Thursday, December 13, 2007
BaB 40
Aleya Putri
Have You Ever...
"There will be no more one fine day Idzham because I'm getting married soon."
"Kahwin? Dengan siapa? Syed Akashah?"
"Yup, dengan Syed Akashah. Dia sudah melamar saya beberapa bulan lepas dan saya dah pun terima pinangan dia. Bila tarikh majlis perkahwinan tu jangan ditanya sebab semuanya saya serahkan pada keluaraga saya dan Syah untuk tetapkan."
"Leya saja nak tipu Am kan? Macam mana Leya boleh terima Syed Akashah tu? Bukan ke dulu Leya sendiri mengaku depan Am yang Leya tak suka dia?"
Idzham benar-benar terkejut mendengar perkhabaran yang baru keluar daripada mulut Aleya sendiri. Sejak tadi apabila Aleya asyik mengatakan yang Syed Akashah adalah seorang yang baik dan melihat kemesraan perhubungan mereka berdua tu semasa mesyuarat, dia ingatkan hubungan yang terjalin antara Aleya dan Syed Akashah hanyalah hubungan biasa-biasa sahaja. Sekadar hubungan yang extra mesra daripada dahulu tetapi tiada sebarang hubungan intim yang terjalin. Rupanya telahan dia silap. Aleya kini sudah bertunang dengan Syed Akashah. Aleya sudah berpaling kasih pada Syed Akashah!
"Tipu apanya Idzham? Apa faedah saya nak tipu awak? Tak ada faedahnya saya nak buat macam tu. Macam yang saya kata tadi sekurang-kurangnya Syed Akashah tak pernah sakitkan hati saya macam yang awak pernah buat pada saya. Saya tahu dia ikhlas sayangkan saya. Jadi salahkah kalau saya terima dia?
Lagipun saya cuma seorang perempuan biasa sahaja. Seorang perempuan yang mengharapkan perlindungan daripada seorang lelaki. Seorang perempuan yang mengharapkan untuk berpayung di bawah sebuah perkahwinan. Awak pergi begitu sahaja tinggalkan saya tanpa sebarang ucapan, tanpa sebarang harapan dan awak fikir saya nak tunggu awak?"
"Am tahu Am bersalah pada Leya. Bersalah sebab tingalkan Leya. Tapi Am ada sebab Am sendiri Leya. Lagipun bukan ke Am yang dah lamar Leya dulu?"
"Idzham, kalau sejuta kali pun awak cakap awak ada alasan tinggalkan saya dahulu tanpa beritahu apa alasan awak tu tak guna juga. Budak kecil pun boleh kata dia ada alasan kenapa dia buat itu dan kenapa dia buat ini tanpa memberi alasannya.
Ya memang awak yang lamar saya dulu, tapi kalau setakat lamaran tanpa disusuli pinangan daripada keluarga awak tak guna juga Idzham. Keluarga saya masih terikat degan adab dan adat. Keluarga saya bukannya macam mat saleh yang boleh setakat melamar secara romantik dan kemudian terus rancang perkahwinan. Saya dah buka peluang untuk awak kenal keluarga saya tapi kenapa awak tak nak manfaatkannya?"
Mendengar hujah Aleya membuatkan Idzham terkedu. Ya memang salah dia kerana tidak manfaatkan peluang yang ada. Peluang sudah cukup terbuka untuk dia sebelum ini. Keluarga dia dan keluarga Aleya tidak pernah membantah hubungan mereka malah cukup merestui hubungan yang terjalin antara mereka dahulu. Tetapi dia ada alasannya sendiri kenapa dia tidak rebut peluang itu!
"Tapi bukankah Syed Akashah tu playboy? Leya tak takut ke nanti Leya akan kecewa bila kahwin dengan dia. Leya sanggup ke bila dah kahwin nanti menjeruk rasa melihat perempuan lain sibuk berkepit dengan Syed Akashah?"
Sengaja dia memprovokasi Aleya dengan kenyataan yang menakutkan dengan harapan supaya gadis yang masih dicintainya itu akan membatalkan perkahwinannya dengan Syed Akashah. Dia tidak mahu kehilangan Aleya terlepas ke tangan Syed Akashah, musuh tidak rasminya sejak dahulu kala lagi.
"Dia dah terangkan pada saya tentang segala kisah hidup dia pada saya, siapa perempuan-perempuan yang selalu mendampinginya tu dan status hubungan dia dengan mereka yang sebenarnya. Saya faham dan saya boleh terima semua alasannya. Jadi jangan nak cuba provok saya sebab saya dah fikir masak-masak sebelum menerima dia. Lagipun bila saya dah jadi isteri dia nanti tahulah macam mana saya nak tunjukkan kuasa veto saya sebagai isteri rasmi dia pada perempuan-perempuan yang sibuk nak mengending dia tu."
"Leya pasti ke apa yang diceritakan itu betul? Pernah tak orang pesan pada Leya kalau seorang lelaki itu berkata-kata, separuh daripada apa yang dikatanya itu tidak boleh dipercayai?"
Sebagai peguam sememangnya dia mempunyai skil yang cukup bagus untuk memprovokasi lawan hujahnya. Maka sebab itu dia mahu terus memprovokasi Aleya supaya merasa ragu-ragu dengan kepercayaannya pada Syed Akashah. Biarlah orang nak tuduh dia jahat kerana cuba mengkucar-kacirkan pertunangan orang lain sekalipun. Dia tahu apa yang dia buat. Dia mahukan Aleyanya semula.
"Ohh... jadi apa yang awak cakap selama ini hanya separuh sahajalah yang boleh dipercayai? Semua janji-janji dan ungkapan cinta yang awak pernah ucapkan separuhnya adalah palsulah ya? Begitu ke Encik Idzham?"
Kali ini Idzham benar-benar mati kata mendengar hujah Aleya. Tidak sangka pula Aleya kini semakin pandai berhujah. Sekarang ni siapa yang peguam dan siapa pula yang jadi tertuduh? Dia ingatkan dia yang akan menang dalam lawan hujah mereka ini. Nampaknya Aleya yang lebih menguasai sesi mereka hari ini. Straight point scored!
"Sudahlah Idzham. Saya rasa dah lama sangat saya dekat dalam ni dengan awak. Nanti apa pula kata bakal suami saya yang baik tu kan? Saya tak mahu dia buat andaian yang tak baik pada saya pula kalau tengok saya berdua-duaan dengan awak dalam bilik ni. Lagipun masa yang saya beri pada awak tadi dah lama tamat. Saya keluar dulu ya."
Dengan senyuman sinis yang dihadiahkan pada Idzham, Aleya pantas mencapai barang-barangnya di atas meja mesyuarat tersebut dan menolak daun pintu bilik tersebut yang sudah tidak dihadang oleh Idzham lagi. Idzham pula hanya menurut dari belakang tanpa berkata apa-apa.
