Aleya Puteri
Aku Tanpamu
"Huh...bosannya."
"Kenapa mengeluh pula ni? Tak baik mengeluh. Allah tak suka orang yang mengeluh."
Mamanya menegur Aleya yang sedang mengeluh. Dari tadi dilihat anaknya itu hanya bermain-main dengan buah epal yang terletak di atas meja dapur rumah. Di golek-golek dan dilambung-lambungnya buah tersebut seperti basker yang sering didapati di kota London dan Paris. Risau pula Puan Julia melihat anak daranya yang sulung ni dan buah epal tersebut. Dia sendiri tidak pasti sama ada dia risaukan buah yang dimainkan Aleya akan menjadi lebam atau anaknya yang sentiasa muram kebelakangan ini. Air mukanya sejak bangun pagi tadi tak usah cakaplah. Muka anak daranya yang seorang ini macam orang susah hati takut tak lulus temu duga dengan mak mentua sahaja lagaknya.
"Tak ada apa-apalah mama. Err... tengah dilanda kebosanan peringkat langit ketujuh je."
"Betul ke ni? Dah seminggu Yaya melepak di rumah ni, mama tengok muka Yaya tu layu semacam je."
"Betullah. Errr...Yaya kan tengah tak berapa sihat ni. Selesema dengan batuk-batuk ni tak baik-baik lagi dari minggu lepas. Itu yang mama tengok muka Yaya macam ni."
Pantas sahaja Aleya memberikan alasan yang dirasakannya boleh diterima akal bila mama bertanya kenapa wajahnya kelihatan layu. Walaupun mama telah merestui hubungannya dengan Idzham, dia masih malu hendak bercerita hal hubungannya dengan Idzham pada mama. Sebabnya selama ini dia memang tidak biasa nak berkongsi cerita tentang lelaki dengan mamanya. Kalaulah dia biasa bercerita segala-galanya dengan mama, pastinya akan dikatakan pada mama seperti ini...
'Mama, kalau mama nak tahu sebenarnya anak mama ni mukanya layu dan tak sihat sebabnya dia tengah rindu dekat buah hati dia di seberang tambak sana. Hari ni dah tiga belas hari anak mama ni tak dapat jumpa buah hati dia. Hari ni juga dah masuk tiga hari Idzham tak telefon Yaya mama. Yaya cuba telefon dia pun tak dapat. Mama...'
"Dah tahu badan tu tak sihat, pergilah berehat dekat bilik. Ni dari tadi mama tengok duduk dekat dapur, kerjanya main dengan buah je. Esok buah tu lebam-lebam tak ada siapa nak makan. Kalau tolong mama masak, tak apalah juga."
"Yaya bukannya tak nak tolong mama masak, tapi papa mesti nak makan masakan mama punya. Papa tu bukannya boleh orang lain yang masakkan untuk dia. Kalau Yaya yang masak, mesti ada sahaja komen papa tu. Pedas sangatlah, masinlah. Nak duduk dalam bilik pun tak ada apa nak dibuat. Sekurang-kurangnya Yaya duduk dapur ni, boleh tengok muka mama Yaya yang jelita."
"Sudahlah tu. Jangan nak jadi tukang karut pula dekat dapur ni. Macam mana papa tak kata pedas kalau untuk semangkuk gulai Yaya letak cili giling sampai dua senduk. Lepas tu mama suruh masak gulai telur, dibuatnya gulai telur masin pula."
"Alah, tu cerita lamalah mama. Manalah Yaya tahu telur itik tu ada yang dah dijadikan telur masin dan ada yang tidak. Yaya ingat telur itik semua sama. Apa yang Yaya tahu telur masin pun dari telur itik juga."
Tak sukanya dia bila mama membangkitkan kisah lama dia yang kononnya nak tunjuk kepakaran masak pada keluarga semasa dia di tingkatan lima dahulu. Masa itu dia ingat nak masak makanan kegemaran papanya iaitu gulai telur itik. Tetapi masakan yang dirancang akhirnya menjadi 'Gulai Telur Masin' kerana dia menyangka telur masin dan telur itik adalah sama sahaja. Kemudiannya baru dia tahu yang telur masin tu memanglah asalnya telur itik, tapi setelah mengalami proses mengasinkan dan disalutkan dengan lumpur dan serbuk arang, tentulah sahaja rasanya tidak lagi sama. Semasa dia menyediakan masakan itu dulu, apa yang ada dalam fikirannya hanyalah, telur masin adalah telur itik. Langsung tidak terfikir olehnya yang rasa telur masin dan telur itik yang asli adalah berlainan.
"Zaza tak ada telefon ke minggu ni mama?"
Tidak mahu mamanya mengulas cerita lama dengan lebih lanjut lagi, pantas dialihkan perhatian mamanya dengan soalan lain. Sengaja ditanya sama ada adik bongsunya Zaza yang sedang belajar di luar negara ada menelefon ke rumah atau tidak walaupun dia tahu jawapan sebenarnya adalah tidak. Kalau adiknya itu ada menelefon ke rumah, pasti mamanya sudah sampaikan segala inti pati perkhabaran terkini tentang adiknya itu.
"Tak ada pula. Kalau tidak silap mama, sekarang ni dia tengah periksa. Dia tu kalau periksa, mana dia nak fikir benda lain. Berkurung membaca buku dan pergi jawab periksa aja yang ada dalam kepalanya tu. Bercakap dengan orang lain pun tak mahu. Yaya bukan tak tahu Zaza tu dari zaman sekolah lagi dah macam tu. Tapi katanya hari tu lepas periksa ni dia cuti musim sejuk, dia nak balik Malaysia."
"Ya ke? Dia balik dengan Bryan ke?"
"Tidak. Katanya Bryan nak balik Holland tahun ni."
"Balik Holland? Gaduh ke budak berdua tu? Bukan ke anak manja mama tu tak boleh berpisah lama-lama dengan kekasih kesayangannya tu?"
Pelik pula Aleya mendengar perkhabaran mamanya tu. Adiknya tu setahu Aleya bukannya boleh berenggang dengan jejaka yang bernama Bryan tu. Bryan merupakan jejaka yang berasal dari Holland tetapi pernah dibesarkan di Malaysia itu merupakan teman satu universiti merangkap kekasih Zaza. Lelaki yang sudah memeluk agama Islam itu selalunya akan mengikut Zaza sekiranya adiknya itu balik bercuti ke tanah air. Katanya lebih mudah dia nak belajar mendalami Islam. Sekiranya Bryan mengikut Zaza pulang ke Malaysia, papa akan tempatkan Bryan di apartmen keluarga mereka di Mont' Kiara.
