MENYINTAIMU

roses and butterfly photo: Butterfly Roses ButterflyRoses.gif

Thursday, 12 May 2011

~Lagu Cinta eps: 35-36 ~


Monday, October 01, 2007


BaB 35

Aleya Putri

Semusim



Lamunan panjang Aleya terhenti tatkala mendengar ketukan pada pintu biliknya. Terbang segala kenangan lalu yang berputar dibenaknya sejak tadi. Diam tidak diam, sudah lebih dua tahun segalanya berlalu. Rasanya rasa kecewa yang ditanggungnya juga sudah semakin pulih sejajar dengan waktu yang berlalu pergi. Umurnya kini juga sudah masuk lingkungan umur bakal anak dara tua kalau mengikut definisi para ibu di kampung. Nasiblah mamanya duduk di bandar, maka mamanya tidak begitu kisah sangat jika anak daranya ni kahwin lambat. Ya ke mama tak kisah? Rasanyalah kot. Yalah, mana dia tahu apa yang ada dalam hati seorang ibu memandangkan dia sendiri masih belum menjadi seorang ibu.

"Leya kau dah siap ke belum?"

Ketukan di pintunya masih kedengaran. Bertingkah denga suara Arisa. Dia masih lagi menyewa bersama Arisa di rumah lama mereka. Tetapi tidak mungkin akan berlarutan untuk tempoh yang lebih lama lagi. Tidak lama lagi Arisa akan berkahwin. Alhamdulillah panjang nampaknya jodoh dia dengan jiran sebelah rumah mereka, Mr. Eric Mun Jung Hyuk si expatriate keturunan Korea tu. Termakbul jua cita-cita Arisa selama ini untuk berkahwin dengan tuan kepada Johnny si kucing daripada rumah sebelah. Mr. Eric telah pun memeluk agama Islam lebih setahun yang lalu.

Nanti selepas berkahwin semestinya Arisa akan pindah duduk serumah dengan suaminya pula. Yalah takkan dah kahwin pun nak buat kerja gila menyewa rumah asing-asing juga. Dengar-dengarnya dari mulut Arisa ada aura-ura abang Eric bakal miliknya itu akan ditugaskan di negara asalnya semula. Maka pastinya Arisa akan mengikut sekali suaminya itu kembali ke USA. Jadi selepas Arisa berkahwin dia akan pindah kembali ke rumah mamanya semula. Lagipun dia masih lagi bersendirian. Buat masa ini dia tidak mahu lagi mempunyai sebarang hubungan intim dengan mana-mana lelaki selepas dikecewakan oleh Idzham Iskandar dua tahun yang lalu. Dia langsung tidak mahu memikirkan pasal lelaki lagi biarpun umurnya bukanlah semakin muda.

"Aleya? Kau tidur ke? Bukalah pintu ni."

Dengan langkah longlai Aleya bangun dari pembaringannya untuk membuka pintu. Lagi lama dibiarkan Arisa di luar tu makin panjanglah bebelannya nanti. Arisa ni sejak dah semakin dekat hendak kahwin ni, semakin bertambah pula skil membebelnya. Mungkin ini salah satu persediaan dia menjadi isteri agaknya. Sebelum membuka pintu, Aleya mematikan fungsi radio yang terletak berdekatan dengan pintu biliknya itu. Tidak sangka pula mendengar lagu 'Semusim Berlalu' nyanyian Anuar Zain ketika menunggu Arisa tadi mampu membuatkan dia hanyut dengan kenangan silamnya. Kenangan yang telah lama cuba dilupakannya.

Hari ini sebenarnya dia akan menemani Arisa membeli belah keperluan barangan perkahwinannya. Jadi dari awal pagi lagi dia sudah bersiap. Tetapi tadi Arisa meminta dia menunggu dahulu kerana dia hendak berbincang buat kali terakhir tentang senarai barang-barang yang hendak dibeli dengan Abang Ericnya sebelum bertolak. Mereka hanya akan pergi berdua sahaja. Abang Eric si Arisa tidak akan mengikut mereka. Kata Arisa lelaki itu serahkan segala-galanya pada Arisa untuk menentukannya. Dia hanya akan ikut sahaja kerana dia sendiri tidak beberapa pasti dengan adat perkahwinan masyarakat melayu. Maka untuk itu, lelaki itu telah menyerahkan Master Card Platinum miliknya untuk di swipe sesuka hati oleh bakal isterinya nanti. Lagipun Arisa memang tidak akan sesuka hati keluar bedua sahaja dengan Mr. Eric kecuali kalau ada hal kecemasan. Selalunya Arisa akan memastikan ada teman sebagai muhrimnya bila dia perlu berjumpa dengan buah hatinya itu. Mr. Eric pun nampaknya tidak kisah dengan cara Arisa tu. Mereka berdua tu, duduk bersidang untuk berbincang tentang persiapan perkahwinan mereka hari ini pun melalui 'balkoni konfrens' sahaja iaitu dengan duduk menghadap antara satu sama lain di balkoni rumah masing-masing sahaja memandangkan mereka berjiran.

Kagum betul Aleya dengan perhubungan Arisa dan Abang Ericnya. Arisa begitu teguh dengan pendiriannya sebagai wanita muslimah dan Abang Eric Arisa tu pula sangat menghormati pendirian temannya. Mr. Eric Mun Jung Hyuk pernah berkata pada Aleya, sifat Arisa Syuhada yang sentiasa memelihara adab pergaulannya itulah yang telah menambat hatinya. Kadang-kadang wujud juga rasa segan Aleya pada Arisa dan pasangannya. Seorang wanita melyu islam dan seorang lelaki mualaf berbangsa asing boleh menjalani hubungan cinta yang suci seperti yang disarankan syariat. Sedangkan dia dulu, bercinta sesama bangsa dan sama agama pun selalu sahaja hanyut daripada batasan pergaulan yang ditetapkan.

Sudahlah selama ini, sembahyangnya sendiri selalu rongak. Sembahyang mana yang sempat dan bila teringat sahaja. Bila tertinggal waktu sembahyang, dia tidak pernah terfikir hendak menggantikannya langsung. Dia selalu dengar orang berkata yang sembahyang itu tiang agama. Tetapi tiang agamanya sendiri sudah semula jadi rapuh, apatah lagi bila dia terlalu leka dengan cinta yang lebih kepada mengikut hawa nafsu sahaja. Semasa dia bercinta dengan Idzham dahulu begitu selamba dia melanggar batasan pergaulan yang telah ditetapkan buat seorang wanita Islam. Berdua-duaan dan berpegang tangan dengan lelaki itu sebagai cara menghargai cinta kononnya. Percuma sahaja dia membiarkan kulit mulus yang telah dijadikan oleh Allah untuknya disentuh oleh Idzham yang tentu sahaja mengundang dosa kerana lelaki itu bukanlah muhrimnya.

