MENYINTAIMU

roses and butterfly photo: Butterfly Roses ButterflyRoses.gif

Wednesday, 11 June 2008

~Hati Zana~oleh: Noor Suraya epsd :4

Hari-hari terasa lambatnya jarum berdetik. Tak sabar menanti saatnya abah dan ibu akhirnya letih menunggu, lalu tiba-tiba memberi jawapan 'tidak' kepada Nenek Hendon. Kadang-kadang dia jadi bimbang juga kalau-kalau akhirnya dia bertukar fikiran.

Apa tidaknya, semua orang macam asyik ‘torture’ dia saja akhir-akhir ni.Minggu lalu Zana ke rumah Kak Zuraini... ingatkan dapatlah mengadu, alih-alih Kak Zura pula menyebelahi keputusan abah dan ibu. Abang Zainal pun sudah beri ‘kuliah’ panjang... mentang-mentanglah dia tu pensyarah... dirasakannya dia memang pandai bersyarah sangat. Tidak terfikirkah dia, syarahannya itu enak didengar atau tak! Abang dan kakak iparnya itu bersependapat: Zana, jangan memilih sangat! Sekarang ni perempuan lebih ramai daripada lelaki. Wah, mereka tu bercakap siap dengan statistik-statistiknya terus. Betullah mereka berdua tu ajar 'paper' Pembangunan Penduduk. Tapi tak payahlah nak menunjukkan sangat. Mereka ingat Zana sendiri tidak tahu tanda-tanda akhir zaman; perempuan akan lebih ramai daripada lelaki! Kak Zura lagilah mengada-ngada; siap beri ‘statement’: abah dan ibu dah tua, Zana. Zana mesti jaga hati mereka. Wah, bukan main ya mereka semua ni.

Selama ini Zanalah yang paling menurut kata. Zanalah dengar segala ‘titah perintah’ abah dan ibu; TIDAK Abang Zainal, tidak Kak Zura dan tidak juga Abang Zahar! Lalu kini abah seperti orang yang telah berputus asa: kata banah, kalau Zana tolak tuah seperti ni, peluang yang baik tu tak akan datang lagi. Macamlah Zana ni teruk sangat, sampai tak ada sesiapa pun yang sudi. Sedihnya. Semua orang pandang Zana macam tu. Orang ingat kalau Zana menolak Annas, Zana akan jadi anak dara tak laku sampai bila-bila. Tapi, mungkinkah begitu untukku, Tuhan? Ah, Zana sendiri tak kisah... kalau Zana tak kahwin dengan sesiapapun, sampai bila-bila! Kata hatinya semula.

Semalam Abang Zahar menelefon dari Negara Red-Indian tu... tak sangka cerita remeh macam ni sudah sampai ke New York.“Dia baik Zana, abang kenal dia!” Bohong Zahar.Macamlah Zana tidak tahu, itulah kali pertama Abang Zahar dengar nama Annas. Sebab Annas tu sudah bertahun-tahun duduk di Mesir. Dia doktor lulusan Universiti Kaherah.“Zana tak teringin ke ada keluarga sendiri... tak kan sampai tua nak duduk bawah ketiak ibu?”“Tapi Zana tak kenal dia langsung. ‘Totally zero’.”“Haah, yang minggu sudah abah ajak berkenalan... kenapa pula Zana lari balik dengan teksi.” Kata Zahar sambil ketawa besar.“Siapa cakap?”“Eleh, abang memang pasang CC TV kat rumah kita bersambung di New York ni.” Abang Zahar ketawa seenaknya. Zana jadi sebal.Zana malu betul hari tu.

Abah buat janji dengan Annas tanpa minta pendapatnya dulu. Tiba saja di restoran... dilihatnya Annas ada juga. Dia pura-pura ke bilik air dan telefon teksi... dia lari balik macam tu. Abah tak bercakap dengannya sampai dua hari... ibu pula mujurlah ada hobi berleter; jadi awal-awal lagi ibu dah ‘berkawan’ dengan Zana... lalu Zana terpaksa membiarkan cuping telinganya menerima segala ‘kata-kata’ ibu sebagai ‘harga sebuah persahabatan’ itu!“Zana, abang dulu pun kahwin diatur... tetapi bahagia juga.” Sambung Abang Zahar semula.“Diatur? Abang, betullah Kak Fadlina tu dua pupu kita, tapi perkahwinan ‘diatur’? Jangan mengarutlah, abang memang dah lama jatuh hati dekat dia, kan. Bukan abang yang suruh Zana kenen-kenen dekat ibu. Diatur konon....” Perli Zana.Zahar yang bertugas dengan kedutaan Malaysia di sana, terpukul dengan kata-kata adik bongsunya tu.

Sejak kecil mereka memang rapat. Isteri Zahar tu kini sedang sarat mengandung anak kedua. Setelah hidupnya berbahagia, kini abangnya tu cuba nak atur hidupnya pula.“Zana... arr.”“Abang dahlah, telefon ni walaupun tak pakai elektrik bukannya ‘free’... dah la buat ‘reverse charge’, tak tahu malu... kesian kat abah. Abang asyik mengena abah aja. Konon-konon Dian nak cakap dengan tok wan dia... alih-alih abang yang cakap banyak sekali. Tak senonoh... dah tua-tua pun masih bergantung kepada abah.” Zana memulangkan paku buah keras kepada abangnya. Zana cepat-cepat meletakkan telefon, abang Zahar ni boleh tahan juga pandai memujuk.Hari sudah beransur petang.