Namun sebaik sahaja keluar daripada bilik mesyuarat tersebut, kedua-dua mereka terkesima melihat apa yang sedang berlaku di luar bilik mesyuarat tersebut. Dua orang wanita sedang bergaduh sesama mereka di ruang menunggu tetamu Akashah Empire Berhad!
Terkebil-kebil mata Aleya menyaksikan aksi pergaduhan yang rasanya sudah saling tak ubah macam perlawanan Stephanie McMahon dan Trish Stratus dalam WWE Diva. Dua orang wanita yang cantik dan seksi saling pukul memukul sesama mereka tanpa mempedulikan orang lain di sekeliling mereka sedang asyik memerhati. Tidak cukup dengan memukul, dua orang wanita tersebut juga dilihat mereka saling bertarik rambut antara satu sama lain.
Salah seorang daripada wanita itu dia memang kenal amat iaitu Salina yang merupakan penolong setiausahanya. Tetapi siapa pula yang lagi seorang itu? Aleya cuba mengecam perempuan yang sedang bergaduh dengan Salina kerana dari susuk tubuh dan sedikit raut wajah perempuan tersebut yang jelas pada pandangan Aleya kelihatan seperti dikenalinya sahaja.
Maka atas nama perasaan ingin tahu yang menebal dengan apa yang telah terjadi, Aleya pantas menggamit Sheqyn yang sedang berdiri tidak jauh daripadanya dalam kumpulan manusia yang menjadi penonton aksi pergaduhan tersebut. Sheqyn yang dapat melihat isyarat tangan Aleya itu pantas sahaja memberi tindak balasnya dengan melangkah menghampiri Aleya. Setelah Sheqyn menghampirinya, dalam nada sedikit berbisik Aleya bertanya pada Sheqyn
"Sheqyn kenapa tu? Siapa yang bergaduh tu?"
"Entahlah Cik Aleya. Tadi tiba-tiba je ada seorang perempuan seksi datang sini kata nak jumpa Salina. Penyambut tetamu dekat bawah tu suruh perempuan tu tunggu dekat ruang menunggu ni. Dia tak beri perempuan tu terus naik ke pejabat kita untuk jumpa Salina sebab katanya perempuan yang nak jumpa Salina tu nampak semacam je. Jadi masa nak turun jumpa tetamu tu Salina minta saya temankan dia.
Bila kami sampai sini je, perempuan tu terus serang Salina. Dia pukul-pukul badan Salina. Dia kata Salina tu perempuan gatallah, saja nak potong jalan dia lah... eh macam-macam lagilah yang keluar dari mulut perempuan tu. Salina apa lagi... teruslah dia balas sama. Takkanlah nak biarkan je perempuan tu serang dia terus-terusan."
Aleya terlongo mendengar cerita Shqyn yang panjang lebar tentang rentetan kejadian yang sedang berlaku dihadapan mereka ini.
"Tak panggil pengawal keselamatan ke?"
"Dah panggil. Tapi habis Pak Tam tu pun sama kena bantai dek mereka berdua. Sekarang ni Pak Tam tengah tunggu polis datang dekat bawah. Kami dah panggil polis tadi suruh datang."
"Tak kan seorang je pengawal yang ada hari ni? Habis yang lelaki-lelaki lain tu tak tolong sama cuba leraikan ke?"
Aleya bertanya lagi pada Sheqyn. Dia sedar wanita bila sedang berlawan fizikal jangan diperekcilkan kekuatan mereka kerana dalam diri wanita ada kekuatan yang terlindung. Lelaki pun boleh dikalahkan bila perempuan ni mula dirasuk dengan kekuatan mereka yang terlindung. Tetapi depan matanya staf lelaki yang turut menjadi penonton pergaduhan ini tidak kurang banyak juga jumlah mereka. Tapi tak kanlah dalam ramai-ramai mereka ni langsung tak boleh nak bantu leraikan pergaduhan yang sedang berlangsung depan mata mereka sendiri. Musykil betul dia.
"Hari ni kebetulan Pak Tam seorang je bertugas. Abang Din cuti sakit hari ni. Budak-budak lelaki tu semua tak berani nak campur bila tengok Pak Tam pun kena pukul sama tadi."
"Dia orang tu bergaduh pasal apa sebenarnya Sheqyn?"
"Saya tak pasti. Tapi rasanya pasal Encik Syed Akashah. Tadi masa mula-mula mereka bergaduh yang perempuan seksi tu ada kata Encik Syed Akashah tu dia punya. Dia marah Salina sebab dia pernah nampak Salina menggatal dengan Encik Syed. Dia kata Salina memang sengaja nak menggoda Encik Syed. Katanya lagi dia pernah nampak Salina berdua-duaan dengan Encik Syed masa dekat Bluewave Hotel hari tu. Agaknya perempuan tu nampak mereka berdua masa Salina gantikan cik Aleya untuk meeting minggu lepas agaknya. "
Aleya rasa macam nak pengsan mendengar kata-kata Sheqyn tu. Kedua-dua wanita yang sedang bergaduh di hadapannya itu rupanya tengah berlawan kerana berebutkan Syed Akashah rupanya. Syed Akashah yang bakal jadi suaminya tidak lama lagi. Tiba-tiba dia rasa macam nak menjerit je pada kedua-dua mereka itu.
'Oit, perempuan...Tak malu ke gaduh macam ni? Buat malu kaum wanita je. Lelaki yang kau orang sedang gaduhkan tu bakal suami aku lah! Kau orang sibuk bergaduh dan bertumbuk di sini, nanti-nanti lelaki tu akan kahwin dengan aku juga akhirnya.'
Tetapi dibatalkan hasrat hatinya itu apabila memikirkan yang dia tidak mahu jadi Lita Aleya pula dalam acara WWE Diva versi Kasyah Empire Berhad yang sedang dilangsungkan oleh Salina Stephanie McMahon dan Trish Stratus… Arin?
Erk…rupanya perempuan yang sedang bergasak dengan Salina itu adalah Arin yang pernah menjadi teman baiknya semasa di UM merangkap mak tiri tak jadinya dulu. Dari tadi dia sibuk cuba mengecam perempuan seksi yang dikatakan oleh Sheqyn telah memulakan pergaduhan tersebut dan baru kini dia nampak wajah perempuan tersebut. Patutlah daripada tadi Aleya rasa macam kenal sahaja dengan wanita tersebut.
Ingatkan setelah lebih dua tahun dia tidak akan terjumpa langsung wanita tersebut. Kalaulah Arin perasan akan kehadiran Aleya di sini dan tahu yang Aleya akan berkahwin dengan Syed Akashah tidak lama lagi pasti dia akan menarik Aleya masuk ke gelanggang wrestlingnya itu untuk menyertai Salina sekali.
Dulu pun semasa Aleya masih tiada kena-mengena dengan Syed Akashah selain daripada hubungan majikan dan pekerja pun Arin sudah menampakkan rasa sakit hatinya pada Aleya apabila pernah terserempak Aleya berdua dengan Syed Akashah di Dome Café Bangsar Village. Apatah lagi kalau dia tahu yang kini Aleya sudah dilamar Syed Akashah untuk menjadi Mrs. Akashah.
