MENYINTAIMU

roses and butterfly photo: Butterfly Roses ButterflyRoses.gif

Wednesday, 11 June 2008

~Hati Zana~oleh: Noor Suraya epsd :7

seri dewi malam
tabir gerbang alam
jika kawanku yang setia
simpankanlah rahsia janjiku dan dia

Zana menghabiskan alunan Seri Dewi Malam, sebelum telefon menjerit minta diangkat.“Assalamualaikum, Zana.” Suara Annas kedengaran mendatar di hujung sana.Zana membalas salam tu.“Buat apa?” Soalan yang sama seperti hari-hari sebelumnya. Tukarlah skrip sikit, bisik hati kecil Zana. Amboi kalau dengan Rin, kamu siap bergelak ketawa ya!“Tak ada apa-apa. rehat-rehat saja.” Balas Zana.“Dah makan tengah hari?” “Alhamdulillah, masih kenyang.”Masing-masing bertukar sepi. Dah lupa skrip lah tu? Bisik hati Zana, sambil ketawa kecil.
“Zana, malam nanti masak lebih sikit ya. Saya nak kenalkan Zana dengan tetamu istimewa. Zana belum pernah kenal, Rin kan? Hari tu, dia datang kenduri... tapi terpaksa balik awal... ada ‘on call’. Jangan lupa ya. Dah lama sangat Rin nak jumpa Zana.” Ceria aja bunyi suara Annas.
Zana rasa sesak nafas. Oh, si Rin tu pun rupa-rupanya doktor dan kerja sama-sama dengan Annas. Tak cukup bercinta di hospital, balik bersambung di rumah lagi, sampai setiap malam. Air mata Zana menitis setitik-setitik. Oh, jadi inilah akhirnya hubungan mereka. Annas sudah berani membawa si Rin untuk bertemu dengannya. Dan si Rin ingin rebut Annas dari Zana? Hei, Zana, pernahkah kamu memiliki Annas selama ini! Zana jadi malu tiba-tiba....
Rasa cinta... berhentilah dari terus bersemi!
* * * * *
Petang itu Zana berhias cantik-cantik, dia mahu Annas memandangnya... kalau boleh biarlah Annas jatuh hati kepadanya. Bibirnya ditambah secoret gincu. Matanya disapu celak. Pembayang warna biru keabu-abuan disapu sedikit, sedondon dengan baju kurungnya. Rambutnya yang pendek tu, disangkutnya cekak. Ditenung wajah di cermin... terasa semakin hodoh. Dicucinya semula muka, dialas bedak seperti biasa. Tetapi celak di mata tu macam susah sangat nak hilang. Terasa matanya terbeliak macam burung hantu!
Mendengar bunyi kereta berhenti di ‘porch’ dia segera berlari ke depan. Menghadiahkan sebuah senyuman paling manis buat suaminya. Dengan tertib, menghulur tangan mengucup tangan suaminya seperti selalu; meniru gaya ibu dan abah setiap petang. Annas melepaskan senyum, hatinya berbunga bahagia. Masih ke ada senyuman setenang itu, jika Rin datang malam ini?
“Dah solat?” Tanya Annas sebaik sahaja menekan ‘remote’ untuk menutup pintu pagar yang sedang ternganga.Zana mengangguk. Annas telah berlalu ke dalam, untuk solat.
Zana segera ke dapur. Sejak tadi dia sudah masak macam-macam untuk malam ni. Dia mahu mengingati malam ini! Dia mahu menunjukkan dia lebih pandai masak daripada Rin, di depan Annas. Perempuan yang hanya pandai memegang jarum suntik tu, tentu tidak pandai ke dapur. Itulah telahannya sejak awal. Zana menghela nafas. Malam nanti dia hanya perlu menanak nasi, memanaskan lauk serta membuat sayur campur saja. Dia telah menyediakan segala-galanya, termasuk juga hatinya....
Zana menyanyi-nyanyi kecil di depan kuali. Cuba menghiburkan diri sendiri. Tetapi tiada irama yang bisa menghibur hatinya yang sedang pilu. Pada saat ini dia tidak ingin buat apa-apa kecuali; berteleku di atas sejadah sambil mengingati Allah. Kenapa ya tatkala sedih aja, perasaan itu datang. Tatkala hatinya berlagu senang... perasaan untuk berteleku lebih lama tidak segera datang. Tuhan, aku bergantung harap kepada-Mu.