Esok keluarga Nenek Hendon akan datang meminang dan hantar cincin tanda, secara rasmi. Sebelum mereka datang lagi, Zana sudah ada jawapan. Kalau diberi kekuatan esok, dia sendiri yang akan kata: TIDAK. Biarlah mereka datang bersusah payah dari jauh dengan segala jenis baulu ikan emas dan arnab ke, pulut kacau, dodol ke atau kacang pol ke!

Zana peduli apa!Zana menggesek biola semula. Lagu Seri Dewi Malam memenuhi seluruh ruang biliknya.

seri dewi malam
tabir gerbang alam
jika kawanku yang setia
simpankanlah rahsia
janjiku dan dia

Janji? Dengan siapa ya? Kata abah semalam, kalau Zana dah janji dengan orang lain tentu aja ada sebab Zana menolak. Dan abah sendiri tidak akan ada halangan untuk itu. Ini Zana tak ada siapa-siapa. Ya betul tu, bah... Zana memang tak ada siapa-siapa... dan ini bukannya bererti abah boleh paksa Zana berkahwin dengan siapa-siapa saja!Annas tu kerja elok. Budak baik. Orang yang jaga agama. Bukannya hodoh pun. Abah mula bercerita fasal bagaimana Rasulullah memujuk anaknya Fatimah untuk menerima Sayidina Ali. Kita memilih pasangan biarlah kerana agamanya. Supaya dia dapat pula memimpin kita ke jalan akhirat, Zana. Abah sudah lelah memujuk.

Esok keluarga Annas akan datang. Zana masih membantah. Kalau dia lari tak balik esok, apa yang hendak diceritakan kepada Nenek Hendon dan saudara maranya tu. “Kita nak beri alasan apa, Zana.” Tanya abah semalam. Berilah alasan apa saja... Zana nak sambung belajar ke! Zana nak pergi ‘migrate’ mana-mana ke! Pokoknya apa saja, asalkan mereka tak mendesak! Jerit hati Zana ketika itu. Akhirnya abah bersuara: “Zana, abah tahu... Zana ni bukannya tidak mahu... pura-pura jual mahal!”

inilah cubaan inilah dugaan
kasih yang sejati disimpan
yang palsu dilahirkan
semoga berjaya
kanda suka bergembira
kanda senang berketawa riang
namun hatiku luka
istana besar sebagai sangkarbahagia....

Lagu Seri Dewi Malam tu tidak dapat dihabiskan apabila tiba-tiba Zana mendengar suara ibu menangis di bilik depan.Zana berjalan perlahan-lahan menghampiri bilik bacaan kecil dekat dengan kamar tamu tu.“Tak apalah kalau Zana tak mahu pun, tapi janganlah buat Dewi macam ni.”Zana jadi sesak nafas, mendengar ibu seperti sedang berbicara halnya dengan abah di situ.“Sabarlah Dewi, nanti tekanan darah tinggi tu naik lagi.”“Hari tu, kita yang pandai-pandai kata 'ya' pada Makcik Hendon, tanpa minta pendapatnya. Kita yang salah, abang. Habis di mana kita nak letakkan muka... nak pulangkan balik janji tu.”“Biarlah Dewi, biar abang yang cakap... tahulah abang nak atur bahasa.” Abah memujuk.“Esok mereka dah nak datang, ni.”“Nanti lepas maghrib abang sendiri cakap dengan Annas dulu.”Suara ibu masih parau kerana sudah lama menangis.

Kuatkan hati, Zana. Kamu dah nak memang tu. Esok saja... lepas tu kamu akan jadi Zana yang dulu lagi, pujuk hatinya berkali-kali. Ingat tak dulu, tangisan ibu yang menghalang kamu ke Lincoln’s Inn. Kesayuan ibu menghentikan langkah kamu ke kolej idaman di Seremban. Zana tidak tahu dia harus tersenyum atau menangis pada saat ini. Dia betul-betul sedang di simpang dilema. Cukuplah... biarlah Zana memilih haluan Zana sendiri. Hati Zana digoda lagi. Ibu nyaris saja maut kerana melahirkan Zana, kerana songsang. Tak boleh ke kamu berkorban sikit Zana? Pujuk hatinya tiba-tiba.

Padahal selama ini hati itu yang mengajaknya untuk ‘berpiket’! Susah ke, untuk menggembirakan hati seorang ibu, Zana? “Dewi jadi bimbang tengok Zana bang, makan pun dah kurang... belajar pun tidak... siang malam asyik main piano dan biola aja.... kita sudah terlampau memaksa dia, bang. Kalau dia tak bahagia kesiannya... Mujurlah kita sedar sebelum terlambat.” Dari bilik yang renggang Zana melihat abah sedang mengesat air mata ibu.

No comments:

Post a Comment