Tentang Salina pula dia memang sedar yang penolong setiausahanya itu macam ada hati dengan Syed Akashah sejak mula gadis tersebut bekerja lagi. Pantang ada peluang pasti sahaja akan digunakannya untuk cuba menarik perhatian Syed Akashah. Tetapi Aleya tidak pernah kisah kerana padanya itu adalah hak gadis tersebut selagi Syed Akashah belum menjadi suaminya yang sah.
Lagipun hubungan antara dia dan Salina tidak pernah bermasalah walaupun berita tentang dia bakal ditabalkan sebagai isteri Syed Akashah sudah pun bergendang serata Kasyah Empire Berhad. Gadis tersebut juga tidak pernah mendatangkan masalah dalam hal kerjanya. Pada Salina dan Aleya, mereka seperti sedang bertanding secara sihat. Kononnya mereka berdua ni sedang mempraktikkan konsep 'best woman's win' dalam hal merebut hati Syed Akashah.
Sebenarnya kalau boleh Aleya hendak sahaja khabarkan pada Salina kalaulah dia mahukan Syed Akashah jadi miliknya dan Syed Akashah juga mula sukakan Salina tu, silalah sahaja teruskan niat murni tersebut. Aleya tidak akan sesekali menghalanginya. Aleya juga tidak mungkin kecewa jika kasih Syed Akashah berubah kerana sehingga kini sebenarnya dia masih lagi tidak berupaya menyayangi lelaki itu lebih daripada sepatutnya.
Yalah kalau dah jodoh mereka apa salahnya. Malah dia cukup bersyukur kalau itu yang terjadi. Setakat ini dia menerima pinangan lelaki itu secara tidak rasmi pun hanyalah kerana permintaan mama yang mahu dia berkahwin seperti wanita lain walau dengan sesiapapun. Mama tidak mahu dia terus-terusan melayan rasa kecewa kerana cintanya dan Idzham Iskandar yang tidak menjadi. Lalu memandangkan setakat ini hanya Syed Akashah sahaja yang begitu berani meminangnya, maka kerana itulah dia bertekad menerima lelaki itu sebagai bakal suaminya demi mama!
Tetapi kalaulah Arin yang ingin mengambil alih tempatnya, tidak mungkin dia akan sesekali benarkan ianya terjadi. Pada Aleya, Arin bukanlah wanita yang baik. Walaupun hatinya masih belum menyayangi Syed Akashah sepenuhnya, biarlah lelaki itu dapat perempuan yang baik sekurang-kurangnya sekalipun bukan dia yang menjadi isteri lelaki itu akhir nanti. Setelah cuba mengenali Syed Akashah, sememangnya dia mengakui lelaki itu adalah lelaki yang baik-baik. Lelaki yang sentiasa berhemah.
Lelaki seperti Syed Akashah tu tidak pernah melayan kaum wanita seperti Aleya dengan buruk seperti kebanyakan lelaki lain yang sentiasa cuba menonjolkan ego mereka. Walaupun orang lain akan melihat sifat yang ditonjolkan itu seperti gaya seorang lelaki buaya sahaja lagaknya (termasuklah Aleya suatu ketika dahulu), mereka yang berperangai seperti ini bukanlah lelaki yang suka mempermainkan hati wanita sebenarnya.
Apa pun dia mohon andai benar Syed Akashah adalah jodohnya, Allah akan bukakan hatinya suatu hari nanti untuk menyayangi lelaki itu dengan sepenuh hatinya. Dia juga berharap yang dia mampu menghadapi segala dugaan dalam melayari rumahtangganya kelak bersama Syed Akashah. Sebagai langkah utama saat ini Aleya bercita-cita untuk mendaftarkan dirinya sendiri di kelas Taekwando WTF. Masa tu kalau setakat nak bergusti dengan Arin rasanya tak ada masalah langsung.
Dalam akal dan hati Aleya menimbang perasaannya terhadap kedua-dua wanita yang masih lagi tidak berhenti daripada bergaduh sesama mereka tanpa mempedulikan orang lain dan mengenangkan subjek yang menjadi punca pergaduhan mereka, ada suara sinis kedengaran yang membuatkan telinganya tiba-tiba terasa nak keluarkan asap macam kepala lokomotif aje.
"Hmmm…Leya tak nak joint sama ke dalam tag-team tu? Sian Leya ya, belum kahwin lagi dah nak kena menghadap perempuan lain yang bergaduh sebab berebutkan Syed Akashah. Bila dah kahwin nanti pergaduhan macam mana pula ya yang Leya kena hadap?"
Walaupun hati Aleya cukup sakit mendengarkan kata-kata tersebut, hanya jelingan maut sahaja yang mampu dihadiahkan pada tukang komen yang tak bertauliah tersebut. Tak habis-habis nak provokasi Aleya dari tadi. Ingatkan selepas keluar daripada bilik mesyuarat tadi, lelaki ini dah balik terus. Rupa-rupanya dia masih lagi setia berdiri disebelahnya menyibuk untuk menjadi penonton juga.
Dengan penuh rasa geram, selamba sahaja Aleya memijak kaki Idzham Iskandar sekuat-kuat hatinya dengan kasut tumit tinggi yang dipakainya. Biarpun kesan pijakan tersebut tidak kena terus pada kulit kaki Idzham, Aleya tetap puas apabila melihat ekspresi menahan sakit pada yang terpamer wajah Idzham.
"Padan muka. Menyibuk je hal orang."
Seraya itu Aleya terus berlalu pergi tanpa meihat kesudahan pergaduhan Salina dan Arin. Dia sudah malas nak campur dan dia sudah menyampah nak terus berdiri di sebelah Idzham Iskandar.
S Club 7 - Have You Ever
Sometimes it's wrong to walk away, though you think it's over
Knowing there's so much more to say
Suddenly the moment's gone
And all your dreams are upside down
and you just wanna change the way the world goes round
Tell me, have you ever loved and lost somebody
Wished there was a chance to say I'm sorry
Can't you see, that's the way I feel about you and me, Baby
Have you ever felt your heart was breaking
Lookin down the road you should be taking
I should know, cos I loved and lost the day I let you go
Can't help but think that this is wrong, we should be together
Back in your arms where I belong
Now I've finally realised it was forever that I've found
I'd give it all to change the way the world goes round
Tell me, have you ever loved and lost somebody
Wished there was a chance to say I'm sorry
Can't you see, that's the way I feel about you and me, Baby
Have you ever felt your heart was breaking
Lookin down the road you should be taking
I should know, cos I loved and lost the day I let you go
I really wanna hear you say that you know just how it feels
To have it all and let it slip away, can't you see
Even though the moment's gone, I'm still holding on somehow
Wishing I could change the way the world goes round
BAB 41
Aleya
Pelangi Petang
“You pernah tengok pelangi?”
