menelefon Zana dua tiga kali untuk memastikan Zana selamat di rumah. Mereka jarang berbual, setakat menyapa ada lah... bercakap bila-bila perlu... terutamanya apabila Annas memerlukan apa-apa. Yalah, rumah ni masih asing baginya. Dia meninggalkan rumah bujangnya, untuk berkongsi kasih dengan keluarga Zana.
Itulah yang Nenek Hendon beritahu kepada abah. Cara Nenek Hendon bercakap tu... seolah-olah nak hantar anak ke rumah kebajikan pula. Dan Zana ni siapa bagi Annas? Pengasuhnya, mungkin!Pernah juga Zana terasa nak bertanya lebih lanjut fasal keluarga Annas, tetapi dia tak berani. Annas pun tak pernah bertanya apa-apa fasal keluarga Zana. Annas macam tak suka berbual dengannya kalau tak ada sebab yang betul-betul penting.
Tetapi dengan kawan-kawannya meriah pula suaranya. Pernah sekali Zana terdengar dia sedang bercakap... berbisik-bisik di telefon... macam bercakap dengan kekasih pula:“Maaflah, tak beranilah... Rin... tak kan pula nak tinggal ‘anak orang’ sorang-sorang waktu malam kat rumah. Kalau Doktor Zainordin buat ‘spot check’... matilah abang.”Oh, dia takut kat abah ya! Jadi sepanjang abah tak ada kat sini... dia kerja jadi ‘jaga’ aku ke? Itu sajakah perjanjian abah dengan Annas? Tapi siapa pula si Rin ni? Siapa ya perempuan tu... kenapa nak berbisik-bisik macam tu pula.
Oh, dengan Rin guna ganti diri 'abang'! Romantisnya... Tentulah Rin ni seorang yang istimewa di hatinya....kanda suka bergembirakanda senang berketawariang namun hatiku bingungsebagai burung di dalam sangkar terkurungAliya sudah memulakan ‘chambering’ kat Langkawi. Hadi mahu dia cepat-cepat habiskan semuanya dan mulakan syarikat penerbitan kad ucapan. Lepas Aliya ‘call to the bar’ dia tidak perlu kerja sebagai peguam, kalau dia lebih berminat dalam lukisan. ‘Sporting’-nya Hadi. Aliya boleh tumpukan kepada aktiviti melukisnya sepenuh masa. Lagipun tidak lama lagi, dia akan jadi seorang ibu, tentu dia sibuk sangat. Menjadi peguam bertauliah sekadar menunaikan hajat ayah saja, itulah kata Aliya minggu lalu.
Marissa telah jadi ‘legal adviser’ di Kota Baharu dan dia sudah malas nak buat ‘chambering’. Aku nak kahwin dan punya anak-anak aja. Itu saja ke cita-cita Marrisa, menjadi ibu dan menjaga anak-anak? Kata Marissa, biarlah orang kata aku mengaji tak habis pun... asalkan Adli sayangkan aku sudah lebih daripada mencukupi. Yang paling menyedihkan tentulah Jade. Kekasih hatinya, Sulaiman, telah berkahwin dengan gadis Jepun! Kesian Jade... sejak itu, dia sudah tidak mahu menggunakan nama timang-timangan kesayangan pemberian Sulaiman tu. Aku bukan lagi... si Jade kesayangan dia! Panggilah aku Junaidah semula, Zana!
Dan Zana? Zana tidak tahu dia nak buat apa. Terasa seperti nak sambung belajar: sebab duduk di rumah pun tidak tahu nak buat apa. Zana belum bersedia untuk pergi ‘chambering’ lagi. Zana ... terasa hendak mengajar, tetapi masih tidak pasti. Lalu Zana tidak tahu nak buat apa-apa.... Tapi Annas tak pernah kata apa-apa. Dia tidak bertanya apa-apa pun. Mereka macam main sembunyi-sembunyi dalam rumah ni. Menyembunyikan hati dan perasaan juga. Dia tidak pernah tahu, kalau-kalau Annas menyukainya atau tidak!Setiap hari Zana hanya menyediakan makan minum Annas. Menyeterika pakaian Annas lendit-lendit... supaya orang tahu, Annas sudah beristeri. Entah kenapa, dia selalu mengaitkan kekemasan seorang lelaki sangat bergantung pada kerajinan isterinya.
