aKu iNGiN KeLuAr DaRi kEpOmPoNg CiPtAan kU SeNDiRi..mEnJaDi rErAmA cAnTiK mEnGHiaSi mAsJiD YaNg TeRmEtERi BeRsAmA iNsAn bErNaMa sUaMi...
Thursday, 10 July 2008
Ujung Usia kita ...
Gambar ibu & mentuaku semasa kami makan angin ke Langkawi bulan April 2008
Cerita dibawah ini...moga-moga tidak terjadi pada insan yang melahirkanku dan suamiku dan juga pada insan2 lain yang bergelar ibu...Amin.
Mak Jah duduk dikerusi roda merenung panjang dijendela. Menitis airmatanya berlinangan dipipinya mengenangkan nasibnya itu. Tidak sangka nasibnya akan jadi sebegitu rupa seperti orang orang tua yang lain di Singapura. Dia berkata pada dirinya "Kenapa...kenapa aku jadi begini?" sambil tangan kanannya mengosok gosok airmata yang mencurah tidak henti henti.
"Sampai bila ? Sudah lama aku tunggu. Dia orang kata sekejap aja. Tapi sudah tiga tahun ni." Mak Jah mengadu. Benar benar lelah dan penat Mak Jah menuggu kedatangan anak anaknya membawa dia pulang ke rumah.
Sudah hampir tiga tahun, Mak Jah menetap dirumah orang orang tua Muhammadiyah Singapura. Tiada satu pun anak anaknya yang sanggup menjaga Mak Jah yang lumpuh separuh badannya. Sudah sekian lamanya jasadnya disitu. Dihumbankan tanpa belas kasihan oleh anak anaknya walaupun dia merayu.
"Man, janganlah kau hantar Mak disini Man. Mak nanti kesunyian. Tolonglah Mak....Tolonglah Mak.....Mannnnn!! kedengaran suara Mak Jah merayu dan memohon pada anak sulongnya supaya jangan menghantarnya kerumah orang tua tua. Anak anak serta menanatu dia yang lain hanya tercegat saja mendiamkan diri masing masing.
Semenjak peristiwa itu, anak anak Mak Jah tidak pernah menjejakkan kaki dan tubuh badan mereka untuk menjenguk Mak Jah bahkan untuk menjemputnya jauh sekali. Betapa mungkarnya anak anaknya itu. Membohongi ibu yang malang itu .
"Tergamak mereka melakukan begini kepada aku. Sampai hati mereka biarkan ibunya yang dulu tidak pernah mengabaikan nasib mereka. Bagai minyak yang penuh aku menatang mereka. Kasih sayang dan tanggungjawabku yang aku jalankan tidak pernah aku abaikan. Aku telah mengabdikan diriku ini untuk kebahagiaan mereka. Aku ronyokkan kepentingan diriku semata mata untuk memberi jaminan bahwa nasib mereka akan terbela. Inikah balasan mereka pada ibunya?"merintih dan merobek luahan hati Mak Jah huraikan satu persatu pada teman sepenghuninya itu, Mak Mah. Mak Jah rasa masih sukar untuk dirinya menerima kenyataan itu. Dia rasakan dunia benar benar tidak adil. Madu dibalas tuba pula diberi. Mak Jah menangis lagi.
"Sudahlah Jah......sudahlah, kau kan ada aku. Kita sudah senasib. Kan baik kita ingat Allah banyak banyak Jah. Allah lagi menyayangi kita Jah. Lagipun kita dah tua, tak ada apa apa yang tinggal. Yang kita ada hanya Allah saja. Entah bila Jah......? Hari ini ke...besok ke....atau lusa...kita mati. Tak ada sesiapa boleh tolong kita Jah....selain Allah. Dah tiba masanya kita kisahkan Allah. Ahhh...biarkanlah budak budak tu." kedengaran suara Mak Mah yang lebih jauh tua dari Mak Jah mengingatkan Mak Jah. Sejuk sikit hati Mak Jah seketika dengan kata kata Mak Mah itu.