“Pelangi? Mestilah pernah nampak. Tapi jaranglah pasal pelangi tu bukannya selalu ada pun kan? Kenapa you tanya?”
Aleya memandang wajah Syed Akashah dengan dahi berkerut. Lelaki ni datang jumpa Aleya malam ni semata-mata nak tanya Aleya pernah nampak pelangi je ke? Dia ni sihat ke tidak? Esok mereka akan dinikahkan dah tapi Syed Akashah berkeras juga nak berjumpa dengan Aleya malam ni. Katanya ada banyak perkara yang dia hendak perkatakan sebelum majlis esok.
Kalau ikut hati, dia memang malas nak berjumpa dengan Syed Akashah sebelum majlis pernikahan mereka sebenarnya. Tetapi bila papa dan abang long pun beria-ria minta Aleya memenuhi permintaan Syed Akashah yang ini, dia sudah tiada alasan lagi untuk menolak. Kata papa tadi, tak ada apa yang nak dirisaukan kalau Syed Akashah nak datang jumpa Aleya malam ni kerana perjumpaan mereka ini masih dalam rumah mereka. Masih dalam pengawasan ahli keluarga.
Lalu kerana itulah perbincangan mereka ini dilakukan di bawah khemah yang telah siap didirikan untuk meraikan tetamu esok. Nun lebih kurang lima meter daripada tempat Syed Akashah dan Aleya duduk, abang long sedang duduk berbual dengan Arip abang sepupunya sambil memerhatikan mereka berdua.
Aleya bukannya tidak mahu berjumpa dengan Syed Akashah pada malam sebelum pernikahan mereka sebab terlalu patuh pada pantang-larang nenek moyang yang pasangan nak berkahwin tak boleh berjumpa beberapa hari sebelum dilangsungkan untuk mengelakkan bencana. Dia cuba mengelak untuk berjumpa dengan bakal suaminya ini tadi kerana dia mahu benar-benar tenangkan hatinya dan membuangkan segala resah sebelum dia akan sah bergelar isteri kepada Syed Akashah esok.
Hanya malam ini sahaja masa yang tinggal untuknya menikmati saat-saat terakhir sebelum bergelar seorang isteri. Mulai esok dia bukanlah lagi Cik Aleya Putri. Mulai esok dia akan bergelar Puan kepada Tuan Syed Akashah yang masih lagi samar-samar kedudukannya dalam hatinya sendiri. Esok, dia tidak akan dapat berpaling lagi daripada keputusan yang telah dibuatnya.
Pada Aleya, dia hanya berserah. Andainya Syed Akashahlah jodohnya yang tertulis di Loh Mahfuz, dia yakin ALLAH pasti akan mencampakkan rasa kasih dalam hatinya jua pada Syed Akashah suatu hari nanti. Itukan janji ALLAH pada hambaNya.
“Pelangi tu cantik dengan tujuh warnanya. Damai sahaja bila memandangnya kan? Tapi sekejap sahaja dia akan menonjol. Bila matahari bersinar garang semula, sinarannya akan pergi jua. Pada I you pun macam pelangi. Kehadiran you dalam hidup I bagaikan pelangi yang tak bercahaya seperti matahari tetapi berseri. Sebab itu jugalah I sukakan you Aleya.”
Aleya semakin pelik dengan Syed Akashah. Kenapa lelaki ni merapu sahaja malam ni? Tiba-tiba sahaja jadi terlebih jiwang karat pula. Tahulah dia tu bekas buaya jadian pada Aleya. Bercakap sambil berkias-kias pula. Apa kes lah dia ni sibuk nak berbincang tentang pelangi di saat malam bermandikan cahaya bulan. Syed Akashah ni pun gementar dengan majlis mereka esok agaknya.
“You dari tadi sibuk-sibuk nak jumpa I malam ni, sebab nak cakap pasal pelangi je ke? Dekat dalam tu banyak lagi yang perlu I nak buat untuk majlis esok.”
Aleya sudah mula bosan apabila Syed Akshah masih belum memberitahu tujuan sebenarnya untuk berjumpa dengan Aleya. Kerana itulah dia memberi alasan yang kononnya ada banyak lagi kerja yang perlu dibuatnya. Kalau nak diikutkan segalanya sudah siap. Daripada hantaran, pelamin hinggalah ke bilik pengantin semuanya sudah disiapkan. Semuanya sudah di atur oleh perunding majlis perkahwinan yang diupah oleh Syed Akashah petang tadi. Saat ini Aleya hanya perlu goyang kaki dan bersedia untuk facial make over sahaja esok pagi.
Untuk majlis ini, semuanya ditanggung dan diuruskan oleh Syed Akashah. Daripada kad jemputan, tempahan baju, hantaran, pelamin, andaman dan jurukamera semuanya ditempah dengan butik Rizalman Ibrahim. Cuma katering sahaja yang Papa pilihkan. Itupun Syed Akashah yang bayarkan. Katanya semasa peminangan dahulu dia sudah janji nak beri serba satu, jadi biarlah semuanya dia sahaja yang urus dan bayarkan.
“Bukan semuanya dah siap ke? Petang tadi, assistant Rizalman call I kata semuanya dah siap?”
Kali ini giliran Syed Akashah pula memberi pandangan pelik pada Aleya.
“Err… memanglah dah siap tapi... tapi I pun nak kena siapkan diri I juga. Esok I dah nak jadi isteri you. Mental dan fizikal pun kena betul-betul sedia juga kan? Besar tanggungjawab I sebagai isteri nanti.”
“You masih tak bersedia nak jadi isteri I ke Aleya?”
Aleya terkedu dengan soalan maut Syed Akashah itu. Mata Syed Akashah yang merenungnya tajam dirasakan bagaikan panahan mata harimau yang hendak menikam mangsanya sahaja rasanya. Jantungnya terasa berdegup kencang tiba-tiba memikirkan jawapan yang hendak diberi. Baru sahaja tadi dia lega kerana dapat memberi alasan pada Syed Akshah kenapa dia tidak mahu berlama-lama berjumpa lelaki itu ketika ini. Kini nak kena menjawab pula soalan yang dia sendiri tidak mempunyai jawapannya. Aduhai…
“Bukannya I tak bersedia. I... I sedia nak jadi isteri you. Cuma... cuma you kena faham perkara macam ni adalah normal bagi setiap gadis. Menjadi seorang isteri merupakan satu langkah ke dalam dunia yang baru yang I tidak tahu apa akan berlaku dan I guess semua gadis pun rasa benda yang sama. Jadi mestilah I nak kena tenangkan hati, dapatkan tidur yang cukup supaya esok masa majlis tu wajah I akan betul-betul berseri dan totally ready to be Mrs. Syed Akashah.”
Bantai sahajalah apa-apa jawapan pun. Walaupun sedikit tergagap, Aleya yakin jawapan yang diberikannya itu dapat meyakinkan Syed Akashah yang dia sudah bersedia untuk menjadi isteri lelaki itu walaupun dia tidak sebenarnya.