Zana mengangkat karipap yang sudah keperang-perangan ke dalam penapis yang sudah berlapik kertas serap minyak. Teh kurang gula sudah terhidang di meja dapur. Berlapik indah dan masih panas. Tujuh biji karipap berinti daging dengan rempah bercampur lada hitam sudah berkumpul penuh santun dalam piring. Diletakkan pula, ‘chutney’ pudina yang bercampur tairu sebagai pencecah. Annas suka makan samosa atau karipap dengan chutney pudina – seperti kebiasaan orang-orang Arab. Wah, baru beberapa hari kenal Annas, dia sudah tahu apa-apa saja makanan kesukaan Annas! Hebat ya kamu, Zana!
“Sedapnya.” Kata Annas yang tiba-tiba sudah duduk di kerusi.Zana betul-betul terkejut. Mentang-mentanglah hari ni ‘Rin’ dia nak datang, dia cuba nak memuji-muji Zana pula.“Duduklah Zana, kita makan sama-sama.”
Zana menutup api... perlahan-lahan berjalan ke singki lalu membasuh tangan dan duduk di depan Annas. Dicuri-curinya memandang sepotong wajah yang tenang tu semula, ada sebuah rindu yang terkumpul di wajah itu. Di mana ya aku pernah berjumpa dia? Di Alor Setar? Tak mungkin. Mereka jarang balik ke Alor Setar sejak tok dan tok wan meninggal.
“Dah masak untuk malam ni? Atau kalau Zana letih, kita ajak Rin makan kat luar aja?” kata Annas lagi.”Dah. Biar Rin makan di sini saja.” Dengan susah payah, dilafazkan juga nama ‘Rin’ - setelah diisytiharkan sebagai musuh ketatnya sejak tadi – dia jadi sukar untuk menyebut sepotong nama itu. Zana menelan air liur. Kerongkong terasa kering tiba-tiba.
Annas menuang chutney pudina ke dalam piringnya. Dipatahnya karipap menjadi dua... dan dicecahnya dengan chutney tu. Zana pula seperti sudah hilang selera untuk memamah. Keramahan Annas yang tiba-tiba itu betul-betul mencurigakannya. Sampaikan di sini sajakah ikatan perkahwinan ini? Kenapa Annas tiba-tiba terlebih gembira.
“Sebelum Rin datang, ada hal yang saya nak cakap dengan Zana terlebih dahulu.”Zana menatap wajah Annas, kenapa rasa cinta ini terus bersemi. Dia menghela nafas perlahan.“Cakaplah.” Ujar Zana lembut.“Dah lama kita tinggal sama-sama... dan saya rasa... kita patut....””Kita tak bahagia? Dan Annas dah tak suka kat Zana lagi? Annas nak tarik diri dari janji ini? DAN... Kita patut berpisah saja?” tenang aja Zana menuturkan segala-galanya di depan Annas. Zana terasa seperti sedang ‘present mock-court’ di depan pensyarah aja, begitu mudah. Sejak tadi Zana sudah mengumpul seluruh kekuatan untuk melontarkan kata-kata itu.
“Ia? Betul, ka?”“Zana tidak cantik macam perempuan lain. Annas ada banyak peluang untuk memilih.”Lama Annas memandang Zana. Zana menunduk. “Saya lihat Zana dengan mata hati. Dalam hati saya, Zana lah yang paling cantik untuk saya. Saya tidak pandang yang lain dan saya kisah apa kata orang pada isteri saya. Cantik tu, kita lihat dari sudut mata kita... bukannya mata orang lain, Zana. Masih ke tidak memadai... apabila kita cantik di mata suami sendiri?”Mata Zana berlinang. Terharu dengan kata-kata Annas. Tetapi dia tidak mahu bersorak dulu, hal Rin masih mengganggunya.
“Betullah Zana tak ikhlas menerima saya, sejak mula.” tanya Annas tiba-tiba.Zana mengangguk. Tapi itu dulu, Annas... sekarang tidak lagi... jerit hatinya, tetapi kata-kata itu tidak terlepas keluar dari bibirnya. Kata-kata itu masih terikat jauh di dalam hatinya.
“Zana!” Annas terus-terus menunggu Zana bersuara.“Pada mulanya.” Jawab Zana, dia tidak perlu malu kalau dia ingin meneruskan kata hatinya. Lebih baik malu sekarang, daripada menyesal seumur hidup kerana tidak pernah meluahkan segala-galanya.
”Sekarang ni?” Kata Annas sambil tersenyum lagi.
Zana menggeleng. Dia jadi malu tiba-tiba. Ah, biarkan. Biarlah Annas tuduh dia perempuan tak tahu malu. Salahkan seorang isteri meluahkan rasa hatinya kepada suaminya sendiri. Tak salah dan tidak berdosa, kan! Ibu dan abah selalu saja melafazkan ikrar cinta mereka bila-bila masa saja... tak kira waktu.

No comments:

Post a Comment