Mak Jah memeluk Mak Mah. Wanita yang hampir putih keseluruhan rambutnya membasah kesedihan di pundak Mak Mah.
"Kalau aku tahu mereka semua akan tinggalkan aku dirumah orang tua, aku tak payah kasi mereka pelajaran tinggi tinggi. Tapi..mereka sudah kaya. Sudah dapat isteri cantik, mereka tidak perlu emak lagi. Aku bukan apa Mah, aku rindu pada cucuku. Aku mahu peluk mereka, mahu cium, mahu sayang, mahu cerita sama cucu cicit aku. Apa salah ke? Tapi...mereka beri aku apa Mah? Beri aku sedih!!! Mereka tidak sayang pada aku. Mereka tidak perlu pada orang tua seperti kita Mah!!!" kali ini benar benar Mak Jah meraung sekuat kuat hatinya. Gema raungannya bergemuruh menyentak hati warga disekelilingnya.
Mak Mah cuba tenangkan fikiran dan hati Mak Jah. Dia sudah tidak dapat mengawal perasaannya sendiri. Sebelum ini Mak Jah tidaklah berkelakuan seperti begini. Mak Mah pun hairan dengan tingkah laku Mak Jah seolah olah seruan ajal memanggilnya. Barangkali dia ingin menatap wajah anak anaknya buat kali terakhir.
"Kalau aku tahu Mah, dari kecil kecil lagi aku bunuh mereka Mah. Anak derhaka, anak sial, anak Tangganggggg.....!!!" jeritan Mah Jah semakin kuat sekali. Ibu mana yang tak sedih didera oleh anak sendiri meringkuk dirumah orang tua? Talian mana yang harus dihubungi? Sejak zaman Si Tanggang penderharka dan Malim Demam, telah dikisahkan kes kejadian anak mendera ibu. Anak yang tidak mengaku ibunya sendiri. Yang menghakimi mereka ialah Tuhan. Kepada siapa ibu ibu ini harus mengadu? Bukankah hanya Tuhan saja yang akan membalas mereka sampai mereka disumpah menjadi batu.
"Mah, aku cuma mahu kasih sayang mereka aje. Aku rindu pada anak anak ku Mah. Tak ke mereka rindu pada ku?" Mak Jah berbisik pada Mak Mah seperti debur ombak yang benar benar rindukan belaian pantai.
Hari semakin malam. Mak Mah menemani Mak Jah dikatilnya hingga terlelap orang tua itu. Bekas linangan airmatanya masih kelihatan disekitaran matanya. Petang tadi dia menyumpah seranah anak anaknya. Mulutnya menyeranah, hatinya merintih. Menyumpahnya kerana rindu. Bukan kerana benci. Ibu mana yang tak sayang anak. Sedangkan harimau yang garang itu tidak makan anaknya, inikan lagi kita manusia yang mempunyai sifat sayang menyayangi.
Mak Mah pun pergi ke birai katilnya merebah badannya keatas tilam busuk itu. Matanya terkebil kebil memikirkan keadaan Mak Jah petang tadi. Kerinduan seorang ibu terhadap anak anaknya begitu kuat sekali. Fikiran Mak Mah terlayang pada anak anaknya juga. Tapi, dia sudah tidak kisah pada anak anaknya. Mak Mah terus terlena tidur oleh buaian malam yang dingin itu.
Keesokan hari, Mak Mah dikejutkan oleh bunyi riuh rendah orang berbual disudut sana. Alangkah terperanjatnya Mak Mah melihat yang Mak Jah sudah tiada lagi dalam didunia ini. Dia terlebih dulu meninggalkan Mak Mah yang lebih jauh tua itu. Yang lebih menyedihkan lagi, kelihatan anak anak serta menantu Mak Jah menangis menatap jasad yang kaku itu.
"Innalillahiwaainnaahirajiuun" sambut Mak Mah dengan kecewa. Rupa rupanya Mak Mah buang tabiat malam semalam kerana seolah olah dia tahu yang umurnya tidak panjang. Mak Mah hanya menatap wajah rakan sepenghuni rumah orang tua dengan penuh sedih dan pilu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment