Oleh : Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Ringkas, tetapi jawapannya bukan mudah.
Kita mengalaminya. Dalam segala janji Allah, galakan dan kemudahan-Nya untuk kita beribadah, kita sering tidak mencapai impian. Jarak di antara diri idaman menjelang Syawwal berbanding diri sebenar, selalu jauh bagai timur menggamit barat.
Mengapa?
Allah Subhanahu wa Ta’aala sudah memberikan friendly reminder, bahawa puasa sebagai proses menjana Taqwa adalah satu proses yang rumit. Kalimah La’alla yang dijadikan sendi firman-Nya di Surah al-Baqarah ayat 183 itu sudah sedia melontarkan konotasi ‘mudah-mudahan’, tanda tidak semua berhasil mencapai Taqwa di hujung Ramadhan.
Justeru jangan sambil lewa. Usaha mengisi Ramadhan mesti penuh kesungguhan.
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah memberi peringatan tentang betapa ramai yang gagal memperolehi tawaran-tawaran hebat Ramadhan, kecuali lapar dan dahaga yang sia-sia. Justeru ketidak sempurnaan hasil Taqwa setelah menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan mungkin berpunca daripada masalah INPUT bersangkutan dengan iman dan hal-hal dalaman manusia, atau mungkin berpunca daripada PROSES, iaitu soal ilmu pengetahuan dalam menggerakkan puasa mengikut manual Allah Subhanahu wa Ta’aala.
Kerosakan yang membabitkan MINDSET dan WORLDVIEW ini mungkin diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan puasa yang salah motif. Melihat puasa sebagai mekanisma kesihatan diri semata-mata, tanpa ada hubungkaitnya dengan manifestasi kehambaan diri kepada Allah, justeru puasa kosong daripada roh Tarbiyyah, dan sekadar memberikan manfaat material atau duniawi semata-mata
MASALAH INPUT
Ada pun kecacatan berkaitan dengan sistem nilai, ia akan terserlah pada ketidak sungguhan atau tiadanya rasa ghairah terhadap segala tawaran Allah berkaitan Ramadhan.
Jika ada sebuah pasaraya membuat tawaran istimewa, beli satu dapat 10, jalanraya dilapangkan menuju pasaraya itu, lampu isyarat semua dihijaukan, kenderaan lain semua dilencongkan, agar segala kemudahan diberi untuk kita pergi mendapatkan tawaran itu, tetapi kita tidak peduli dan tidak teringin langsung kepadanya, maka sesungguhnya kita memang tidak berminat sungguh dengan apa yang ditawarkan oleh pasaraya tersebut.
Demikianlah juga halnya dengan Ramadhan.
Seandainya pintu Syurga sudah dibuka, pintu Neraka ditutup kunci, malah Syaitan dirantai agar lemah potensinya dalam mengganggu manusia, segala gandaan pahala diberi dan segala galakan kebaikan ditawarkan, tiba-tiba kita langsung tidak tertarik untuk mendapatkannya, ia menandakan bahawa kita memang tidak berminat dengan Allah, tidak berminat dengan tawaran-Nya, tidak berminat dengan Syurga dan tidak pernah kisah dengan Neraka.
Maka sesungguhnya orang ini benar-benar tidak mendapat sebarang rahmat daripada Allah.
MASALAH PROSES
Asasnya adalah ILMU. Inilah salah satu keistimewaan terpenting Islam, bahawa segala perlakuan ibadah terbina di atas dasar ilmu. Bukan ikut-ikutan, bukan teka-tekaan. Harus ada asas kefahaman yang membolehkan puasa dengan segala ibadah lain, berlangsung seperti yang sepatutnya.
Belajar tidak pernah habis.
Amat malang sekali seorang yang sudah berusia 40 tahun, masih berpuasa dengan ilmu puasa yang dipelajarinya semasa berusia 15 tahun.
Ilmu mesti sentiasa ditingkatkan sesuai dengan pengalaman diri, cabaran yang bertambah serta pendedahan yang pelbagai.
Sebagai contoh, andaikata seorang yang bermusafir ke London pada bulan September 2009 mahu terus berpuasa tanpa mengambil rukhsah, beliau bebas berbuat demikian. Namun lihatlah kepada ilustrasi di bawah, untuk jelas di mindanya, berapakah tempoh puasanya?
21 jam!
Fidyah berbayar, puasa diqadha’, tetapi datangkah rasa sesal pada diri atas perlakuan itu?
Sebagai gantinya, Syariat Islam menghendaki setiap orang yang berpuasa menjaga urusan sahurnya. Sahur dituntut agar ia diambil, biar pun dengan hanya seteguk air, pada waktu hujung malam menjelang waktu subuh.
Demikian juga halnya dengan soal menyegerakan berbuka puasa. Isunya sama iaitu larangan meniru sikap Ahli Kitab yang berpuasa, serta larangan memanjangkan tempoh puasa lebih daripada apa yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala. Bagi mereka yang menjangkakan dirinya akan terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas ketika masuknya waktu berbuka puasa, hendaklah bertindak proaktif menyediakan tamar atau air minuman di dalam kereta masing-masing.
Jangan pula ada yang ‘bergeliga’ mahu membuka puasa dengan mengorek hidung!
Semoga dengan sedikit muhasabah ini, kita boleh sama-sama membuat penilaian agar Ramadhan yang masih seputik jagung ini dapat dioptimumkan menuju TAQWA.
Salam Ramadhan.
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
http://saifulislam.com/68000 AMPANG
No comments:
Post a Comment