Mengingatkan kekhilafannya dahulu membuatkan dia teringat kata-kata seorang ustaz yang pernah didengarinya dalam ceramah bulan ramadhan di masjid berhampiran rumah mamanya dahulu. 'Orang yang memegang babi itu lebih baik daripada orang yang memegang tangan manusia lain yang bukan muhrimya kerana pegang babi hanyalah najis hukumnya. Walaupun dalam kategori najis berat tetapi najis itu masih boleh dibersihkan dengan cara yang telah ditetapkan. Manakala bila kita memegang tangan yang bukan muhrim kita dengan sengaja seperti kebanyakan kekasih masa kini, hukumnya dosa dan dosa itu tidak akan terbasuh walaupun kita cuci dengan air dari tujuh perigi, tujuh gunung atau tujuh lautan sekalipun. Dosa kita itu hanya boleh diampunkan oleh Allah sahaja di atas kehendak-Nya.'

Ya Allah, banyaknya dosa dia selama ini. Dosa meninggalkan sembahyang, dosa berpegang dan berdating tangan dengan Idzham juga dosa mendedahkan auratnya. Sudah lebih suku abad dia diberikan nikmat bernafas di muka bumi ini secara percuma, tetapi dia tidak pernah hirau akan hukum Allah yang mengwajibkan dia menutup aurat apabila tiba umur akil balighnya. Bukannya mama dan papa tidak pernah bising. Malah dia pernah berjanji untuk menutup aurat sekembalinya daripada kampung Idzham dahulu. Namun, janji pada dirinya sendiri dilupakan begitu sahaja kemudiannya. Niat suci itu tidak pernah langsung dilaksanakan.

Hatinya pedih setiap kali mengingatkan keingkarannya selama ini. Kenapalah selama ini dia tidak menghargai nikmat iman dan Islam itu? Kenapalah mesti dia kaku dalam mentaati ajaranNya? Kenapalah dia masih segan mengamalkan isi kandungan iman serta Islam dan kenapalah masih wujud perasaan was-was dalam mematuhi perintah-Nya? Selama ini dia terlalu bongkak hidup di atas dunia yang hanya dipinjamkan buatnya sahaja. Mungkin kekecewaan cinta yang di alaminya ini adalah balasan ke atas dosa-dossa yang dilakukannya selama ini. Hanya setelah kecewa bercinta barulah dia menyedari segala kealpaannya dan mahu mengadu pada Allah. Teruknya dirinya ini.

Namun begitu dia tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia dapat bangun dari kelekaannya sebelum dia menutup mata selama-lamanya. Alhamdulillah. Bukankah segala penderitaan yang kita rasai itu selalunya ada makrifat yang tersembunyi? Mungkin kesedarannya ini adalah imbuhan yang tersembunyi di sebalik kekecewaan yang di alaminya.

Kini hanya pada Allah sahaja dia mengadu. Dia sering memohon lewat solatnya supaya dia diberikan jodoh yang baik. Moga dia dikurniakan lelaki yang soleh dan dapat menyayangi dia seadanya. Dia tahu lelaki yang baik tidak melihat paras rupa, lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui betapa seksi diri wanita itu, lelaki yang baik tidak menilai wanita melalui keayuannya, kemanjaannya, serta kemampuannya menggoncang iman mereka. Tetapi hawa, lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya, peribadinya, dan ad-dinnya. Lelaki yang baik tidak menginginkan sebuah pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya kerana dia takut memberi kesempatan pada syaitan untuk menggodanya. Lelaki yang warak juga tak mahu bermain cinta sebabnya dia tahu apa matlamat dalam sebuah hubungan antara lelaki dan wanita yakni perkahwinan.

"Aleya!!! Kau buat apa dalam bilik tu? Kau tidur ke kau dah pengsan?"

Ketukan di pintu dan suara Arisa memanggil masih kedengaran. Ketukannya itu semakin kuat. Rasanya macam dah nak roboh pintu bilik Aleya dibuatnya.

'Eh, aku tak buka lagi pintu ke dari tadi?'

Aleya termangu-mangu sendirian. Astarghafirullahalzim, boleh dia berdiri depan pintu ni dari tadi dan bermonolog sendirian? Ingatkan tadi selepas tutup radio dia nak bukakan pintu biliknya yang berkunci tu supaya Arisa boleh masuk. Ni semua gara-gara tak habis ulang tayang cerita lama lah ni tadi. Aduhai Aleya... Itulah siapa suruh layan blues. Kan Arisa dah mula mengamuk tu. Agaknya kalau Aleya tak buka juga pintu tu sekejap lagi mahunya dia kapakkan pintu bilik ni. Memikirkan dia tidak mahu menggantikan pintu bilik tuan rumah ini, lantas dipulasnya tombol pintu supaya Arisa tidak terus mengamuk sampai satu blok kondominium mereka boleh dengar pula lepas ni. Aleya hanya menayangkan muka tersengihnya sejurus pintu bilik dibuka dari dalam.

"Kau buat apa dekat dalam tu? Aku ketuk bagai nak rak tak bersahut langsung. Nyaris-nyaris aku nak semak yellow pages cari nombor telefon kedai yang boleh sewakan chain-saw tadi."

"Err..tengah berangan."

"Berangan? Kau boleh duduk dalam tu berangan? Aku ketuk pintu sampai merah-merah tangan ni tahu tak? Macam mana nak sarung cincin nanti? Eeee... Kau ni kan buat aku rasa nak sembelih-sembelih je tengkuk kau tu."

"Eleh, sekejap je merah tu. Bukannya kau dah nak kena sarung cincin pun kan? Majlis kau tu dua bulan lagilah. Kau tu pun satu, siapa suruh bersidang lama sangat? Naik kematu aku menunggu kau tahu tak? Aku bosan tak ada buat apa-apa sementara menunggu kau tadi. Tu yang aku dok berangan dulu. Cuma terlajak sedikit je. Kau marah ke Risa? Bakal pengantin tak baik tau marah-marah selalu. Orang kata nanti hilang seri."

Aleya cuba memujuk Arisa yang nampaknya sudah naik angin dengan alasan yang diberinya tadi. Dia tidak mahu memberitahu Arisa yang dia sedang sibuk mengimbau segala kenangan lalu ketika Arisa mula-mula memanggilnya tadi. Nanti Arisa mesti akan bising padanya bila tahu yang dia masih mengenang cerita semalam. Arisa selalu menasihati dia untuk melupakan sahaja segala cerita luka semalam. Jalan dihadapannya sudah terbentang luas untuk dicorakkan dengan cerita yang lebih manis. Masih banyak lelaki lain yang menunggu dirinya. Tetapi bukannya mudah untuk lupakan segala-galanya dan menganggap seolah-olah kisah itu tidak pernah berlaku. Dia yang menanggung segalanya, dia tahu cerita luka itu bukannya boleh dipadamkan dengan mudah seperti kita memadam kesalahan penulisan kita dengan pemadam atau liquid paper. Cerita luka itu akan kekal dalam hatinya walau bagaimana sekalipun dia cuba mengnyahkan cerita itu daripada hidupnya.