"Tak tahu pula mama. Hmmm...bercakap fasal kekasih kesayangan ni, mama teringat sesuatu. Selalunya hari minggu begini bukan ke Yaya sibuk? Sibuk dengan kerjanyalah, sibuk dengan temu janjilah, sibuk dating dengan Idzham. Tapi dah dua hari minggu Yaya ada di rumah ni je? Dah tu rajin pula seminggu ni berulang alik dari sini ke ofis"
"Mama ni kalau Yaya lama tak balik, mama bising. Yaya rajin balik ni pun mama bising juga."
Aleya menunjukkan muka cemberutnya. Muka tidak puas hati dikomen. Konon buka topik fasal Zaza untuk alihkan perhatian mama tentang dirinya sendiri, rupanya terkena juga dia semula. Mamanya ini pandai betul. Mentang-mentang bekas guru kaunseling masa zaman mengajar dulu. Tahu sahaja nak selit topik fasal dirinya. Aduhai, parah betul macam ni.
"Alahai anak mama ni, nak merajuk pula dia. Idzham mana? Lama mama tak dengar Yaya bercerita fasal dia?"
"Dia tak ada. Dia pergi conference dekat Singapura. Dua minggu."
Mendatar sahaja suara Aleya menjawab. Macam nak tak nak sahaja.
"No wonder you look so lost these past few days. Buah hati tercinta jauh dimata rupanya."
"Mama ni…saja nak sakat Yaya lah tu. Yaya ulang-alik pergi kerja dari sini seminggu kebelakangan ni bukan sebab Idzham tak ada, tapi Yaya tak nak duduk seorang diri dekat Kajang tu sebab Arisa pergi outstation."
Mama Aleya tergelak kecil mendengar jawapan anak daranya yang sedaya upaya cuba membela dirinya itu. Aleya pula semakin memuncungkan bibirnya bila melihat tawa mamanya itu. Namun muncungnya tidak lama bila tiba-tiba Bibik Noti datang ke dapur dan menyapanya.
"Nak Yaiya, bibik tengok talipon kamu itu berkelip-kelipan sahaja dari tadi sih."
Bibik Noti merupakan pembantu rumah mamanya. Namun begitu kerja memasak dan menjaga taman, mama sendiri yang akan uruskannya. Dua bab ini mama memang tidak percaya pada orang lain untuk uruskannya. Kecuali kalau mama ada hal yang benar-benar penting, barulah dia akan membenarkan orang lain seperti Bibik Noti yang uruskan. Selama sepuluh tahun berkhidmat di rumah ini, kerja Bibik Noti hanyalah memastikan rumah berkemas dan semua pakaian dicuci serta diseterika sahaja. Bibik Noti ni pula walau sudah hampir sedekad mengenali Aleya, dia tetap menyebut namanya sebagai Yai-ya.
Aleya mengerutkan dahinya bila mendengar perkhabaran Bibik Noti. 'Berkelip? Ada orang telefon ke? Tapi kenapa tak berbunyi pula?' Seraya itu Aleya bangun menuju ke ruang tamu rumahnya di mana dia meletakkan telefon bimbitnya. Patutlah telefonnya tak berbunyi dan hanya berkelip-kelip, rupanya dia telah mengubah mode telefonnya kepada senyap bila dirasakan penggera jam telefon bimbitnya terlalu bising mengejutkannya subuh tadi. Dilihat pada skrin telefonnya, ada sembilan panggilan tidak berjawab. Semuanya dari nombor yang sama... Syed Akashah?
BaB 29
Aleya Puteri
Ke Hujung Dunia
"Apa yang penting sangat you nak jumpa I ni? Kenapa you tak boleh nak jumpa I dekat ofis je?"
Terus sahaja diajukan soalannya pada lelaki yang bernama Syed Akashah saat tubuhnya berdiri di sebelah meja lelaki itu yang sedang enak menghirup Minestrone Soup. Kalau diikutkan hati, dia malas hendak berjumpa dengan lelaki itu di luar pejabat. Pada Aleya, hubungannya dengan Syed Akashah sepatutnya hanya berdasarkan urusan syarikat dan dilakukan di dalam pejabat sahaja. Jadi, memang tak wajar sungguh dia diganggu pada cuti hujung minggu begini untuk urusan yang penting hanya menurut definisi Syed Akashah. Dia menurut untuk berjumpa dengan Syed Akashah kali ini pun kerana dia dah penat memberi alasan untuk menolak permintaan Syed Akashah untuk berjumpa dengannya di luar pejabat.
Dia tidak tahu macam mana Syed Akashah mengetahui nombor telefon bimbitnya tetapi yang pastinya dia dah cukup terganggu dengan panggilan demi panggilan dari Encik Buaya Jadian untuk berjumpa dengannya. Selama ini kalau ada pun dia menerima panggilan dari Syed Akashah hanyalah semasa di ofis dan itu pun melalui talian tetap ofisnya. Aleya masih ingat lagi, kali pertama dia menerima panggilan peribadi daripada Syed Akashah adalah semasa dia berada di Terminal Udara Kuala Lumpur Sentral dua minggu lalu. Geram sungguh dia masa tu pada keturunan buaya yang seorang ni. Mana taknya, orang tengah nak bersedih-sedih melihat buah hati berpergian, masa tu jugalah dia sibuk nak menelefon kita.
"Have your sit first Aleya. I think Dome already provide an ample space for their customer. What I want to say to you will take quit some time."
Dalam malas nak berlama kononnya, akhirnya Aleya duduk juga berhadapan dengan Syed Akashah. Entah bagaimana dia rasa malu pula nak menambah bantahan bila Syed Akashah begitu tenang menyambut kedatangannya di Dome Cafe Bangsar Village walaupun awal-awal lagi dia dah sergah lelaki itu. Agaknya dia ni memang buaya jadian yang ikut resam buaya tulen agaknya, buat gaya macam batang kayu walaupun disergah.
Rasanya tidak sampai sahaja lima saat dia duduk, datang seorang pelayan berdiri di sisi meja Syed Akashah dan dia. Pelayan itu menghidangkan Grilled Chicken in Creamy Turmeric Sauce pada Syed Akashah. Aleya hanya memandang hidangan ayam gril yang disertakan dengan buttered rice itu. Dia pernah mencuba rasa hidangan tersebut sebelum ini sebab itu dia tahu nama hidangan tersebut. Terselit rasa tidak percaya pada Aleya yang Syed Akashah ini rupanya satu spesies je dengan buah hatinya, Idzham dalam bab makan. Pelahap. Tadi dah makan Minestrone Soup dan sekarang ni nak makan ayam panggang dan nasi pula. Tak cukup dengan satu hidangan agaknya.
"What would you like to have Aleya?"
Syed Akashah meminta Aleya memesan hidangannya. Sudah alang-alang pelayan tersebut ada di sisi meja mereka ini menghantar makanan untuknya, bolehlah Aleya memesan hidangannya sekali.
"An Evian please."
"A bottle of Evian and that' all miss?"
"Ya. Itu sahaja."