“Your voice doesn’t sound convincing to me.”
“Apa maksud you?”
Melihatkan senyuman kelat Syed Akashah, membuat Aleya semakin keresahan.
“Never mind. Just ignore apa yang I cakap tadi. Aleya, boleh I tanya you sesuatu?”
“Tanya apa? Tanya je lah. Kalu I boleh jawab, I akan jawab.”
“I nak you jawab dengan sejujur-jujurnya. Do you really love me?”
Cinta? Adakah dia benar-benar cintakan Syed Akashah? Ya Allah, kenapalah malam ini Syed Akashah benar-benar berkelakuan pelik? Kenapa dia asyik menguji Aleya dengan soalan-soalan mautnya? Pening kepala Aleya dibuatnya.
“Kalau you nak jawapan yang jujur sangat, I akan beritahu. Untuk pengetahuan you sampai saat ini I masih tidak dapat nak mencintai you. I do sayang you. Tapi mungkin tak sampai tahap cinta lagi. Pada I, you baik sangat-sangat dengan I walaupun I selalu buat tak endah je dengan you. You sentiasa sabar dengan I. So Shah, that’s why I sayangkan you.”
Nah ambil kau. Nak sangat jawapan yang jujur. Sejujur-jujurnya Aleya bagi jawapan.
“You masih ingatkan dia lagi? Masih cintakan dia lagi?”
“Dia? Dia tu siapa?”
“Idzham...bekas boyfriend you dulu tu.”
Aleya mengeluh berat mendengar nama itu disebut Syed Akashah. Masih cintakah dia pada Idzham Iskandar? Masih adakah sayangnya pada Idzham yang pernah meninggalakan dahulu? Dia sendiri tidak pasti sebenarnya. Dahulu ketika Idzham meninggalkannya tanpa sebarang alasan memang dia marah amat dengan lelaki itu walaupun sesekali ada rasa rindu pada Idzham yang mengetuk pintu hatinya.
Tetapi setelah mendengar cerita adiknya Zaza, serta Shasha dan mendengar pengakuan Idzham sendiri, hatinya jadi berbelah bagi. Cintanya pada Idzham yang telah lama terbang pergi seakan-akan memekar kembali di taman hatinya. Namun adalah mustahil untuk cintanya dan Idzham bersatu kembali kerana mulai esok dia akan bergelar isteri kepada lelaki lain. Isteri kepada Syed Akashah.
“Tak… I tak ingatkan dia lagi. Cinta I pada dia dah lama mati. Dia pernah tinggalkan I dan tak mungkin I akan berpaling lagi pada dia semula. Antara I dan dia sekarang tidak lebih daripada rakan sekerja sahaja.”
Air liurnya terasa kesat setelah habis meluahkan kata-katanya itu. Dia tahu dia menipu. Tetapi dia terpaksa. Ampunkanlah diri ini Ya Allah kerana menipu bakal suaminya ini. Dia tidak mahu terus melukakan hati lelaki yang terlalu baik padanya ini. Biarlah cintanya yang masih bersisa pada Idzham dipendam begitu sahaja.
“Is it true Aleya? Tapi kenapa hati I mengatakan yang kebenarannya adalah sebaliknya? Kalau you dah tak cintakan dia lagi, kenapa you masih tidak dapat nak mencintai I seperti yang sepatutnya?”
“Syah… macam yang I kata tadi walaupun I masih tak dapat nak mencintai you sepenuhnya lagi, tapi I sayangkan you. Mulai esok, bila selamat sahaja I jadi isteri you, I berjanji akan belajar untuk mencintai you dengan seluruh hati I.
You kena faham, I pernah terluka dahulu masa I bersama dengan Idzham. Dia lelaki pertama yang I jatuh cinta. I tak pernah benar-benar jatuh cinta dan bercinta dengan mana-mana lelaki selain dia sebelumnya. Tetapi semuanya hancur bila dia pergi begitu sahaja dari hidup I dulu.
Semasa I bercinta dengan Idzham dahulu, tanpa sedar banyak dosa yang I dah buat secara sengaja atau tidak. Bercinta mengikut hati. Melanggar garis panduan tentang hubungan antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim seperti yang telah termaktub dalam kalam Allah. But don’t get me wrong. I tak pernah sekalipun buat benda-benda yang tak senonoh dengan Idzham dahulu. Setakat berpegang tangan like most couples nowadays did sahaja.”
“Why are you telling me this? Don’t you realize that my heart might be hurt to listen it?”
Berkerut-kerut kening Aleya mendengar pertanyaan Syed Akashah. Dia ni kenapalah pelik sungguh malam ni? Tadi dia tanya kenapa Aleya masih tak cintakan dia. Bila Aleya dah bercerita, boleh pula dia tanya kenapa Aleya bercerita semua ini yang konon telah melukakan hatinya. Selama ini Syed Akashah yang dia kenali adalah sesabar-sabar lelaki yang pernah dia jumpa. Syed Akashah tidak pernah mudah melatah mahupun cemburu tanpa usul periksa. Tetapi kenapa malam ini Syed Akashah terlalu berbeza?
“I ceritakan semua ni pasal I nak you tahu yang bila I dah pernah terluka sekali dahulu, I terlalu takut untuk jatuh cinta lagi. Sejak ditinggalkan Idzham dahulu keyakinan I terhadap cinta seorang lelaki seolah-olah hilang terus daripada diri ini. Lebih-lebih lagi I rasa macam I telah membazirkan terlalu banyak masa hanya untuk mencintai seorang lelaki yang akhirnya meninggalkan I terkontang-kanting sendirian meratap cinta yang tak menjadi.
Sebab itu kalau boleh selagi antara kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu I tak mahu membazirkan perasaan cinta yang ada kerana kita masih tidak mempunyai hak untuk berbuat begitu. I tidak mahu lagi melampaui batasan yang telah ALLAH tetapkan dalam perhubungan antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim seperti yang I pernah lalui dulu. Pada I selagi belum bergelar seorang isteri I hanya layak untuk mencintai Allah sahaja. Kerana hanya Dia sahajalah yang dapat membahagiakan hati hamba-hambaNya.
Tetapi bila I nampak you begitu tulus tentang perasaan you pada I hingga sanggup menebalkan diri you untuk hantar rombongan meminang I walaupun you tahu antara kita tak pernah bercinta, I mula berfikir sedalam-dalamnya. I tahu I tak akan dapat seorang lelaki yang lebih baik lagi suatu hari nanti kalau I lepaskan you. Walaupun masih tiada lagi cinta di hati I untuk you buat masa ini, tapi I yakin yang suatu hari nanti pasti I akan dapat mencintai you juga.
Pada I perkahwinan bukanlah hanya bersandarkan pada cinta semata-mata. Perkahwinan adalah perkongsian rasa kasih, sayang dan perasaan hormat-menghormati antara pasangan. Kalau hanya ada cinta tapi tiada rasa hormat dan tidak mampu untuk berkongsi rasa, tak akan berguna juga sesebuah perkahwin itu diteruskan. Kerana itulah I perlukan lelaki yang boleh I sandarkan harapan untuk menjadi pelindung I dan keluarga, mengimamkan sembahyang I dan menjadi bapa pada bakal anak-anak I. Semua ciri-ciri tu I nampak ada pada you, Syah. ”
Dengan suara yang perlahan Aleya meluahakan rasa hatinya. Walaupun Syed Akashah tidak dicintainya dan cintanya masih bersisa pada Idzham, dia sudah separuh bersedia untuk meneruskan keputusan yang dibuatnya dahulu. Keputusan untuk menjadi isteri Syed Akashah. Permintaannya tidak banyak untuk ikatan perkahwinan yang akan dibina nanti. Cukuplah kalau Syed Akashah bersedia menyerahkan seluruh dirinya untuk mencari redha Illahi. Dia akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuangan lelaki yang bergelar suaminya itu.
“Kalau you boleh terima I, kenapa selama ni you tak benarkan I panggil you Leya macam orang lain yang rapat dengan you? Macam Idzham?”
“Laaa… bila masa pula I tak benarkan? You yang tak pernah nak panggil I Leya, tak kanlah I nak paksa juga kan?”
“Dulu tu… you pernah marah I panggil you Leya. You kata kalau I panggil juga you Leya, you tak akan jawab panggilan I. You nak buat-buat tak kenal sahaja kalau I panggil you macam tu.”
“Hmmm… itu masa kita mula-mula kenal. Masa I tak berapa suka dekat you dan ingat you tu buaya jadian. Bila you panggil I Leya sahaja masa tu, rasa you tu macam tengah nak menggatal dengan I sahaja. Sebab tu I tak benarkan. Seram sahaja I dengar bila you sebut nama I ‘Leya’ dengan suara you yang romantis tu. ”
“Suara I romatis ya Leya?”
Ada tawa kecil dihujung kata-kata Syed Akashah itu. Aleya hanya tersenyum mendengar pertanyaan itu. Nampaknya mood bakal suaminya ini dah kembali baik semula. Sudah tiada lagi bau-bau cemburu mahupun berkecil hati seperti tadi.
“Leya esok you dah jadi isteri orang. I nak you tahu yang I akan tetap sayangkan you walau apa pun yang terjadi. I akan sentiasa menyokong dibelakang you. Andai satu masa nanti Leya perlukan teman untuk mendengar duka you, you should always remember that I’ll be by your side… forever and ever my dear.”
Pelik Aleya mendengar ayat yang diucapkan oleh Syed Akashah tu. Berpesan macam orang nak pergi jauh sahaja lagaknya sedangkan esok mereka dah hendak bernikah. Lalu keraguan yang melanda hatinya itu disuarakan pada Syed Akashah.
“Kenapa you pesan macam tu sekali? Cara you bercakap macam orang yang nak pergi jauh je?”
“Mana ada nak pergi jauh. I’m still here and will always be here. Kalau pergi jauh siapa nak uruskan syarikat I tu? Nak suruh you? You ni dah lah pemalas… lepas tu asyik nak melawan cakap I je dekat ofis tu.”
Eh, Syed Akashah ni. Sesuka hati je kata Aleya pemalas dan suka lawan cakap dia. Tarik balik persetujuan nak kahwin dengan dia esok baru tahu. Masa tu baru tahu nak menyesal. Aleya bukannya suka melawan cakap Syed Akashah pun. Dulu-dulu tu dia cuma saja nak berlagak keras hati dengan lelaki itu kononnya. Lagipun apa salahnya kan sebab nanti esok bila dia dah selamat jadi isteri lelaki tu Aleya dah tak boleh nak melawan cakap Syed Akashah dah. Berdosa pula nanti. Kerana geram dengan tuduhan Syed Akashah itu, Aleya menarik muka empat belasnya.
“You ni saja cari pasal dengan I malam ni kenapa ha?”
“Err… tak adalah. Saja je nak mengusik you. Esok bila you dah jadi isteri, I tak boleh usik you macam ni dah. Nanti lepas cuti dua minggu jangan lupa masuk pejabat semula ya. I masih perlukan you as my companies secretary. Okaylah I nak balik dulu. Tu abang long you tu dah jeling-jeling tengok kita lama sangat berborak. Dah jangan nak masam-masam lagi muka tu. Bakal pengantin kena ceria sentiasa. Jumpa lagi esok dear…”
‘Jumpa lagi esok dear…’ ayat terakhir yang diucapkan Syed Akashah terasa begitu melekat di hati Aleya sehingga terbawa-bawa ke dalam tidurnya malam itu. Malam terakhirnya bergelar seorang gadis. Tidak dinafikan dalam banyak-banyak perkara, panggilan dear yang selalu digunakan oleh Syed Akashah padanya lah yang menambat hati Aleya walaupun dulu dia pernah mengatakan tidak suka dipanggil dear kerana hampir sama dengan panggilan untuk rusa dalam bahasa Inggeris sahaja gayanya.
Hmmm… esok adalah hari baru buat dirinya. Mulai esok dia berjanji untuk tidak lagi mengenang cintanya pada Idzham yang telah lama ternoktah. Esok kisah dia dan Idzham akan hanya menjadi sebuah sejarah yang tidak boleh lagi dikenang-kenangkan. Moga-moga juga hari yang mendatang akan memberi lebih kebaikan padanya.
Pelangi Petang (Sudirman)
Kumeniti awan yang kelabu
Kutempuhi lorong yang berliku
Mencari sinar yang menerangi
Kegelapanku
Kupercaya nanti suatu masa
Sang suria kan menyinar jua
Membawa harapan yang menggunung
Bersamanya...
( korus )
Engkau tiba bagaikan pelangi
Tak bercahaya namun kau berseri
Tapi cukup menghiburkan
Hati ini...
Seharian waktu bersamamu
Tak terasa saat yang berlalu
Bagai pelangi petang kau kan pasti
Pergi jua...
BAB 42 (THE END)
Aleya
Ku Mohon
“Yaya…dah siap?”
“Hmmm…”
Aleya mengumam sambil menganggukkan kepalanya seraya menghadiahkan senyuman nipis pada papa yang bertanya di muka pintu biliknya. Hatinya tengah berdebar-debar di saat ini. Hendak senyum lebih-lebih pun tidak mampu rasanya. Sebentar tadi raut wajahnya telah selamat di solekkan oleh salah seorang pembantu Rizalman. Nasib baik yang menyolekkannya tadi adalah wanita juga. Kalau Rizalman sendiri yang solekkannya mahu kalut sesi make-over dia jadinya. Rasa tak biasa pula kalau lelaki yang hendak menyolekkan wajahnya. Lebih-lebih lagi kalau Rizalman yang buat sendiri kerana lelaki itu boleh tahan kacak juga orangnya.
Sebentar lagi majlis pernikahannya dengan Syed Akashah akan dilangsungkan. Sebentar sahaja lagi dia akan meninggalkan alam gadisnya dan bergelar isteri orang. Kerana itulah dia benar-benar gementar saat ini.Majlisnya ini akan dilangsungkan di rumahnya sendiri sahaja walaupun kalau diikutkan lebih afdal dibuat di masjid sebenarnya. Semua ini adalah permintaan dia sendiri. Duduk dalam bilik pengantin ini pun sudah membuatkan jantungnya bergendang hebat, apatah lagi kalau dikehendaki melangkah ke masjid pula. Sebenarnya dia amat takut kalau-kalau terjadi sesuatu yang tidak diingininya dalam perjalanan ke masjid nanti.
“Aleya…”
Aleya mengangkat pandangan matanya pada papanya yang sudah berdiri di sebelahnya saat ini. Mata papa nampak berkaca-kaca. Sejurus itu papa terus memeluknya erat. Aleya terasa kaku di saat menerima pelukan kasih papanya itu. Sudah terlalu lama rasanya dia tidak merasai kehangatan pelukan seperti itu daripada papa. Rasanya semenjak dia dan papa berkofrontasi tentang ‘kekasih gelap papa @ Arin si musuh rasminya’ dulu hubungan mereka tidak pernah lagi mesra. Tetapi hari ini, di saat dia bakal melangkah ke alam baru, papa telah datang kepadanya dan menghadiahkan kembali pelukan kasihnya yang telah lama Aleya rindui.
“Tak sangka anak papa sudah benar-benar dewasa hari ini. Dah nak jadi isteri orang pun. Yaya… maafkan kesilapan dan keegoan papa selama ini ya. Papa tahu papa bersalah pada anak papa selama ini. Papa akan sentiasa doakan anak papa yang tersayang ini akan berbahagia hari ini dan untuk selamanya.”
Mendengar ucapan maaf papa membuatkan Aleya benar-benar rasa terharu. Laju sahaja air matanya menitis ke pipi. Lalu tanpa ragu terus dia membalas pelukan papanya dengan erat sekali. Dia tidak kisah sekalipun jikalau dengan memeluk papanya ketika ini. Akan membuatkan busana pernikahannya yang ditempah khas di butik Rizalman Ibrahim dan dibuat daripada kain renda Peranchis ini akan berkedut seribu kerana telah terlalu lama dia rindukan saat-saat begini.
Saat-saat di mana dia dapat memeluk papanya semula seperti zaman kanak-kanak dan remajanya dahulu. Hari ini, di hari perkahwinannya dia telah berjaya mendapat papanya kembali. Papa yang begitu rapat dan menyayanginya seperti sebelum pertelingkahan yang terjadi di antara mereka.
“Papa tak pernah salah. Yaya yang salah sebab marahkan papa terlalu lama walaupun papa dah lama sedar. Maafkan Yaya papa sebab selalu menganggap yang bukan-bukan pada papa selama ini. Terima kasih atas doa papa itu. Yaya sayang sangat dekat papa.”
Sebenarnya sudah lama dia memaafkan papanya. Dia telah pun maafkan papanya disaat dia belajar menerima kenyataan seperti mama yang tidak pernah melatah dengan ulah papa selama ini. Cuma selama ini ucapan maaf untuk papanya itu terasa terlalu berat di bibirnya. Tapi di hari ini, hari pernikahannya dia mahu papa tahu yang dia benar-benar telah melupakan segala sengketa mereka dahulu. Setelah papa meleraikan pelukannya, dengan senang hati tangan papa tolong mengesatkan air mata yang masih setia menuruni pipinya.
“Sudahlah tu, asyik menangis sahaja nanti bercapuk solekan dekat muka tu. Pengantin kena berseri-seri patutnya. Mana boleh menangis. Minta mak andam tu betulkan semula solekan Yaya ni. Papa turun dulu. Papa nak tengok sama ada pengantin lelakinya dah sampai atau belum.”
Dalam sedunya, Aleya tergelak kecil mendengar kata-kata papanya. Tak sangka pula dia boleh melayan tangisan di saat-saat begini. Dah bersolek cantik-cantik, pergi menangis pula. Nasib baik dalam bilik ini hanya ada dia, papa dan kawan baiknya Arisa yang akan menjadi pengapitnya serta mak andam sahaja. Itupun Arisa dan mak andamnya sibuk buat-buat berbual ketika da berdrama dengan papanya tadi. Kalau tidak tentu bertambah malu dia jadinya.
Namun empangan matanya pecah kembali di saat dia sedar yang mamanya sedang berdiri di muka pintu dengan matanya yang merah juga. Tentu mama memerhatikan kisah sebabak antara dia dan papa tadi. Dia tahu dalam hati mama sudah lama tersirat sebuah hasrat untuk melihat dia dan papa berbaik-baik semula seperti dahulu kala dan hari ini nampaknya hasrat mamanya itu telah tercapai akhirnya.
Di saat para tetamunya di luar sana riuh mengatakan pengantin lelakinya dan tok kadi telah sampai, debaran di dada Aleya semakin memuncak. Sebentar sahaja lagi dia akan bertukar status daripada seorang gadis kepada isteri seorang lelaki. Selepas ini segala tanggungjawabnya akan berpindah daripada papa dan mama kepada suaminya, Syed Akashah pula. Selepas ini dia telah wajib untuk mematuhi arahan suaminya pula.
Kisah cinta dia dan Idzham akan tamat di sini. Selepas ini nama Idzham akan dikuburkan buat selama-lamanya dari hati seorang Aleya. Daripada lelaki bernama Idzham Iskandar itulah dia belajar mengenali cinta. Daripada lelaki itu juga dia belajar erti kekecewaan dalam cinta. Selepas ini lagu cintanya akan disambung bersama Syed Akashah pula. Tiada apa yang mahu dimintanya selain daripada Tuhan memberikannya ketenangan dan kekuatan untuk menempuh segala dugaan yang mancabar bersama-sama suaminya kelak.
Dia diiring keluar ke ruang tamu setelah pengantin lelaki selamat mengambil tempat di atas chior. Sekalipun kedudukannya di sebalik tiang seri rumahnya agak terlindung daripada pengantin lelaki, dia masih boleh nampak sekilas wajah Syed Akashah yang lengkap berbaju melayu warna putih gading dan bersongkok duduk berhadapan dengan tok kadi. Sempat lagi lelaki tu memandang ke arahnya dan menghadiahkan senyuman menggodanya tu. Di sebelahnya ada seorang lelaki yang memakai baju melayu bewarna putih susu dan lengkap bersongkok juga. Wajahnya tidak kelihatan pada pandangan Aleya. Pengapit Syed Akashah agaknya tu.