"Aku tak marah. Buat apa aku nak marah kawan baik aku? Kalau aku marah karang kau tak nak temankan aku pula. Sudahhlah tu, kau sambung je sesi berangan kau tu malam karang. Sekarang ni, jom kita keluar."

"Tunggu aku bersiap pakai tudung kejap."

Aleya masuk ke dalam biliknya semula untuk memakai tudung. Alhamdulillah sekarang ni dia sudah semakin sedar. Semenjak kecewa lebih dua tahun lalu, dia mula musahabah dirinya semula. Salah satu kemajuan yang dibuatnya ialah dia sudah mula belajar menutup aurat seperti yang sepatutnya dilakukan sejak lama dahulu. Tentu kalau Idzham Iskandar tengok dia sekarang ni, lelaki itu akan terbeliak. Yalah Aleya bekas kekasih dia ni yang dah semakin ayu dengan tudungnya, sudah setaraf dengan bini dia si Shasha tu. Mesti dia akan menyesal pasal pernah reject Aleya dahulu.

'Aduhai Aleya...kamu ni pakai tudung semata-mata nak melawan si Shasha bini Idzham tu ke pakai kerana patuh pada suruhan Allah?'

'Err..mestilah pakai untuk Allah. Cuma tadi je tergerak hati kata konon diri ni dah setanding kecantikan bini Idzham tu je. Hmm... apa khabar lelaki tu sekarang ni ya? Agak-agak dah berapa anak dia dengan perempuan tu?'

Hati Aleya bermonolog sendirian sambil merapikan tudung di kepala sambil menghadap cermin soleknya. Langsung tidak menyedari yang dia sudah mengambil masa yang terlalu lama untuk memakai tudung sahaja sehinggalah Arisa yang sudah resah menanti menjenguk sekali lagi ke dalam biliknya.

"Aleya, kau pakai tudung ke kau jahit tudung? Lamanya bersiap. Aku penat menunggu dekat depan tu, dia tak sudah-sudah lagi pakai tudung. Sudah-sudahlah tu. Tak payah belek lagi, dah cukup cantik dah tu."

Aleya hanya menghadiahkan sengihan dia sahaja pada Arisa. Tulah Aleya asyik berangan je hari ni, tak pasal-pasal si Arisa tu naik angin sekali lagi. Sudah-sudahlah mengingatkan lelaki bernama Idzham tu. Dah jadi suami orang pun. Silap-silap dah jadi bapa orang agaknya. Apasal lah hari ni dia asyik teringat dekat Idzham je? Bukankah dia dah berjanji dengan diri dia yang dia nak lupakan sahaja lelaki tu? Lelaki tu hanyalah cebisan kenangan silam sahaja tahu.

Dia masih ingat lagi Arisa pernah berkata padanya dahulu supaya jangan dipandang terlalu lama pada pintu hati yang sudah tertutup itu. Tapi pandanglah pada pintu yang sedia terbuka buat dirinya. Janganlah ditutup pintu hati tu hanya kerana kelukaan yang pernah dialami. Hidup ini tidak akan selalunya indah dan tidak akan selalunya dipenuhi kekecewaan sahaja sepanjang masa.

Aleya sendiri percaya wanita yang baik tercipta buat seorang lelaki yang baik. Dia sudah berusaha untuk merubah dirinya supaya menjadi wanita yang lebih baik. Siapa tahu mungkin lelaki yang baik itu sedang dalam perjalanan untuk menemui dia? Jadi dia hanya perlu bersiap-sedia dan membuka hatinya bila tiba masanya kelak.

Dan siapa sangka tiada angin, tiada ribut taufan, 'lelaki yang baik' itu akan tiba-tiba menghulurkan lamaran buatnya tidak lama lagi?



Semusim (Marcel)

Semuanya t'lah terjadi
Cintaku telah pergi
Dan kini ku sendiri
Tanpa dirimu lagi
Tak mudah menepis cerita indah

Semusim t'lah kulalui
T'lah kulewati tanpa dirimu
Tetapi bayang wajahmu
Masih tersimpan di hati

Tak pernah kubayangkan
Kau putuskan cintaku
Kucoba 'tuk lupakan
Semua tentang dirimu
Tak mudah bagiku melupakanmu




Wednesday, October 03, 2007


BaB 36

Idzham Iskandar

Mungkir Bahagia



"Abang Is ada girlfriend tak?"

Idzham tersentak dengan soalan yang dilontarkan secara tiba-tiba oleh Alyza mengangkat pandangan daripada buku yang sedang dibacanya dan menatap muka gadis dihadapannya itu dengan pandangan pelik.

"Apasal Abang Is pandang Alyz sampai macam tu sekali? Alyz salah tanya soalan ke?"

Idzham masih merenung wajah Alyza. Tiada jawapan yang mampu keluar daripada mulutnya tika itu. Kekasih? Apa yang patut dijawabnya? Dulu memanglah dia ada kekasih. Tetapi kini masih bolehkah wanita bernama Aleya Putri dianggap kekasih apabila dia sendiri meninggalkan wanita itu tanpa sebarang alasan? Dia tahu Aleya pastinya terluka dengan apa yang dilakukannya. Amat pasti. Malah sekiranya suatu hari nanti dia ingin kembali mendiami hati wanita yang paling disayanginya itu selepas umi yang telah melahirkannya, dia pasti tidak akan ada lagi ruang yang tersimpan buatnya.

Di sini, di University of Canberra yang terletak di kawasan sub-urban Bruce yang berhampiran dengan bandar Belconnen, Canberra Australia dia membawa hatinya sendiri yang turut terluka. Siapa yang tidak sedih apabila terpaksa meninggalkan satu-satunya wanita yang ingin disunting menjadi isteri? Siapa yang tidak kecewa apabila terpaksa melukakan hati orang yang tersayang? Namun demi sebuah perjuangan yang dia sendiri tidak pasti di mana noktahnya, dia terpaksa melakukannya. Harapannya semoga satu hari nanti wanita bernama Aleya itu akan faham segala tindakannya walaupun wanita itu tidak mungkin akan memaafkannya langsung.

"Abang Is… oh, abang Is…"

Khayalan Idzham terganggu dengan panggilan daripada Alyza.

"Hah…apa dia tadi?"

"Apalah abang Is ni. Orang baru tanya ada makwe ke tak, kepala tu dah melayang sampai entah mana. Belum tanya nama si dia tu lagi. Silap-silap koma terus."

Alyza sudah menayang muka cemberutnya di hadapan Idzham. Muka tidak puas hati apabila soalannya tidak dijawab. Idzham hanya mengeleng melihat telatah Alyza. Gadis manis di hadapannya ini memang pantang kalau dia bertanya, orang tak nak jawab. Cepat sahaja angin melentingnya datang.

"Lyza, kitakan dekat library ni. Mana boleh bersembang."

"Abang Is, memanglah ini library. Tapi kitakan sekarang dekat Library Lounge. Tak ada masalahnya nak bersembang-sembang. Namanya pun lounge. Lounge tu dalam bahasa melayu maksudnya lebih kurang macam tempat bersantai. Jadi dekat sini kita boleh belajar sambil bersantai. Abang Is ni baru dua semester dekat sini dah lupa Bahasa Melayu. Alyz ini dah nak masuk tiga tahun dekat sini pun tahu Bahasa Kebangsaan lagi tau."

"Tadi Alyz datang joint abang duduk dekat sini, kata nak siapkan assignment kan? Abang nak habiskan baca buku ni. Lusa abang nak kena present literature review untuk bab baru tesis abang. Kalau abang tak sempat siapkan nanti, abang suruh Alyz yang buat ya?"

"Apa pula? Mana Alyz tahu buat kerja abang Is. Course Alyz mana sama dengan abang Is. Lagipun Alyz ambil degree je. Abang Is tu ambil master. Yalah Alyz sambung balik kerja Alyz ni… "

Nada suara yang digunakan Alyza sudah mula berubah seperti orang merajuk. Pantas sahaja pandangannya dialihkan daripada memandang Idzham ke arah laptop Apple iMacnya semula. Idzham menyambung bacaannya semula. Sesekali matanya dijeling ke arah Alyza yang sudah tekun semula menyiapkan kerjanya. Walaupun gadis di hadapannya ini suka merajuk tetapi dia amat senang begaul dengan gadis yang peramah ini. Wajah Alyza selalu mengingatkkan dia kepada seseorang. Wajahnya ada iras seseorang yang sentiasa terselit di sudut hati lelakinya.

Idzham sendiri tidak pasti bagaimana dia boleh begitu rapat dengan Alyza. Seingatnya dia mula mengenali Alyza melalui Bryan, teman yang menyewa di sebelah biliknya di Old Ressies. Lelaki Australia itu merupakan teman rapat kepada Alyza. Kata Bryan, Alyza tu buah hatinya tetapi Alyza kata dia dan Bryan hanya teman rapat sahaja. Entahlah mana satu yang betul, dia pun tidak pasti. Sama ada Bryan tu yang terlebih perasan atau Alyza malu hendak mengaku padanya yang Bryan tu adalah kekasih dia. Macam mana mereka berdua tu boleh rapat pun dia tidak pasti. Setahu dia Bryan mengambil Bachelor of Commerce/Bachelor of Laws manakala Alyza pula pelajar Bachelor of Arts in International Studies/Bachelor of Communication in Advertising & Marketing Communication. Kedua-dua kursus tu bukannya daripada fakulti yang sama pun.

Alyza ni memanglah manis orangnya. Dia ni seorang yang amat suka bercakap. Sangatlah berpadanan dengan kursus yang diambilnya. Gadis yang bertudung ni seorang yang sentiasa riang. Walaupun mudah merajuk, dia juga mudah dipujuk. Kadang-kadang terfikir juga Idzham kenapa gadis bernama Alyza Azhar ini dengan begitu pantas menjadi rapat dengannya. Tetapi dengan pelajar-pelajar Malaysia yang lain, Alyza hanya melayan mereka biasa-biasa sahaja. Tidak terlalu rapat seperti mana dengan dia dan Bryan. Dekat University of Canberra ini ada ramai juga pelajar Malaysia. Siap ada persatuan lagi iaitu UCU Malaysian Students Association.

Alyza memanggil dia abang Is. Mungkin kerana jarak umur mereka yang jauh berbeza. Dia juga lebih selesa dikenali sebagai Iskandar di bumi Australia ini. Lagipun Iskandar tu juga nama dia kan? Mungkin dia sebenarnya sedang cuba melupakan nama Idzham dan panggilan Am kerana nama itu akan mengingatkan dia kepada Aleya yang telah ditinggalkannya begitu sahaja. Dia tahu yang dia tidak akan dapat melupakan nama Idzham selamanya kerana nama itu telah tercatat dalam dokumen pengenalan dirinya kecuali jika dia sanggup turun naik mahkamah untuk menggugurkan nama tersebut. Tetapi mana mungkin dia mampu menggugurkan nama yang telah diberikan oleh arwah bapanya itu.

Kadang-kadang dia melihat telatah Alyza seperti dia melihat telatah Ain, adik saudarnya yang kini sedang menyambung pengajiannya di Ireland. Entah apa khabar Ain di sana agaknya. Dia tidak pernah pun beritahu Ain yang kini dia sedang menyambung pengajiannya di universiti ini. Memang tidak ramai yang tahu bahawasanya dia sedang membawa diri sampai ke Canberra. Dengan uminya pun dia hanya beritahu sehari sebelum dia berangkat ke sini. Masih terbayang-bayang wajah sendu umi apabila diberitahu mengenai pemergiannya suatu ketika dahulu.

"Umi… Am nak cakap sikit dengan umi ni."

Umi yang sedang sibuk melipat kain sejak tadi memberhentikan pekerjaannya dan mengangkat pandangannya ke arah satu-satunya anak yang dia ada melalui hampir 20 tahun perkahwinanya dengan arwah Ismail. Wajah si anak dipandangnya mesra. Wajah anaknya itu nampak sedikit pucat. Badannya juga nampak susut berbanding dua bulan yang lalu. Baru kelmarin anaknya ini selamat kembali ke sini setelah hampir dua bulan dia tidak pulang. Pelik juga hati seorang ibunya apabila mengenangkan anak yang jarang tidak menjenguknya yang tinggal seorang diri di kampung ini tidak menjengahkan mukanya sampai dua bulan lamanya. Selalunya paling lama dia tidak balik pun setakat dua minggu sahaja. Tetapi katanya hari itu dia sibuk sangat-sangat dengan kerja pejabatnya. Dengan kena terbang ke Singapuranya lagi.

"Umi…esok Am akan berangkat ke Australia."

"Kamu nak ke sana buat apa? Kerja ya? Berapa lama pula kali ni?"

"Errr… bukan kerja umi. Am nak pergi sambung belajar. Am nak buat Master. Tak pasti lagi berapa lama Am kena duduk sana. Mungkin dua atau tiga tahun gamaknya."

Wajah umi jelas nampak terkejut mendengar penerangan anak tunggal kesayangannya.