Sejak dulu, abah sentiasa saja kemas... kerana ibu seorang yang sangat rajin. Kalau ibu demam tidak dapat menyeterika pakaian abah... abah jadi tidak kemas. Dan kawan-kawan abah sering dapat teka, Dewi sakit ya?Kini Zana rasa tidak sebebas dulu lagi. Tetapi dia tidak pula pernah rasa ingin ‘dibebaskan’. Dia suka 'dikurung' oleh Annas di dalam rumah begini. Sebenarnya, dia betul-betul sudah jatuh hati pada Annas. Itulah masalahnya. Namun yang lebih menambah masalahnya, dia tidak pernah tahu apa yang tersimpan di hati Annas untuknya. Dia juga jadi bimbang pada si Rin yang sering-sering menelefon Annas saban malam. Kalau si Rin menggunakan telefon rumah, tentu saja dia ingin bertanya... siapa Rin di dalam hidup Annas.
Tetapi mereka saling berbual melalui telefon bimbit. Zana jadi sebal. Sudah dikorek telinganya berkali-kali, sudah dibuka deria dengarnya seluas-luas... tetapi perbualan Annas – Rin tak pernah ditangkap semuanya, kecuali ketawa-ketawa kecil mereka. Mereka berbual lebih kurang lima minit setiap malam lepas waktu makan malam, kadang-kadang bercampur sikit-sikit dalam bahasa Arab. Tentu kawannya semasa di Mesir? Zana mula cemburu. Semuanya itu membuat Zana betul-betul rasa terpanggang berjam-jam kemudiannya.
Ya, Annas memang tak pernah suka kepadaku! Dia lebih menyukai Rin, mereka masih saling berhubungan. Kekasih lama? Kekasih selama-lamanya?
Rasanya, hidup ini seperti teka silang kata... dan Zana harus menyelesaikannya. Alangkah baiknya, kalau Annas tidak menuruti kata Nenek Hendon sedari awal, dan dia terus berkahwin dengan Rin sedari mula. Bagaimana ya, rasanya kalau tiba-tiba, Annas memberitahunya tentang Rin? Cinta berhentilah dari terus bertunas. Zana jadi takut, tiba-tiba!
Hidup ini tentu saja tidak sama seperti dulu. Wah, mudahnya dia jatuh hati pada Annas... baru 39 hari dia sudah jatuh hati. Boleh pecah rekod begini! Tetapi ada sesuatu tentang Annas yang membuat perasaannya beralih untuk menyukai Annas dengan pantas. Setiap kali dia berdiri solat di belakang Annas dia rasa begitu hampir dengan Annas. Suara Annas yang fasih dan sedap melagukan surah-surah Allah... membuat dia menjadi khusyuk berjemaah dengan Annas. Tetapi perasaan itu akan hilang, apabila solat selesai dan mereka menjadi dua insan yang berbeza semula.
Semalam ibu telefon, Kak Fadlina sudah selamat melahirkan anak lelaki. Wah, Dian dah jadi kakaklah ni. Alhamdulillah. Ibu bertanya sama ada Zana bahagia. Zana sendiri tidak ada jawapan untuk itu. Zana tidak tahu bagaimana rasa bahagia tu. Kata ibu, mereka akan balik bulan depan. Mereka belum menjelajah seluruh Eropah... abah dan ibu ingin menikmati musim bunga. Ibu, ibu... Zana yang kahwin... ibu pula yang pergi ‘honeymoon’.
No comments:
Post a Comment