Setelah melihat pelayan tersebut berlalu, Aleya mengalih pandangannya semula pada Syed Akashah. Dia kaget apabila melihat Syed Akashah sedang memandangnya dengan pandangan yang pelik.
"Kenapa you pandang I macam tu?"
"Aleya, you pesan Evian sahaja?"
"Yup. Kenapa, tak boleh ke?"
Aleya pelik bila Syed Akashah menanyakan soalan sebegitu padanya. Ekspresi di wajah Syed Akashah kelihatan seperti seorang yang sedang sungguh takjub akan sesuatu yang aneh. Takkanlah sebab mendengar dia pesan sebotol air mineral berjenama Evian sudah membuatkan lelaki bernama Syed Akashah berekspresi sebegitu sekali.
"Bukan tak boleh. Cuma... I'm wondering why most of the chicks that I use to know like to order Evian? Maksud I, Evian tu cuma air mineral biasa je kan? Kenapa tak mahu pesan air mineral lain? Ada beza ke kalau minum Evian dan minum air mineral jenama lain?"
"What is your point actually?"
"Nothing. It just that I feel curious why girls and Evian can't be separated."
"I beg your pardon?"
"You heard me right. Girls can't be separated with Evian mineral water."
"Oh, I tak tahu pula dekat Harvard Business School tu you belajar buat hipotesis macam ni. Untuk pengetahuan you, Encik Syed Akashah dan setahu I, dalam menu Dome ni hanya ada tiga jenis air putih sahaja. Dome Water, Evian and Perrier. I pasti you tahu yang Perrier tu sparkling mineral water. Ada gas dan rasanya sedikit pahit. Whereas Dome water is RO type. I tak berapa suka air Reverse Osmosis ni sebab rasanya yang payau. Jadi, kalau I nak minum air putih yang asli, ada pilihan lain lagi ke dekat sini? Dome ada serve air panas mati ke? Kalau ada, boleh you tolong batalkan pesanan tadi dan mintakan air panas mati untuk I."
Terkedu Syed Akashah mendengar Aleya membalas kata-katanya tadi. Huh, nampaknya Aleya ni sememangnya bukan calang-calang wanita. Kebanyakan wanita yang selalu ditemuinya kalau di provokasi seperti Aleya tadi, paling-paling pun mereka hanya akan tergelak gaya mengada-ngada dan cakap yang dia ni saja nak menggiat mereka.
"Opps… maaf kalau you terasa dengan kenyataan I tadi. I cuma cakap berdasarkan pengalaman I sahaja. Rasanya lepas ni I kena masukkan nama you dalam senarai khas. Senarai gadis yang istimewa dan boleh dibuat calon isteri misali."
"Enough and let us cut the crap. . Apa sebenarnya tujuan you beria-ria nak jumpa I ni?"
Pantas Aleya memotong kata-kata Syed Akashah sebelum lelaki itu semakin mengarut bila dia dah mula menyentuh bab calon isteri misali. Apa, dia ingat Aleya hadap sangat nak kan dia macam kekasih-kekasih dia yang keliling pinggang tu? Tolong sikit ya. Aleya dah ada Idzham tahu. Dia dengan Idzham dah janji nak kahwin pun. Entah mengapa, bila hatinya berbicara tentang Idzham, terasa ada sebeban rindu yang menggunung di hatinya. Kalau ikutkan perkiraan, sepatutnya hari ni Idzham akan balik dari Singapura. Tapi dia tidak pasti jam berapa dan dengan apa Idzham akan balik kerana sudah empat hari dia tidak dihubungi dan dapat menghubungi Idzham. Sudah puas didail nombor Idzham, namun semuanya makcik angkat dia di celcom tu sahaja yang menjawab 'Nombor yang anda dail berada di luar kawasan'. Ada rasa tidak enak terselit di sudut hatinya bila Idzham tidak menghubunginya sehingga empat hari lamanya.
"Okay, let's get back to the business. Sebenarnya I nak jumpa you sangat-sangat sebab..."
Kata-kata Syed Akashah terhenti bila pelayan kafe Dome tadi datang menghantar minuman Aleya.
"You pasti tak mahu makan apa-apa? Janganlah risau, I belanja you."
"Betul, I tak nak apa-apa dah. Sebelum keluar tadi I baru saja habis makan dengan my parents. Rasanya dari Kelana Jaya ke Bangsar, tak cukup untuk membuatkan I lapar semula. Sambung apa yang you nak cakap tadi please..."
" I nak sangat-sangat jumpa you sebab I nak lamar you..."
Aleya yang sedang enak menghirup air mineralnya rasa tersedak mendengar kata-kata Syed Akashah itu.
"Lamar I?"
Mulut Aleya sudah terlopong setelah mengulang perkataan yang keluar dari mulut Syed Akashah. Buaya jadian ni nak melamar dia? Biar benar? Ekspresi muka Aleya tidak usah di cakaplah. Mendengar perkataan 'melamar' dari mulut lelaki di hadapannya itu tadi, serasanya sudah membuatkan seluruh darah pada mukanyanya turun lalu membuatkan kulitnya menjadi pucat. Aleya rasa Syed Akashah sememangnya sudah gila kerana ada niat nak melamar dia. Bukannya lelaki ini tidak tahu yang dia sekarang sedang berkasih dengan Idzham Iskandar. Mana dia nak campak buah hati kesayangannya tu? Kepalanya tiba-tiba rasa tidak dapat berfikir dengan normal. Semakin tidak normal rasanya bila tiba-tiba dia mendengar Syed Akashah ketawa. Sudahlah kuat ketawanya, lepas tu matanya itu pula tidak lepas daripada memandang muka Aleya yang mana membawa maksud dia sedang mengetawakan Aleya. Aleya memandang sekelilingnya. Nasib baik di sekeliling mereka tiada pelanggan lain yang duduk berdekatan.
"Kenapa pula you ketawa ni?"
"Maaf. Macam manalah I tak ketawa kalau you tunjuk ekspresi sampai macam tu sekali bila I sebut I nak lamar you. Relax Aleya. I bukan nak lamar you jadi isteri I. I tahu you dah ada kekasih. I tak akan kacau kekasih orang. I bukannya tak tahu hukum. Kalau you tak ada kekasih baru I akan lamar you jadi isteri I. Yang sebenarnya, I nak lamar you jadi company secretary I."
Lega hati Aleya pabila mendengar penerangan Syed Akashah. Tapi buat apa dia nak Aleya jadi setiausaha syarikatnya? Bukankah Aleya sekarang memang setiausaha syarikatnya? Lantas keraguannya itu disuarakan pada Syed Akashah.
"Bukan ke I ni memang setiausaha syarikat you sekarang?"
"Memanglah sekarang ni you setiausaha syarikat I. Tapi hanya pada syarikat yang I ni cuma setakat ada saham dan jadi salah seorang lembaga pengarah sahaja. Lagipun you dekat situ cuma assistant company secretary sahaja kan? I nak minta you jadi setiausaha syarikat yang I sendiri develop. You ada company secretary license?"
"Bulan lepas I baru lengkapkan syarat untuk jadi ICSA Associates. I dah hantar permohonan untuk dapatkan membership number. Lepas tu, I dah boleh dikira sebagai ada lesenlah."
"That's good. Kalau you stay dekat syarikat sekarang, you fikir mereka akan ambil you jadi setiausaha syarikat tu ke? Syarikat tu dah ada Puan Sharina sebagai setiausaha syarikat mereka. I tak fikir dia orang akan hire you as company secretary unless Puan Sharina quit from that company. Kalau dia orang ambil you dalam masa terdekat ni pun, paling-paling you hanya akan dilantik sebagai joint-secretary sahaja."
"I tahu fasal tu. Memang lah I fikir bila I dah dapat full license to can act as company secretary, I nak cari tempat lain. Tapi kenapa you pilih I? Syarikat apa yang you nak bangunkan tu?"
"You jadi pilihan I, kerana I dah kenal you dan I tahu you ni jenis yang buat kerja. Kalau I main cekau company secretary dari firma yang entah mana-mana, silap-silap I bayar dia tapi kerja tak buat. Akhirnya I yang kena tanggung segala tindakan undang-undang bila dia tak hantar annual return and so on. Dah banyak kawan-kawan I yang kena kes macam ni.
Tentang syarikat yang I nak bangunkan tu, I dalam perancangan nak ambil alih beberapa syarikat yang bermasalah tapi ada potensi. My consultant sedang finalize beberapa syarikat yang I boleh takeover. Baru-baru ni I ada baca dalam business news, ada lebih 700,000 syarikat yang berdaftar di Malaysia tetapi yang betul-betul aktif tak sampai separuh sebenarnya. Pada I, kebanyakan syarikat yang lingkup ni mereka bukannya tak ada business, tapi salah strategi dan tak ada pengurusan yang baik. Mereka tak ambil berat fasal corporate governance, legislation, salah strategi pemasaran dan tak lupa campur tangan ahli keluarga yang tidak berkenaan dalam syarikat."
"Campur tangan ahli keluarga?"
Aleya bertanyakan maksud sebab terakhir sesuatu syarikat itu lingkup yang disebut Syed Akashah tadi. Sebenarnya hampir ternganga Aleya mendengar patah demi patah yang diucapkan Syed Akashah. Tidak sangka lelaki ini sememangnya ada tokoh untuk menjadi usahawan yang berjaya suatu hari nanti.
"Yes. A company has a separate legal entity right? Itu perkara utama yang selalunya orang kita lupa. Bagi kebanyakan orang Malaysia terutamanya Melayu ni bila buka syarikat, mereka buat syarikat tu macam hak mereka sepenuhnya. Anak bini pengarah pun berlagak macam harta syarikat tu harta mereka sendiri. Cara ni telah menjadi satu tabiat yang seolah-olah betul dan disebarkan sebagai norma dalam masyarakat kita. Sedangkan seseorang pengarah syarikat tu hanya boleh ambil dividen dan gaji sahaja daripada syarikat. You tengok sahaja drama dan filem Melayu yang suka menayangkan cerita macam ni. Industri filem kita ni pun mana pernah fikir implikasi cerita yang mereka buat. Bagi mereka cerita laku dan orang suka sudah mencukupi. Betulkan?"
Aleya tak tahu apa yang hendak dijawabnya. Mendengar penerangan Syed Akashah akan-akan mendengar ceramah daripada pensyarahnya di universiti dahulu. Cakapnya berapi-api. Tapi dia tahu Syed Akashah bukannya orang yang pandai bercakap sahaja. Apa yang dikatakan, pasti boleh dilaksanakan. Tidak dapat dinafikan lagi yang Syed Akashah ni memang ada karisma dalam bidang perniagaan. Sekurang-kurangnya dalam bab yang satu ni, cakap buaya jadian yang seorang ni masih boleh dipakai. Tapi kalau bab lain terutamanya bab hati dan perasaan, rasanya memang langsung tak boleh dipercayai.
"Errr..betullah tu... agaknya. Jadi sekarang ni you nak ambil alih syarikat dan ambil I jadi company secretary syarikat tu?"
"Ya. Tapi pembetulan, bukan company secretary, tapi companies secretary.. Sebutan company tu kena jadikan plural. I akan ambil alih lebih daripada satu syarikat. I rancang mungkin I nak buka enam atau tujuh syarikat yang berlainan bidangnya dan satu syarikat yang akan menjadi induk pada syarikat-syarikat yang lain. Jadi sebagai setiausaha syarikat-syarikat tu, you kena pastikan all the regulations are execute."
Tujuh syarikat? Campur lagi dengan satu syarikat induk? Mak datuk, buaya jadian ni gila kuasa ke apa? Tahulah dia tu memang kaya. Duit berkepuk-kepuk. Syarikat pun nak berkepuk-kepuk juga ke?
"Banyaknya. Tapi you tahu tak yang you have limited number of directorship? Since you are director of a public listed company, you hanya boleh pegang sehingga sepuluh jawatan pengarah di syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan tidak melebihi 15 syarikat non-listed?"
"Ya ke? Ini pertama kali I tahu fasal ni. See. Bukan ke I dah kata yang you ni cukup bagus. Tak pernah ada company secretary I dekat syarikat yang lain ingatkan I fasal ni. Jangan bimbang. Setakat ni, I rasa I hanya pegang jawatan pengarah di lima listed companies dan tiga syarikat non-listed. Campur syarikat yang I nak ambil alih tu rasanya masih dalam kuota lagi kan? Hmmm.. apa kata you jadi secretary untuk diri I je lah. Nanti you boleh ingatkan I apa regulation yang I patut patuhi."
"Excuse me? Jadi setiausaha diri you? Tak kuasa I. Nak jadi company secretary pada syarikat-syarikat yang you nak ambil alih tu pun I masih belum bersetuju. You nak I jadi setiausaha you? Please..."
Mendengarkan Syed Akashah sebut dia nak ambil alih sampai tujuh syarikat dan suruh dia jaga pun sudah menerbitkan rasa semput. Apatah lagi nak jadi setiausaha pada bakal tuan syarikat-syarikat itu sendiri? Tuan yang sudah sedia memegang jawatan pengarah di lima syarikat awam dan tiga syarikat persendirian. Boleh pengsan dia dibuatnya. Syed Akashah ni tidak pernah tahu erti penat ke?
"Kenapa? You masih berat nak terima tawaran I? Okay, berapa banyak gaji yang you nak? Is it enough if I offer RM70K per annum? Kalau tak cukup cakaplah, I akan tambah lagi. Lagipun bukan you seorang yang akan buat kerja. I akan set-up satu bahagian untuk secretarial administration dan I akan bagi you uruskan. I akan sediakan pembantu setiausaha, kerani, dispatch dan tea-lady if you wish so."
Rasa macam tak percaya Aleya apabila dia ditawarkan gaji sehingga tujuh ratus ribu setahun. Kiranya sebulan dia akan menerima gaji lebih kurang lima ribu lebih. Gila. Memang gila. Dia ditawarkan dengan lebih dua kali ganda gaji dia sekarang. Rasanya memang rugi kalau dia menolak tawaran lumayan Syed Akashah ini. Tapi bukankah Idzham tak suka dia rapat dengan Syed Akashah? Alangkan di pejabat sekarang di mana dia tidaklah selalu berjumpa dengan Syed Akashah setiap hari pun Idzham sudah melangit cemburu. Apatah lagi kalau dia bekerja secara terus dengan Syed Akashah. Tak terima tawaran ni, rugi. Tapi kalau diterima, apa pula kata Idzham? Macam mana ya?
"Errr.. buat masa ni I tak boleh bagi jawapan lagi. Tawaran ni terlalu mengejut. Bagilah I amsa untuk fikir dahulu baik-buruknya. Bolehkan?"
"Terpulang pada you. I tak paksa. Tapi janganlah ambil masa lama sangat. I sedang finalise tentang proses ambil alih tu. Jadi, I betul-betul perlu dapatkan seorang setiausaha syarikat dalam masa terdekat ni."
"Insyaallah I akan bagi jawapan secepat mungkin..."
Antara sebuah tawaran masa depan yang lumayan dan rasa setia pada kekasih, mana satu yang harus Aleya utamakan? Gaji RM 700,000-00 setahun atau Idzham Iskandar? Mana satu ya?
Tanpa mereka berdua sedari, ada mata yang sedang memandang pertemuan Syed Akahah dan Aliya pada petang itu dengan penuh rasa cemburu...
BaB 30
Aleya Putri
Jujurlah Padaku
“Aleya…”
Aleya yang baru melangkah keluar dari kedai buku MPH Mid Valley tersentak apabila namanya diseru seseorang. Dia terus terpaku di tengah-tengah pintu MPH di saat dia terpandangkan manusia yang memanggilnya itu. Terasa sukar hendak dipercayai yang dia masih boleh terserempak dengan manusia di hadapannya ini setelah apa yang terjadi suatu ketika dahulu antara mereka. Tambahan lagi, dirinya yang ditegur sapa dulu oleh wanita yang kini sedang berdiri di hadapannya itu.
“Hei, you tak ingat I lagi ke? University Malaya, Law Faculty. Does that ring a bell?”
“Arin???”
“Yes, its me Arin. I’m so surprise to see you here. I thought that you don’t remember me anymore. Have I changed a lot?”
“Perhaps…”
Aleya memandang Arin, teman baiknya untuk semester yang pertama di Universiti Malaya dahulu. Setelah apa yang pernah berlaku antara mereka, dia tidak pernah bermimpi untuk bertemu dengan Arin semula. Tup-tup tanpa disangka, hari ini dia sendiri ditegur Arin. Dengan begitu mesra sekali pula tu. Seolah-olah tiada apa yang pernah terjadi antara mereka sebelum ini. Kalaulah dia tahu yang dia akan terserempak dengan Arin, di sini pada hari dan waktu ini, mati hidup balik dia tidak akan memonteng kerja dan menjejakkan kakinya ke Mid Valley pada tika ini. Kalaulah dia tahu, pastinya dia akan duduk sahaja di ofis walaupun hatinya begitu kacau sekali hari ini.
Hari ini masuk hari ke empat puluh lima dia tidak berjumpa dengan Idzhamnya. Orang perempuan yang berpantang selepas bersalin pun dah merdeka dan dapat bersama suami mereka semula. Tapi tidak pada dirinya. Hatinya ini masih belum beroleh rasa merdeka daripada kerinduan pada kekasih hati. Bayangkan 45 hari tanpa bersua muka dan 34 hari yang bersamaan dengan 3,024,000 saat tidak dihubungi apatah lagi dapat menghubungi Idzham, bagaimanakah hatinya dapat merasa gembira? Apatah lagi kebelakangan ini setiap panggilannya ke telefon bimbit Idzham tidak pernahnya berjaya. Sama ada panggilannya disambut oleh peti simpanan suara Idzham atau taliannya tidak bersambut. Dia tidak tahu mengapa tetapi dia dapat merasakan Idzham sedang mengelakkan diri daripadanya. Bertambah sukar apabila dia menyedari yang dia tidak mempunyai nombor telefon rumah Idzham di Ampang mahupun di kampung. Di mana Idzham menetap di Kuala Lumpur ini pun dia tidak pasti alamatnya. Apa yang dia tahu, Idzham menetap di sebuah apartmen di kawasan Ampang Jaya. Jalan ke kampung umi Idzham pun dia hanya ingat-ingat lupa. Saat ini, dia mula terfikir betapa teruknya dirinya ini sebagai seorang kekasih kerana tidak pernah mengambil tahu maklumat yang dirasakan remeh-temeh tentang pasangannya. Dia tidak pernah terfikir hendak menyimpan alamat kekasihnya kerana selama ini, Idzham yang akan mencarinya setiap hari. Ada beberapa kali dia cuba menelefon pejabat Idzham tetapi Puan Rossana yang mesra dipanggil Kak Ana. iaitu legal assistant kepada Idzham yang menjawabnya dan jawapan yang diterimanya adalah Idzham sedang bercuti. Dia tidak tahu pula yang Idzham akan mengambi cuti selepas pulang dari Singapura. Tetapi kata Kak Ana Idzham mengambil cuti kecemasan. Cuti kecemasan apa yang sampai berminggu-minggu ya?
Hatinya semakin merusuh apabila pagi tadi dia dikejutkan dengan kedatangan Cik Fara Azrin, peguam dari Tetuan Raja Eleena, Siew Ang & Partners. Menurut Cik Fara, mulai hari ini dia yang akan mengambil alih segala tugas Idzham sebagai peguam syarikat tempat Aleya bekerja. Katanya lagi, Idzham telah pun berhenti daripada firma tersebut lebih kurang seminggu yang lalu. Cik Fara hanya menggeleng apabila ditanya lebih lanjut tentang mengapa Idzham berhenti secara tiba-tiba. Hendak ditanya pada Dania pun dia sendiri tidak tahu bagaimana caranya kerana Dania kini sedang cuti bersalin di rumah mentuanya. Lalu rasa gundah-gulana yang mula melanda hatinya pabila menerima perkhabaran terbaru tentang Idzham telah yang membawa langkahnya ke Mid Valley pada tengah hari itu. Berjalan tanpa tujuan di Mid Valley sememangnya tidak membawa sebarang impak positif kepada permasalahan yang sedang ditanggungnya ini. Saat dia keluar dari kedai buku MPH tadi, sudah tekad hendak balik ke rumah sahaja. Dia sudah rasa malas hendak balik ke ofis semula. Tetapi tanpa disangka terserempak pula dengan satu-satunya wanita yang tidak mahu dijumpainya lagi kalau boleh.
Karina binti Tukiman. Mahu dipanggil sebagai Arin. Semasa mula-mula menjejaki Universiti Malaya, gadis ini sentiasa berbaju kurung. Wajahnya manis dan betul-betul seperti gadis Melayu jati. Rambutnya kerinting semula jadi dan berwarna hitam asli seperti iklan syampu Dove. Mukanya polos tanpa dicalit sebarang alat solek. Namun sedikit demi sedikit penampilan dirinya itu diubah. Pakaiannya bukan lagi setakat baju kurung sahaja tetapi gadis itu sudah semakin pandai bergaya dengan seluar dan skirt. Rambutnya juga mula diluruskan dengan teknik rebounding dan diwarnakan. Kini setelah beberapa tahun berlalu, wanita bernama Arin ini kelihatan lebih daring lagi daripada dulu. Rambutnya jelas diwarnakan dengan warna mahogany dan wajahnya di solek tebal. Pakaian pejabat yang tersarung di tubuhnya kini Aleya pasti dibeli daripada butik terkenal. Padanan blazer dan skirt pendek yang dipakainya mungkin berjenama Anne Klein atau paling kurang berjenama Zara agaknya. Di tangannya sarat dengan beg kertas daripada butik MNG dan Guess. Sesungguhnya Arin yang berdiri dihadapannya ini cukup berbeza dengan Arin yang ditemui pertama kalinya semasa hari pendaftaran siswazah dahulu!
“Shall we have a cup of coffee? There are lots of thing I would like to catch up with you.”
Aleya yang tersentak daripada analisisnya tentang teman di hadapannya itu hanya menurut permintaan Arin walaupun dia sebenarnya malas hendak bertentang mata dengan Arin lebih lama lagi. Apa yang pernah dilakukan sahabatnya itu dahulu sudah cukup menyakitkan hatinya dan parut di hatinya itu masih berbekas lagi. Namun mengenangkan ada jawapan yang perlu dituntut sejak sekian lama daripada seorang yang pernah bergelar teman baiknya itu, diturutkan juga permintaan Arin untuk duduk bercerita. Sesudah mereka selamat duduk di San Francisco Coffee Café setelah mendapatkan minuman mereka di kaunter, Arin mula mengajukan pertanyaannya.
“So, what are you up to now?”
“Aku sekarang jadi company secratary.”
Sengaja disebut jawatannya sebagai setiausaha syarikat pada Arin kerana dia tahu Arin pasti akan mengutuk dirinya kalau diberitahu yang jawatannya sekarang hanyalah penolong setiausaha syarikat.
“Oh, I see... You tak buat CLP ke?”
“Taklah. Aku malas nak sambung. Kau pula buat apa sekarang?”
“Me? Of course I’m a lawyer now. Currently I’m practice at Messr. Nik Adam Kamal & Partners. Dah belajar undang-undang takkanlah nak jadi setakat setiausaha syarikat je kan?”
Nada yang keluar dari mulut Arin kedengaran sungguh angkuh sekali. Apa dia ingat sengkek sangat ke menjadi setiausaha syarikat? Tahu tak kalau tiada setiausaha syarikat, berapa banyak pengarah yang akan didakwa kerana tidak mematuhi undang-undang syarikat. Kebanyakan pengarah-pengarah syarikat yang ada semuanya buta undang-undang.
“Eh, yang aku dengar kau dah berhenti daripada UM masa tahun pertama lagi? Macam mana kau boleh jadi peguam pula?”
Giliran dia pula memerli Arin. Perempuan seperti Arin ni bukannya boleh digunakan ayat yang baik-baik bila bercakap dengannya.
“Memanglah tapi I sambung my CLP at Kemayan ATC (Kemayan Advance Tertiary College). ”
“Kemayan? Wow, hebat! Setahu aku mahal kalau nak sambung pengajian dekat sana. Siapa yang tanggung pengajian kau dekat sana? ‘Pakcik’ kau yang pernah belanja aku makan dulu tu ke yang support? Atau ‘pakcik’ kau yang lain?”
Sengaja ditekankan perkataan pakcik pada soalannya kerana dia mahu temannya itu terasa. Selama ini Arin selalu memperkenalkan lelaki-lelaki yang melanggannya sebagai pakciknya pada dia. Aleya tahu yang sebenarnya lelaki-lelaki itu adalah pelanggan Arin. Aleya bukanlah bodoh untuk menilai dengan mata kasarnya sama ada dua insan yang berlainan jantina itu mempunyai hubungan kekeluargaan atau hubungan intim. Masakan seorang pakcik itu begitu rapat dengan anak saudaranya sehingga boleh berpeluk cium dengan anak saudaranya di dalam kereta. Lagipun berapa banyak pakcik yang tinggal di Kuala Lumpur temannya ini ada? Yang lebih tidak masuk akal lagi adalah pakcik-pakcik temannya itu terdiri berbagai kaum dan rupa. Dari yang berbadan rendah dan berperut boroi hinggalah yang berbadan tegap dan tinggi. Dari yang berkulit legam hinggalah kepada lelaki yang berkulit putih kemerahan seperti orang Inggeris.
“Siapa pun yang tanggung aku, kau peduli apa? Aku bukannya guna duit bapak kau pun kan?”
Ada nada kegeraman di situ. Kata ganti diri yang digunakan Arin pun sudah mula berubah. Bukan lagi ‘I’ dan ‘you’. Tapi telah digantikan dengan ‘kau’ dan ‘aku’.
“Janganlah marah. Aku bertanya kerana aku cuma nak tahu cerita sebenar. Manalah tahu kalau-kalau kau berhenti dari UM dan sambung di Kemayan tu kerana rahsia kau yang bercita-cita nak jadi mak tiri aku dah terbongkar sebelum impian murni kau tu tercapai kan?”
“Heh, kau ingat aku kemaruk sangat nak jadi mak tiri kau? Please…”
“Habis tu, kenapa kau buat hubungan dengan papa aku dulu? Siap dengan sayang – darling pula tu.”
“Itu cuma sebahagian daripada kerja aku. Aku kenal papa kau dalam satu majlis cocktail anjuran Bar Councils. Kebetulan pula boyfriend aku masa tu suruh aku rapat dengan papa kau sebab dia tengah fight on a case at the high court with your beloved dad where his chances to win the case is forty- sixty. Itu sahaja. Masa tu pun aku tak tahu pula yang dia tu papa kau. Aku rapat dengan papa kau tu sekejap sahaja. Kami terus putus bila tiba-tiba sahaja lelaki tu kata dia tak nak sakitkan hati anak bininya lagi. Hey, enough with that, I don’t want to talk about it anymore. Alah, papa kau tu pun bukannya kaya sangat pun.”