"Sambung belajar? Kenapa tiba-tiba pula ni? Hari tu kamu kata kamu nak kahwin. Umi baru ingat nak mengajak Mak Chu kamu pergi meminang budak tu. Apa namanya kawan yang kamu bawak balik hari tu? Aliya? Leya? Haa…Leya kan namanya? Ni tiba-tiba pula kamu nak belajar lagi. Jauh pula tu. Udah tu, bilanya kamu nak kahwin? Kamu tu bukannya muda lagi Am. Umur kamu udah masuk 30 tahun pun."

"Umi, kalau boleh memang Am nak kahwin dengan Leya. Tapi dah tiba-tiba dapat tawaran belajar ni, takkanlah nak tolak pula. Dah lama Am mintak nak sambung belajar dekat sana."

"Kalau kamu kahwin dulu tak boleh ke? Kemudian bawa sekali dia ke sana. Kalau kamu dah kahwin, sekurang-kurangnya senang sikit hati umi ni. Duit pun bukannya kamu tak ada."

"Umi…Am dah cakap dengan Leya. Tapi dia yang tak mahu kahwin lagi. Dia suruh Am habiskan belajar dahulu."

Dia tahu dia telah menipu umi. Tetapi dia benar-benar terpaksa. Dia tidak sanggup memberitahu uminya cerita yang sebenarnya. Biarlah umi senang hati melepaskan dia pergi. Cadangan umi itu memanglah pernah terlintas dibenaknya suatu ketika dahulu. Dahulu sebelum apa yang telah berlaku padanya di Singapura.

Di benaknya pernah terlintas andai kata permohonannya untuk membuat Master of International Economic Law di University of Canberra berjaya, dia mahu meminang Aleya secepat mungkin dan mengahwininya secepat yang boleh. Kemudian dia akan membawa Aleya bersama-samanya. Aleya kata sebelum dia ke Singapura hari tu dia bakal ditauliahkan sebagai MAICSA Associates tidak lama lagi setelah berjaya melengkapkan segala keperluan kursus ICSAnya itu. Jadi, mengikut perancangannya sebagai lulusan ICSA, Aleya tentu sahaja boleh mengikutnya ke Australia nanti dan berkhidmat di sana. Semua lulusan ICSA mempunyai kelebihan untuk mempraktikkan sijil professional mereka di kebanyakan Negara Komonwel.

Soal duit tidak manjadi masalah padanya. Arwah bapanya telah meninggalkan berpuluh ekar tanah untuknya. Malah tanah yang diwasiatkan pada umi juga tentu sahaja bakal diwarisinya kerana dialah satu-satunya anak umi. Kata umi, mungkin dia akan berikan sedikit bahagiannya pada Ain nanti sebagai penghargaan kerana selalu menemankannya dahulu dan selebihnya pastilah diserahkan pada Idzham. Malah sebahagian tanah arwah ayah di baruh telahpun diambil oleh Kerajaan untuk Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dahulu. Pampasan yang bernilai hampir separuh juta ringgit Malaysia itu umi telah serahkan padanya. Kata umi dia tidak perlukan duit berkepuk-kepuk dah. Dia sudah cukup tua untuk berbelanja benda mahal-mahal.

Tetapi apabila dia diduga dengan ujian yang dirasakan cukup berat untuk dilalui baginya semasa dia berkrusus di Singapura dahulu, dia terpaksa mengubah segala perancangannya selama ini. Aleya terpaksa ditinggalkannya tanpa sebarang sebab kerana dia tidak mahu wanita itu akan merasa kecewa apabila mengetahui hakikat sebenarnya suatu hari nanti. Sekembalinya daripada Singapura walaupun dia telah menerima tawaran yang diidam-idamkankannya selama ini, dia menerimanya dengan hati yang cukup berat. Berat kerana dia terpaksa melepaskan Aleya pergi daripada hidupnya. Berat kerana Aleya tidak akan bersama-sama dengannya di sana seperti yang pernah diangankannya dahulu.

"Udah tu, bila masanya kome berdua ni nak kahwin? Umur kamu tu bukannya makin lama makin muda."

"Insyaallah umi, ada jodoh, Am akan kahwin juga dengan dia nanti. Umi jangalah risau. Nanti Am tak ada, Am akan suruh Hafis dengan Dania tengok-tengokkan umi ya? Sian umi, Ain pun tak ada dekat sini. Am dah nak kena daftar dekat universiti tak lama lagi. Kalau tidak boleh juga Am habiskan masa dengan umi dahulu. Kereta Am tu, nanti Am tinggalkan je dekat kampung ni. Kalau umi nak pakai, umi pakailah ya."

"Hmmpphh…kamu bukan tak tahu yang umi ni bukan reti nak bawa kereta. Kalau kamu tak nak pakai dah, kamu jual je lah. Tak pun suruh si Hafis jaga. Kalau letak dekat kampung ni, jawabnya jadi tukun aje nanti. Kamu pergi esok tak adalah dah umi kawan dekat sini. Bukannya dekat kalau kamu nak ulang-alik pun. Yang kamu pergi cari universiti jauh-jauh tu kenapa? Dalam Malaysia ni pun banyak universiti juga kan?"

"Am janji yang nanti Am akan selalu telefon umi. Dekat Canberra sana pun okay umi. Universiti tu walaupun tempat orang putih tapi dia ada sedia tempat sembahyang untuk orang muslim, ada jual makanan halal, dan orang Malaysia pun ramai dekat sana umi. Umi jangalah bimbang. Pandailah Am jaga diri dekat sana. Insyaallah kalau umur panjang Am akan balik sini umi. Dekat sini Am ada umi, Am ada kawan-kawan, ada dia…"

Ada keluhan yang keluar daripada mulutnya. Harapnya suatu hari nanti dia akan dapat menjejaki semula bumi Malaysia ini. Saat dia merenung wajah uminya yang tercinta, dapat dilihatnya ada mutiara jernih sudah mula mengalir perlahan di pipi yang mula menampakkan kedutan yang ketara itu. Tidak mahu umi terus bersedih mengenang pemergiannya esok, pantas dipeluknya tubuh uminya erat.

' Ya Allah…Hanya padamu aku memohon semoga suatu hari nanti aku diberi kesempatan untuk memeluk tubuh wanita ini yang telah banyak bekorban untuk aku selama ini sekali lagi…'
Lamunan panjang Idzham terganggu apabila ditegur Alyza secara tiba-tiba.

"Abang Is jom pergi UCU Refectory nak? Alyz laparlah. Alyz dah tak larat nak menghadap assignment ni lagi."

Idzham memandang wajah Alyza yang seolah-olah minta dikasihani. Tak sampai hati melihat wajah mohon simpati Alyza dia menutup buku yang sedang dibacanya dan mengemas peralatan yang dibawanya.

"Okay, jom. Karang ada yang mati kebuluran pula dekat library ni. Tak pasal-pasal abang yang kena tuduh pula."

"Yaiy… ini yang buat Alyz saaayannngggg sangattt dengan abang Is!"