Eh, nanti sekejap… Hari tu masa tempah baju untuk majlis akad nikah, baju pengantin lelaki warnanya putih gading ke? Baju yang Aleya sarungkan ini warna putih susu. Memanglah warna putih susu dan putih gading tu seakan-akan, tetapi kalau dilihat betul-betul ada perbezaan tona antara kedua-duanya. Jadi Syed Akashah dan pengapitnya tu dah tertukar baju ke?
Degupan jantungnya semakin hebat apabila jurunikah datang menghampirinya bersama papa untuk meminta persetujuannya dinikahkan pada hari itu. Apa yang juru nikah itu katakan padanya langsung tidak masuk ke dalam telinganya kerana dia sibuk menahan debaran yang semakin memuncak di dadanya ketika itu. Kepalanya sentiasa ditundukkan sahaja. Apabila ditanya dia hanya mengiakan sahaja segalanya. Disuruh tandatangan pada borang nikah pun, dia main tenyeh sahaja tandatangannya tanpa melihat segala maklumat adalah betul atau tidak.
Kepalanya benar-benar kosong ketika itu. Hatinya dari tadi terkumat-kamit membaca segala doa penenang diri. Minta-mintalah segalanya berjalan lancar. Dia tidak mahu teragak-agak lagi dengan keputusan yang telah dbuatnya sejak sekelian lama untuk menerima Syed Akshah.
Entah bila tok kadi melafazkan akadnya dan disambut pengantin lelaki pun dia tidak sedar langsung walaupun suara mereka begitu jelas kerana ada mikrofon disediakan sekali untuk majlis ini supaya semua yang ada dapat mendengar. Dirinya sudah terasa di awang-awangan ketika akad sedang dilafazkan. Berwalikan papa, dengan sekali lafaz akad dan bersaksikan dua orang saudaranya, sahlah kini dia menjadi seorang isteri pada seorang lelaki. Maka secara rasminya juga dia kini adalah isteri kepada Syed Akashah.
Ketika suaminya membaca lafaz taklik, Aleya mula sedar semula daripada rasa di awangannya tadi. Debarannya sudah berkurangan kembali. Tetapi untuk majlis resepsi nanti dia tidak janji yang dia tidak akan berdebar seperti tadi. Mahu atau tidak rasanya debaran itu pasti akan kembali nanti. Nasiblah majlis perkahwinan ini cuma sekali seumur hidup. Kalaulah setiap bulan kena menghadapinya, cukup hujung tahun pasti dia akan mendaftarkan dirinya di Institut Jantung Negara kerana jantungnya yang rosak asyik dilanda debaran sahaja.
Mendengar lafaz taklik dia sedar, tanggungjawabnya kini semakin bertambah. Kehidupnya seharian akan semakin mencabar. Minta-minta biarlah perhubungan yang terjalin antara dia dan suaminya Syed Akashah ini akan sentiasa dirahmati. Amin.
Setelah doa dibaca oleh imam dan suaminya membuat sembahyang dua rakaat baru dia tersedar yang suara suaminya ketika melafazkan taklik tadi kedengaran agak berbeza daripada biasa. Sakit tekak ke Syed Akashah, suaminya itu? Yalah malam tadi dah duduk berembun berbincang dengannya.
Aleya menunggu dengan sabar suaminya menghabiskan sembahyang sunat dua rakaatnya sebelum majlis membatalkan air sembahyang mengambil acara pula selepas ini. Kalau ikut perancangan sepatutnya dia turut mengikuti suaminya bersembahyang sunat dua rakaat itu. Sepatutnya inilah langkah pertama buat dirinya sebagai makmum yang diimamkan oleh suami.
Tetapi nak buat macam mana apabila seawal pagi tadi dia terpaksa mengibarkan bendera jepun wanitanya. Maka malam ini terpaksalah suaminya berpuasa. Tapi bagus juga kerana sekurang-kurangnya hari ini dia akan selamat daripada aktiviti wajib malam pertamanya. Seronoknya rasa.
Setelah suaminya selesai menunaikan sembahyang sunat dua rakaatnya itu, suaminya mula menghampiri dirinya. Aleya hanya menunduk ketika suaminya datang mendekati dirinya untuk menyerahkan mas kahwin sekaligus melakukan acara mambatalkan air sembahyangnya. Dia masih menunduk saat suaminya menyerahkan mas kahwin yang bernilai RM 2,000 dalam bentuk dinar emas yang telah digubah menarik. Setelah menyerahkan mas kahwinnya kepada Arisa yang setia disebelahnya sejak tadi, dia menghulurkan tangan untuk disarungkan cincin pula.
Sebentuk cincin platinum bertakhta berlian disematkan di jari manisnya sebelum sebuah kucupan dihadiahkan di dahinya. Kerlipan cahaya kamera tidak berhenti dari tadi sememangnya menambahkan lagi rasa segan Aleya. Dalam keadaan yang masih menunduk juga tangannya dihulur untuk menyalami suaminya pula. Sebuah ciuman pada tapak tangan suami diiringkan sekali. Ketika bersalam dapat dirasakan kulit tangannya benar-benar sejuk pabila bersentuhan dengan kulit suaminya.
Tanpa diduga selepas itu tangan kananya ditarik lembut ke hadapan sebelum seutas gelang mutiara dan kristal dikalungkan pada lengannya. Gelang tersebut seakan pernah dilihatnya dahulu. Belum sempat Aleya mengangkat mukanya dan meluahkan pertanyaan akan tujuan menyarungkan gelang tangan yang tiada dalam acara yang dirancang untuk majlis hari ini pada suaminya, terasa tangan suaminya menarik lembut dagunya ke atas dan menghadiahkan ciuman di pipi kira dan kanannya pula.
“Abang sayang sangat-sangat pada Leya. Maafkan abang atas segalanya sayang…”
Saat ciuman itu singgah di pipi barulah dia dapat menatap wajah suaminya itu sepenuhnya. Menatap wajah suaminya itu dan mendengar suara suaminya yang begitu dekat di telinganya menyedarkan Aleya yang sememangnya dia tidak bermimpi. Lelaki ini adalah suaminya. Ya Allah…
Ku Mohon (Sheila Majid)
Setiap hari kumohon
Agar Kau sentiasa
Memberiku ketenangan dalam hati... kekuatan
Menempuh segala dugaan yang mencabar ini
Pasti punya ertinya
Engkau beriku harapan
Menjawab segala persoalan
Hadapi semua dengan tenang
Dengan merasa kesyukuran
Ku doa Kau selalu
Mengawasai gerak-geriku
Berkatilah ku penuh rahmat dari Mu
Oh Tuhan terangkan hati dalam sanubariku
Oh Tuhan ku berserah segalanya kepadamu
Agar jiwaku tenang dengan bimbingan Mu selalu
Ada kalanya ku merasa hidup ini seperti kaca
Jikalau tidak bersabar
Hancur berderailah akhirnya
Tabahkanlah hatiku
Melalui semua itu... Ooh...
Kuatkanlah
Cekalkanlah diriku
Curahkanlah nikmat Mu pada hidupku