Mudah benar temannya itu menutup ceritanya. Bagi orang seperti Arin, apa yang berlaku hanyalah perkara biasa. Tetapi tidak pada Aleya yang menanggung segala penderitaan atas perbuatan teman dan papanya itu. Mana mungkin dia mampu melupakan peristiwa itu kerana bertahun-tahun dia dijeruk rasa kecewa. Kerana peristiwa itulah dia menjadi hilang akal sehingga sanggup membuat cubaan membunuh diri sendiri. Malah kerana itu juga telah bertahun-tahun dia kehilangan kepercayaan dan rasa hormat seorang anak pada papanya. Tapi benar kah kata Arin yang papanya telah memutuskan perhubungan sulit dengan temannya itu dengan alasan tidak mahu terus melukakan hati mama dan anak-anaknya.? Bolehkah dipercayai kata –kata orang seperti Arin ini?
“Bila kau nak kahwin?”
Dalam pada hatinya menimbang tara kebenaran kata-kata Arin tadi, dia disergah dengan soalan Arin lagi. Teman lamanya ini tahu ke yang dia sedang hangat berkasih sekarang? Atau sekadar tembakan soalan lazim untuk gadis seusianya kini?
“Tak lama lagi, Insyaallah.”
“Aku ada nampak kau dengan kekasih kau beberapa minggu lepas di Dome Cafe Bangsar Village dalam dua-tiga minggu lepas. Tak sangka besar juga cita rasa kau ya. Sekali ngap, ikan besar terus.”
Arin merenung Aleya yang duduk di hadapannya dengan perasaan geram. Mengenangkan apa yang dilihatnya beberapa minggu yang lalu, membuatkan api cemburunya pada Aleya yang tidak pernah padam semakin marak semula. Dia sungguh tak sangka yang Aleya mempunyai hubungan rapat dengan lelaki yang menjadi salah seorang buruannya selama ini. Siapa yang tak kenal Syed Akashah dalam dunia korporat. Lelaki yang berkarisma dan dikatakan mempunyai harapan untuk manjadi business tycoon seperti Donald Trump dan Bill Gates. Dia yang sentiasa mencuri peluang yang ada untuk memikat Syed Akashah, tidak pernah pula dilayan oleh lelaki itu. Tetapi Aleya yang langsung tidak menarik pada pandangan matanyalah inilah yang menjadi idaman lelaki tersebut. Melihat bagaimana lelaki tersebut merenung Aleya dengan penuh asyik hari itu, menambahkan lagi bara di hatinya.
“Ikan besar? Dome? Siapa yang kau maksudkan ni? Syed Akashah ke? Hmm…untuk pengetahuan kau, itu bukannya kekasih aku. Syed Akashah tu cuma bos aku. Salah seorang pengarah syarikat tempat aku bekerja. Kami berjumpa sebab dia nak tawarkan aku kerja dengan syarikat miliknya sendiri. Aku bukan tamak macam kau. Kekasih aku hanyalah orang biasa-biasa sahaja.”
“Then who is your boyfriend? Kau mesti tak mahu pisang berbuah dua kali kan? Dulu aku dah tak sengaja mengurat papa kau. Mana tahu tiba-tiba aku terpancing kekasih kau pula kali ni?”
“Nama dia Idzham Iskandar. Dia seorang peguam biasa sahaja dan bukannya peguam yang bertaraf jutawan macam Karpal Singh. Mungkin kau masih ingat dengan abang senior yang pernah pinjamkan aku buku dulu masa kita dekat UM.”
“Oh my God! Dia tu couple dengan kau sekarang? Hmm… tak sangka jadi juga kau dengan dia ya?”
“Apa maksud kau, ‘jadi juga aku dengan dia’?”
“Tak ada apa. Cuma aku tahu dari dulu lagi yang abang senior tu minat kau. Kalau tak, takkanlah dia sanggup beri buku yang dia pinjam dari perpustakaan pada junior yang tidak dikenalinya. Cuma kau tu buta. Bukannya nak sedar ada orang yang minat kau. Dekat sana, yang kau tahu pergi kelas dan balik kelas sahaja. Bukannya tahu hendak bersosial langsung.”
“Oh ya, berkata tentang buku yang dipinjamkannya, aku nak tanya soalan bonus pada kau. Kenapa kau tak pulangkan semula buku tu pada perpustakaan macam yang aku suruh? Kau tahu tak yang Idzham hampir-hampir ditahan ijazahnya kerana buku tu?”
Aleya bertanya dengan geram. Kerana angkara teman di hadapannya inilah yang membuatkan Idzham berprasangka buruk dengannya sebelum mereka menjadi kekasih dulu.
“Wow…sampai macam tu sekali ke? Bagusnya kalau aku ada di situ masa tu kan? Tentu aku boleh bertepuk tangan untuk kau. Memang aku sengaja buat macam tu. Daripada pengamatan mata sahaja aku dah tahu yang lelaki tu minat kau dulu. Aku yang minat dia bagai nak rak masa tu, langsung dia tak pernah pandang. Engkau yang selalu buat sombong dengan lelaki ini jugalah yang diminatinya. Bosan tahu tak? Sebab tu aku tak pulangkan buku tu bila kau suruh. Aku rasa aku dah campak buku tu dalam tong sampah kolej rasanya. Niat aku masa tu supaya dia benci pada kau. Tak sangka pula yang kau dan dia akhirnya boleh jadi pasangan kekasih. Never mind, aku pun tak hairan dah pada lelaki tu. Banyak lagi lelaki lain yang hebat aku boleh dapat sekarang ni.”
Aleya yang mendengar jawapan Arin terasa berang. Mudahnya dia memberi jawapan sebegitu. Terang-terangan dia menyakitkan hati Aleya.
“Apa masalah kau sebenarnya Arin? Apa salah aku pada kau hingga kau sanggup buat hidup aku kucar-kacir. Dulu kau mengurat papa aku. Kemudian kau set-up aku dengan Idzham pula.”
“Masalah? Aku tak ada masalah dengan kau pun. Kau tu yang bermasalah dengan aku. Semua lelaki yang aku suka, suka pada kau. Budak-budak perempuan di kolej pun semua pakat suka kau. Sedangkan kau tu dekat kolej penyombong tahu tak? Kau bukan suka bergaul dengan orang sangat. Tapi aku yang ramah-tamah ni pun masih ada yang tak pandang. Aku benci kau tahu tak?”
“Bukan salah aku kalau ada orang yang suka aku dan ada orang yang tak suka kau. Aku tak berhak nak kawal apa yang orang lain perlu suka atau tidak. Jadi kenapa perlu kau benci aku?”
“Huh, kau tanya kenapa aku perlu benci pada kau? Aku benci pada kau sebab aku tak pernah dapat mengatasi kau. Selalunya kaulah yang baik, kaulah yang hebat. Semua orang suka kau. Sedangkan aku ni tiada siapa yang pandang. Kau mungkin tak faham sebab kau tak pernah rasa apa yang aku rasa. Kau bukannya pernah rasa betapa seksanya dilahirkan dalam keluarga yang ada 15 adik beradik dan bapa kau hanya bekerja sebagai pengawal sahaja. Kau pernah ke rasa bila kehormatan diri kau dicabul oleh ahli keluarga sendiri? Tidak kan? Kau tak tahu betapa teruknya aku kena berusaha mendapatkan duit untuk mendaftarkan diri aku dan menanggung perbelanjaan aku di UM dulu. Hidup kau mudah. Segalanya sudah tersedia. Macam cerita dongeng. Papa kau orang yang hebat. Timbalan pendakwa raya yang terkenal. Adik-beradik kau bukannya banyak mana. Tak perlu nak memeningkan kepala menghadap perangai masing-masing. Betapa berbezanya dunia kita berdua. Kau fikirlah, macam mana aku mahu untuk tidak membenci kau atas apa yang kau miliki?”
“Arin, latar belakang kita yang berbeza bukannya salah aku. Semua tu Allah yang tentukan. Tak semestinya latar belakang kau yang tidak begitu baik maka nasib kau juga akan terus sentiasa buruk. Semuanya bergantung pada usaha kita juga. Usaha mestilah dari cara yang halal. Lagipun dunia ni kan hanya sementara. Paling penting bekalan kita untuk akhirat esok. Aku tak pernah pun pandang serong…”
Belum habis Aleya memberi pandangannya, Arin sudah memotong katanya.
“Eh, sudahlah. Aku bukannya nak dengar ceramah agama. Sejak bila pula kau jadi ustazah? Pandai-pandai nak nasihatkan aku konon. Aleya kau tahu tak yang sekurang-kurangnya aku puas hati juga dulu. Terutamanya bila ada yang sanggup menolong aku untuk menyebarkan cerita buruk tentang kau masa dekat UM dahulu. Kalau kau nak tahu, aku lah manusia yang baik hati tolong sebarkan cerita tentang kau yang kononnya ada ‘sugar daddy’. Aku tahu kau boleh agak apa kerja sampingan aku masa di UM. Jadi sebelum kau sebarkan cerita tentang aku, biar aku yang mulakan dulu. Betapa bijaknya aku bila berjaya memanipulasi keadaan dengan mengatakan pelanggan aku adalah pelanggan kau. Sebab itulah aku suka ajak kau menemani aku keluar makan dengan pelanggan aku.”
Aleya terkedu melihat senyuman sinis yang terpamer di bibir Arin. Sungguh dia tidak sangka yang seseorang yang pernah bergelar teman sanggup menganiaya dia sebegitu.
“Kenapa kau tergamak buat aku sampai macam tu sekali?”
“Seperti aku cakap tadi. Aku benci kau! Semua yang aku nak, kau yang dapat. Sudahlah, aku nak balik. Malam ni aku nak terbang ke Bali untuk bercuti. Jumpa lagi.
Aleya yang masih terkejut mendengar cerita Arin hanya terpaku melihat pemergian Arin. Dia tidak sangka manusia yang pernah bergelar teman rapatnya di kampus sanggup buat dia seteruk itu. Selama ini dia berkawan dengan Arin seikhlas hatinya. Dia tidak pernah melihat kepada asal-usul Arin. Tetapi mengapa dia dibalas dengan sebegitu rupa? Apa salah dirinya? Dia tidak pernah berniat nak menjaja cerita tentang Arin pada teman lain walaupun dia tahu apa kerja sambilan Arin selama perkenalan mereka di kampus. Bukankah dalam Islam kita dilarang bercerita tentang aib orang lain. Dalam pada dia masih kebingungan memikirkan apa yang terjadi antara Arin dan dirinya, dia tidak sedar yang Arin telah berpatah balik semula pada meja yang diduduki mereka tadi.
“Oh ya Aleya… Aku lupa nak beritahu kau sesuatu. Cerita fasal kau keguguran akibat dah ter –mengandung dan kerana itu kau terpaksa bercuti dari pengajian dulu, aku juga yang reka. Sebabnya aku tak nak kau dulu yang sebarkan cerita tentang aku ini ada hubungan dengan papa kau.”
Dengan penjelasan itu, Arin terus berlalu pergi setelah menghadiahkan Aleya senyuman sinisnya sekali lagi. Air mukanya nampak puas kerana dapat membuatkan Aleya terkedu dengan ceritanya. Hampir setengah jam Aleya terus terduduk di kafe San Francisco Coffee itu walaupun Arin telah lama berlalu.
Terasa payah hendak berdiri dan berjalan setelah mendengarkan pengakuan seorang teman yang betapa dia sanggup menganiaya diri teman baiknya sendiri. Kalaulah dia wanita yang tidak tahu malu seperti Arin, mahunya di situ juga dia menampar wajah Arin yang bersolek tebal itu. Rambutnya yang diwarnakan itu akan ditarik-tariknya biar sampai luntur warnanya. Tetapi dia bukanlah wanita seperti itu. Biarlah Arin bahagia dengan rasa bencinya yang menggunung pada Aleya. Aleya hanya mampu berdoa supaya Arin diberi hidayah untuk berubah. Biarlah Arin dengan caranya walaupun rasa terkilan itu tetap terselit di sudut hatinya.
Setelah mengumpul sedikit kekuatan, Aleya mula bangun dan meninggalkan kafe tersebut. Langkah asalnya untuk menuju ke kawasan tempat letak kereta di tingkat tiga dilencongkan ke lower ground floor. Entah mengapa tekaknya terasa loya dan hendak muntah apabila pengakuan yang diperdengarkan Arin padanya tadi masih terngiang-ngiang di telinganya sekali lagi. Pantas sahaja dia melangkah mencari kios Auntie Anne's Pretzel untuk mendapatkan lemonade. Harapnya dapatlah lemonade di kios Auntie Anne's itu akan melegakan sedikit rasa loya yang tiba-tiba muncul di tekaknya tika ini. Tambahan nanti bolehlah dia belikan sekali pretzel kegemaran Arisa iaitu De Coco Pretzel.
Matanya melilau memerhati orang ramai yang sentiasa memenuhi Mid valley tidak kira masa sambil menyedut minuman lemonade yang dibelinya dalam langkahnya untuk menuju ke keretanya. Tanpa sedar cawan kertasnya terlepas daripada pegangan tangannya apabila matanya menangkap dua objek yang tidak jauh daripada kedudukannya kini. Dia benar-benar tidak sangka yang hari ini dia akan berhadapan dengan pelbagai kejutan. Malah kejutan yang dihidangkan di hadapannya kini adalah lebih hebat daripada kejutan pengakuan Arin tadi. Teramat hebat sehinggakan air lemonade yang tumpah di lantai dan terkena kakinya pun tidak terasa.
No comments:
Post a Comment