Idzham terpempan dengan pengakuan Alyza yang baru didengarinya itu.

'Sayang abang Is? Sayang macam mana tu? Takkanlah budak ni dah terpikat dekat aku kot? Biar betul si Alyz ni?'

MungkiR Bahagia (Hazami)

Ooo..Dihimpit dicengkam rindu ini
Gerimis duka ku
Menggamit kenangan silam
Resah dan pilu menghampiri

Sunyinya malamku kelam
Pedih kemelut cinta
Dingin kelu bicara
'Tuk mengungkap rindu

Sayangku mungkir pada kejujuranmu
Menolak segala bahgia dihadapanku
Kasihku mungkir pada kata janjiku
Berlari aku jauh dari cintamu
Kukesali
Dikanyut dilambung ombak lara
Sepiku berkelana
Melayari jiwa nestapa
Menggagahi rasa kesayuan

Leburlah harapan cinta
Namun kesetiaanmu
Kugenggam bagai hukuman
Mengheret langkahku

Maafkan daku
Kekasih hati cinta kita berakhir
Maafkan daku
Kerna ku memungkirinya

Maafkan daku
Kekasih hati cinta jadi begini
Maafkan daku
Ku mungkir bahagia







Sunday, October 07, 2007

Raya Special

Aleya Putri

Sepasang Kurung Biru



"Yaya tak siap lagi ke?"

Aleya yang sedang duduk termenung di atas katilnya menoleh ke arah pintu apabila mendengar teguran kakak iparnya itu. Semenjak lebih lima belas minit yang lalu dia masih duduk termenung memerhatikan almari pakaiannya yang terbuka. Dia tidak tahu baju kurung yang mana satu hendak dipakainya pada pagi raya itu.

"Kenapa tak bersiap lagi? Yaya ada masalah ke?"

Aleya memandang Kak Eja, kakak iparnya yang prihatin itu melangkah masuk ke dalam biliknya lalu duduk di sebelahnya di atas katil. Dia teragak-agak untuk menjawab soalan kakak iparnya itu.

"Errr… tak ada apa-apa Kak Eja. Yaya okay. Kak Eja janganlah bimbang. Yaya cuma confuse tak tahu nak pakai baju yang mana satu dulu je pagi ni."

Sehabis berkata begitu, Aleya terdengar tawa kecil meletus daripada bibir kakak iparnya. Aleya merenung wajah kakak iparnya itu dengan perasaan bingung. Apa yang kelakarnya? Aleya ada buat lawak pagi raya ke sampai Kak Eja ni tertawa? Lawak ke kalau Aleya tak tahu nak pilih baju raya mana satu yang hendak disarungnya pada pagi hari raya pertama ini? Untuk hari raya kali ini dia ada tiga pasang baju kurung yang baru. Sepasang baju kurung bewarna merah jambu yang dibelikan oleh mama, sepasang baju kurung bewarna putih susu dengan sulaman pemberian Kak Eja dan sehelai baju kurung berkain songket warna hitam yang dibelinya di bazar Jalan TAR. Kesemua baju tersebut telahpun siap bergosok oleh Bibik Noti dan digantung dalam almarinya.

Nak pakai yang bewarna merah jambu tu macam feminin sangat je rasanya. Lagipun dia tidak berapa berkenan dengan coraknya sangat. Bunga pada baju tu besar-besar sungguh. Kiannya pula licin. Aleya tidak suka kain yang licin-licin macam tu. Tetapi dia tidak sanggup beritahu pada mama yang dia tidak begitu berkenan dengan baju kurung pilihan mama tu. Nanti kecil pula hati mamanya kalau dia kata begitu. Kalau pakai sekejap-sekejap sahaja macam pergi ke kenduri tu mungkin boleh diterima. Tapi kalau nak pakai sepanjang hari raya ni, aduh tak mahulah Aleya. Nanti nak melayan tetamu-tetamu keluarganya yang datang berkunjung lagilah payah. Macam mana nak menghidang juadah raya dengan baju kurung yang licin begini. Rimas Aleya dibuatnya.

Baju kurung putih susu hadiah daripada Kak Eja itu pun rasanya tidak beberapa sesuai untuk dipakai pada pagi raya ini. Baju itu kata kakak iparnya, dia hanya belikan baju kurung kosong yang sudah siap sahaja. Sulaman yang ada pada baju itu ditambahnya sendiri. Satu-satunya kakak ipar yang dia ada itu memang pandai menjahit sulaman. Isteri abang longnya itu merupakan suri rumah sepenuh masa. Jadi dia ada banyak masa untuk mempraktikan teknik sulaman yang dipelajarinya semasa mengandungkan anak sulungnya dulu. Aleya benar-benar menghargai pemberian baju kurung yang cantik oleh kakak iparnya itu. Cuma sebentar nanti apabila ada tetamu yang datang, kotor pula nanti baju kurung itu kalau disarungnya. Yalah nanti nak menghidang pada tetamu, pasti akan terpercik minyak daripada rendang masakan mama pada baju kurung yang cantik itu. Mama selalu kata Aleya ni buat kerja menghidang tak reti nak berhati-hati. Ada sahaja kotoran yang akan terlekat pada baju yang dipakainya.

Hmmm. baju kurung songket warna hitam yang dibelinya itu mungkin sesuai untuk menghidang. Kalau tepercik rendang pun bukannya nampak. Tapi nanti apa pula kata tetamu? Ada ke pagi raya pakai baju warna hitam. Macam orang berkabung sahaja. Eh, Aleya kan memang tengah berkabung di atas cintanya yang tidak kesampaian dengan Idzham. Kalau tidak pun mesti para tetamu akan bertanya adakah Aleya ni bekerja sebagai peguam? Aleya ikut jejak bapanya yang pernah bertugas sebagai Timbalan Pendakwaraya itu ke? Yalah para peguam kan suka baju warna hitam. Senang boleh digunakan untuk ke pejabat lepas raya nanti. Huh, peguam? Aleya ni kan hanya dapat habiskan pengajiannya setakat Ijazah Jurisprudence sahaja. Mana layak nak jadi peguam. Itulah gatal lagi nak beli baju kurung hitam. Konon warna hitam itu menawan.

"Aleya...apa yang dimenungkan tu lagi? Masih tak dapat buat pilihan? Sekejap lagi orang nak pergi sembahyang raya dah."

Teguran daripada Kak Eja menyedarkannya yang dia masih belum lagi membuat pilihan dan bersiap semenjak tadi. Masih berfikir-fikir baju mana satu yang hendak dipakai. Nasiblah segala makanan sudah siap disediakan dan dihidang tadi. Selepas subuh tadi dia sudah siap menolong mama menyusun kuih-muih dan memperhangatkan rendang. Lemang sudah dibeli oleh papa dan abang long semalam. Semalam mereka berdua tu telah ke Ulu Kelang untuk membeli Lemang Pak Ali. Keluarga kecilnya itu sememangnya tiada hidangan tradisi istimewa yang wajib dihidangkan pun untuk hari raya. Setakat lemang yang dibeli dan rendang yang dimasak oleh mama sahaja. Tahun ini, memandangkan abang long sekeluarga beraya bersama mereka, Kak Eja sudi menyediakan laksa johor sebagai menu tambahan untuk hidangan hari raya pertama mereka.

"Baju kurung yang biru tu cantik juga. Tadi akak tengok mama dan papa pun pakai baju warna biru. Sesuailah tu untuk bergambar sekeluarga nanti. Keluaraga akak, abang long dah kata tahun ni nak semuanya warna merah. Jadi akak dah siapkan awal-awal baju untuk akak sendiri, abang long dan anak-anak warna merah."

'Baju kurung biru?'

Aleya memandang ke arah baju kurung biru yang bersangkut sebaris dengan deretan baju kurungnya yang lain dalam almari dihadapannya itu.

"Baju yang biru tu ke kak?"

"Hmm.. yalah. Ada satu je baju kurung warna biru dalam almari Yaya tu kan?"

Aleya hanya melihat kak Eja bangun dari duduknya dan mengambil baju kurung bewarna biru tersebut. Kak Eja membelek baju tersebut depan dan belakang lalu menyerahkanya pada Aleya.

"Cantik baju ni? Yaya beli di Butik First Lady ya? Yaya beli di kedai yang dekat Singapura tu atau yang ada di KL ni?"

"Errr... di KL ni je. Yaya mana pernah sampai ke Singapura lagi. Baju ni Bukannya baju baru pun, dah lama lah kak.."

"Tak pernah nampak Yaya pakai pun? Ini mesti baru pakai sekali dua sahaja. Tak ada nampak lamalah Yaya. Macam baru sahaja. Cuma tak ada bau kedai je. Terpulanglah pada Yaya. Kalau Yaya pakai yang ni pun cantik juga. Matching sedikit dengan baju papa dan mama. Nanti ambil gambar keluarga dan hantar pada Zaza di Australia tu. Mesti dia akan terus telefon mama dan merungut tak aci sebab dia tak ada sekali."

Mendengar kata-kata kak Eja itu mengundang secebis senyuman pada bibir Aleya. Kak Eja ni memang suka menyakat Zaza, si bongsu yang manja dalam keluarga ni. Tiba-tiba datang rasa rindu pada si adik yang jauh di seberang laut. Zaza tidak dapat balik kerana katanya cutinya tidak panjang. Tetapi mama dah kirimkan segala macam makanan dan baju raya buat adiknya sebulan yang lalu. Dengan kuih-muihnya, pes rendang segera, lemang segera, ketupat segera, kuah kacang segera dan segala yang boleh si adik masak dengan segeralah. Cuma harapan mama semoga anak bongsunya itu akan rajin juga untuk masak semua bekalan yang diberi itu. Kalau malas, sia-sialah mama habiskan duit untuk hantar parcel tersebut.

"Pakai sajalah Yaya. Jangan nak pening-peningkan kepala lagi. Tak kisahlah baru atau lama baju tu. Bukannya semua orang tahu pun. Cepat papa dah bising nak ke masjid tu. Karang kena tinggal pula. Akak nak pergi tengok Biela dan Atie tu. Entah sudah siap ke belum tuan puteri dua orang tu."

Aleya mengikut langkah kak Eja keluar dari biliknya dengan ekor matanya sahaja. Setelah kelibat kak Eja hilang daripada matanya, dia memandang semula pada baju kurung biru yang berada di tangannya. Hatinya masih ragu-ragu hendak menyarung baju tersebut ke badannya.

'Nak pakai ke baju kurung ni ke?'

Aleya mengeluh sendirian. Sepasang baju kurung biru ini mempunyai sejarahnya sendiri pada Aleya. Memang baju ini masih nampak baru lagi. Aleya pernah pakai sekali sahaja. Sekali itu dan selepas itu terus dihantar ke dobi untuk cucian kering walaupun sebenarnya baju ini tidak memerlukan cucian kering pun. Nak campak dalam mesin basuh pun tidak apa sebenarnya. Kainnya hanya kain biasa sahaja. Harganya pun murah. Tidak perlu bersusah-payah untuk menjaga materialnya. Tetapi masa itu mengenangkan si pemberinya, Aleya sanggup menghabiskan duit untuk upah cucian kerng yang mahal tu. Mengenangkan si pemberinya dia teringat akan peristiwa lalu

"Aleya nanti kalau kita dah kahwin, bila raya je sayang kena sediakan baju sepasang tau."

"Baju sepasang? Kenapa?"

"Yalah Am mesti nak baju yang sama dengan isteri Am yang tersayang. Baru nampak macam sweet couple."

"Ohh..nak yang sama ya? Kalau macam tu nanti-nanti untuk raya Leya kena beli baju kurung yang sama warna da corak dualah ya? Satu untuk Leya, satu untuk Am. Betul tak?"

Aleya menahan senyumannya sesudah berkata begitu. Entah mengapa dia terasa nak mempermainkan Idzham hari ini. Baru sebentar tadi Aleya berkenalan dengan umi Idzham, mamat ni sudah bercerita tentang sambutan raya sesudah mereka berkahwin nanti. Sudah kemaruk sungguh agaknya buah hati dia ni. Entah mengapa tiba-tiba boleh buka topik ini pula. Agaknya pasal cemburu tengok Dania, suaminya Hafis dan anak mereka Nacha pakai baju sedondon semasa majlis pertunangan Ain tadi. Aleya memandang Idzham yang berbaju melayu warna kuning air di hadapannya. Lelaki itu sudah menjengilkan matanya pada Aleya kerana lawak yang dibuatnya tadi. Hmm.. dia juga yang pilihkan baju kurung biru ini untuk Aleya minggu lepaskan. Kalau dah tahu dia tak ada baju melayu biru, pilihlah warna lain untuk Aleya.

"Eeeee..sayang ni! Sepasang tu maksudnya baju kurung untuk Leya dan baju melayu untuk Am. Cuma warnanya je yang Am nak sama. Ada ke nak suruh Am pakai baju kurung pula."

"Sepasang tu lain. Kalau sama warna tu sedondonlah honey. Sepasang tu berlainan bentuk atau warna tapi padan antara satu sama lain. Macam mana lawyer tak tahu Bahasa meelayu ni?"

"Oh ya ke? Bukan sepasang ya? Sedondon. Okaylah Am nak bila dah kahwin, masa raya kita pakai sedondon. Nanti bila nak raya sayang kena cari baju yang sama warna untuk kita berdua. Am tukang hulur duit jelah. Am failed sedikit bab cari baju raya ni. Kalau dah ada anak-anak nanti pun Am nak kita sekeluarga pakai warna yang sama. Mesti comelkan nanti sayang?"

Aleya hanya mengeleng mendengar angan-angan Idzham tika itu. Awal-awal lagi sudah merancang segalanya. Dia juga berharap angan-angan lelaki kesayangannya itu akan tercapai jua satu hari nanti.

"Rasanya first year kahwin kita pakai warna biru dululah ya?"

Kini? Segalanya hanyalah tinggal kenangan sahaja. Hanya tinggal sepasang kurung nan biru menjadi teman mengubat rindu. Lelaki itu sendiri yang meninggalkannya. Segala angan-angan yang pernah di kait bersama terbang pergi bersama lelaki itu. Semasa dia mengemas segala pemberian lelaki itu untuk di hantar kepada Zaza supaya dijual, dia terlupa untuk memasukkan baju kurung biru ini kerana baju kurung ini tertinggal di rumah mamanya dahulu. Selepas itu, dia sudah terlupa akan kehadiran sepasang kurung nan biru ini dalam simpananya sehinggalah kak Eja mengeluarkannya tadi.

Tahun lepas dia sempat menyambut Hari Raya bersama Idzham Iskandar. Lelaki itu membawanya berkunjung ke rumah terbuka teman sepejabatnya di Damansara. Walaupun hari itu sudah hari raya yang ketiga, sekurang-kurangnya dia dapat juga merayakan hari istimewa itu bersama orang yang tersayang. Masih diingatinya lagi, mereka bersalam memohon maaf sesama mereka di dalam kereta walaupun hakikatnya haram buat mereka bersalaman kerana mereka bukanlah muhrim. Tetapi dilanggar juga batasan itu atas nama tiket mereka adalah pasangan kekasih. Itulah satu-satunya kenangan yang Aleya ada beraya bersama dengan lelaki yang pernah digelar kekasihnya suatu ketika dahulu.

Hari ini, hari rayanya terasa sepi walaupun dia berada di rumah keluarganya sendiri. Walaupun sejak beberapa hari lalu rumah ini gamat dengan hilai tawa Arabiela dan Atielia yang merupakan anak-anak abang longnya, di satu sudut hatinya ada rasa kosong yang masih bermukim. Rasanya setiap insan yang pernah mempunyai seseorang yang bergelar kekasih dan kemudiannya terpaksa berpisah pasti akan merasakan apa yang sedang dirasainya kini. Rasa kosong walaupun di sekeliling kita suasananya meriah dengan senda-gurau orang lain. Dia tiada sesiapa untuk dikongsikan masalah rasa kosong yang sedang dialaminya itu. Arisa Syuhada teman baiknya itu sudah selamat pulang ke kampungnya di Sungai Petani, Kedah. Dibawanya balik bersama Johnny kucing jiran sebelah rumah sewaan mereka itu sekali. Rancangan asalnya dia hendak mengajak tuan pada kucing tu pulang ke kampungnya. Konon saja nak kasi Mr. Eric merasai sendiri suasana berhari raya di kampung. Nasib baik Mr. Eric menolak ajakan Arisa kerana katanya dia sudah menempah tiket penerbangan untuk pergi becuti sempena cuti raya yang agak panjang tahun ini. Kalau tidak rasanya raya tahun ini pasti akan ada orang yang kena kejar keliling kampung sebab bawa balik teman lelaki bangsa asing untuk beraya bersama.

"Ya Allah, Yaya kenapa tak siap-siap lagi? Papa dengan mama nak pergi masjid dah ni. Dah dekat pukul lapan ni Yaya."

Aleya tersentak sekali lagi daripada lamunanya apabila ditegur mamanya pula. Dia memandang ke arah mama yang sudah siap dengan baju kurung dan tudung biru berdiri di hadapan pintu biliknya Dia menggigit-gigit bibirnya sendiri. Kemudian dia mengeluh sendirian.

'Kenapalah pagi-pagi raya ni aku asyik berangan je?'

"Yaya okay ke? Kenapa muram sahaja ni?"

"Err.. tak ada apa-apa ma. Yaya okay. Tak apalah mama dengan papa pergi je dulu. Yaya tak ikut sebab Yaya tak boleh sembahyang."

Memang rugi rasanya bila tidak dapat sembahyang sunat aidilfitri yang hanya setahun sekali sahaja. Tetapi nak buat macam mana bila tiba-tiba pagi ini dia uzur pula. Tahun ni seronoknya dia dapat puasa sebulan penuh sebab dia bersih daripada didatangi darah kotor. Tapi tak sangka pula, pagi-pagi raya lagi dah bocor.

"Kalau Yaya tak sembahyang sekalipun, cepatlah siap. Lepas tu tolong tengokkan Biela dengan Atie. Bolehlah Kak Eja pergi sembahyang raya. Payah kalau nak bawa budak berdua tu. Karang bising aja dekat masjid tuan putri berdua tu. Tengok-tengok sekali apa yang kurang lagi atas meja tu."

"Oh, okay mama. Kejap ya Yaya pakai baju dulu."

Pantas dia bangun dan menutup pintu biliknya. Sepasang kurung nan biru di tangannya tadi digantung semula dalam almarinya. Biarlah kenangan lalu itu terus berkubur sahaja. Tidak mahu diingatinya lagi dan tidak mahu ianya terus mendera perasaannya lebih-lebih lagi di pagi raya ini. Dicapainya baju kurung hitam yang sudah siap digosok dan mula menyarungkan pada badannya. Sesudah itu dicapainya pula tudung hitam yang juga sudah sedia digosok oleh Bibik Noti dan dililit di kepalanya. Biarlah pakai baju hitam sekalipun. Hati senang, tidak sakit hati mengenang cerita lama lagi dan tidak perlu risau kalau-kalau bajunya akan kotor tertembus darah kotornya. Biasanya hari pertama alirannya pasti banyak. Kain warna hitam mana nampak kalau kena apa-apa tanda kotor. Kalau kurung biru tu, Aleya takut bukan setakat ternampak darah kotornya, silap-silap darah luka di hatinya pun boleh dilihat para tetamu nanti...


Sepasang Kurung Biru

(Khairil Johari Johar)
Tiada salam atau ucapan
Tiada pesan tanda ingatan
Suasana penuh keriangan
Ku teringat pada seseorang

oh...
Di hari yang berbahgia ini
Hatiku kosong dan sepi sekali
Betapa manis kenangi lalu
Menyambut raya bersama denganku

oh...

( korus )
Tiada bisikan lembut yang ku dengar
Hanya suara azan sayup bergema
Masih kurasakan hangat tanganmu
Di pagi raya bersalam dengan ku
Tetamu datang tetamu pergi
Namun tak tiba orang ku nanti
Hanya sepasang kurung nan biru
Menjadi teman mengubat rindu ku

oh...

No comments:

Post a Comment